Bank-bank sedang meningkatkan usaha untuk membantu warga emas kekal berdikari dan terjamin dari segi kewangan menerusi sokongan daripada memudahkan akses kepada ATM dan pengeluaran tunai, hinggalah memperkukuhkan perlindungan bagi pelanggan yang menunjukkan tanda-tanda penurunan kognitif. 

DBS, OCBC dan UOB, bersama NETS, akan menyediakan ATM, cawangan atau titik tunai dalam lingkungan 500 meter dari kemudahan awam utama seperti pusat penjaja dan pasar raya besar menjelang 2026. 

Menjelang 2027, liputan ini akan diperluaskan kepada setiap blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). 

Titik tunai ialah peniaga yang membenarkan pelanggan mengeluarkan tunai menggunakan ATM atau kad debit bank Singapura mereka semasa membuat pembelian melalui NETS.

Pelanggan DBS mempunyai akses kepada tunai melalui rangkaian lebih 1,800 ATM dan POSB titik tunai di peniaga termasuk Giant, Cold Storage, 7-Eleven, Guardian, Buzz dan Jasons Deli.

Rakan kongsi titik tunai UOB ialah 7-Eleven, HAO Mart, U Stars Supermarket, Shell dan Sheng Siong, manakala OCBC pula ialah 7-Eleven dan Sheng Siong. Kedua-dua bank berkongsi rangkaian hampir 1,000 ATM.

Langkah meningkatkan akses mudah kepada tunai adalah untuk “mengurangkan risiko warga emas berasa terpinggir atau ketinggalan apabila tabiat perbankan berkembang”, kata Persatuan Bank Singapura (ABS).

Walaupun penggunaan pembayaran digital semakin meningkat, tunai masih memainkan peranan penting bagi sesetengah warga Singapura, termasuk warga emas, kata ABS. 

Dengan Singapura mencapai status “super-aged” di mana satu daripada lima warganya kini berusia 65 tahun ke atas, bank tempatan memperkenalkan 20 inisiatif bertujuan memenuhi keperluan perbankan warga emas dengan lebih baik. 

Inisiatif itu digariskan dalam sebuah buku panduan, Banking a Longevity Society, yang diterbitkan oleh ABS pada 25 Jun.

Cawangan bank dan ATM luar premis di Singapura telah berkurangan dengan purata, sekitar2 peratus setahun sepanjang dekad lalu, menurut angka yang didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), dalam jawapan parlimen bertulis pada Januari. 

Kebimbangan telah ditimbulkan di Parlimen pada Februari mengenai kekurangan ATM di beberapa kawasan di Sengkang, mendorong gesaan kepada pihak berkuasa dan bank untuk memastikan akses perbankan yang mudah bagi masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan.

ABS tidak menyatakan bilangan tepat ATM dan titik tunai baharu yang diperlukan, sebaliknya berkata bank-bank dan NETS akan menilai kawasan yang paling memerlukan sokongan tambahan. 

Sesetengah bank mungkin sudah hampir memenuhi liputan yang diperlukan, manakala yang lain mungkin perlu mengembangkan rangkaian mereka lagi.

Berucap di majlis makan malam tahunan ABS yang diadakan di Marina Bay Sands, pengerusi ABS dan ketua OCBC, Encik Tan Teck Long berkata bank-bank bergabung sebagai sebuah industri pada Julai 2025 untuk mencari cara menyokong warga emas dan keluarga mereka dengan lebih baik.

Kerjasama itu merupakan yang pertama seumpamanya di Asia.