Sebagai salah seorang penjaga utama bapanya, terdapat empat waktu dalam sehari yang mana Encik Muhammad Iqbal Rashid perlu berada di rumah.

Empat waktu itu adalah: pagi untuk mandi, tengah hari untuk menukar lampin, petang untuk mandi dan malam untuk ke bilik tidur.

Jika Encik Iqbal, 39 tahun, perlu keluar rumah atas urusan tertentu, beliau mengatur masa dengan teliti agar sempat pulang untuk melakukan tugasnya.

“Jika tidak, bapa saya di sini sajalah. Beliau tak boleh ke mana-mana,” ujar anak kelima dalam keluarga enam beradik itu, menunjuk kepada kerusi empuk di ruang tamu yang dihadapkan ke televisyen.

Encik Iqbal, yang belum berumah tangga, telah menjaga bapanya, Encik Rashid Samad, 72 tahun, sejak 2018 selepas warga emas itu mengalami serangan angin ahmar.

Sejak itu, bapanya perlu bergantung seratus peratus kepada orang di sekeliling untuk menjalani kehidupan seharian.

Memandangkan Encik Iqbal tinggal bersama orang tuanya, beliau pun secara tidak langsung menyandang tanggungjawab penjagaan itu.

Beliau disokong ibunya, Cik Juliah Juraimi, 71 tahun, yang membantu memberi ubat dan makanan.

Adik-beradiknya juga membantu dalam cara masing-masing, seperti dengan membelikan makanan tambahan atau dengan kerap menziarahi bapa mereka.

Menurut Encik Iqbal, setelah bapanya jatuh sakit, beliau, yang pada waktu itu bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di bank, memutuskan untuk berhenti kerja dan menjaga bapanya.

Pada waktu itu, beliau juga telah mula berjinak-jinak melakukan penjualan dalam talian.

Keluarganya cuba mendapatkan pembantu rumah yang mengkhusus dalam penjagaan warga emas, namun mendapati perkhidmatan itu kurang sesuai dengan keluarga mereka.

Ditanya tentang pengalaman menjaga bapanya sejauh ini, Encik Iqbal berkata ia tidak mudah namun beliau bersyukur ibunya ada bersama.

“Bapa saya rata-rata mudah dijaga. Orangnya suka bergurau. Tapi kadang-kadang beliau kurang sabar.

“Kadang-kadang kami ada salah faham. Bapa saya pun sensitif sikit sejak sakit. Saya pun kadang-kadang hilang kawalan emosi, lebih-lebih lagi kalau saya penat. Saya menjadi marah,” kongsi Encik Iqbal.

“Tapi saya ada cara untuk menenangkan fikiran seperti berjumpa kawan, berlari-lari anak atau bersenam. Saya juga mengadu kepada ibu saya. Jadi rasa marah itu sekejap sahaja. Saya pun tak simpan dalam hati,” tambahnya.

Selain menghadapi cabaran daripada segi emosi, Encik Iqbal berkata badannya sakit-sakit kerana selalu perlu mengangkat bapanya seperti dari bilik ke ruang tamu.

Bagi mengatasi keadaan tersebut, beliau perlu menjalani urutan badan secara berkala serta memastikan dirinya kekal sihat dan bertenaga melalui senaman yang konsisten.

Tidak sekadar menjaga bapanya di rumah, Encik Iqbal juga membawa bapanya yang berumur 72 tahun mengambil angin di Taman Tasik Jurong setiap Selasa.

Ibu, dua kakak dan kawan-kawan rapat Encik Iqbal akan turut serta dan kumpulan itu akan berlari-lari anak bersama-sama.

Beliau akan menolak kerusi roda bapanya agar datuk sembilan cucu itu juga dapat turut serta.

Encik Iqbal turut membawa bapanya keluar minum kopi dan makan perata, atau berjalan-jalan di pusat beli-belah.

“Kadang-kadang saya telefon kawan bapa saya, dan kami buat janji temu untuk jumpa di kedai kopi supaya bapa saya dapat bersembang dengan mereka,” kongsi beliau.

Encik Iqbal dan adik-beradiknya pun membawa bapa mereka bercuti di luar negara, selalunya ke Malaysia, dan baru-baru ini ke Jepun.

Setiap hari, Encik Muhammad Iqbal Rashid memandikan dan menukar lampin bapanya, Encik Rashid Samad, yang perlu bergantung sepenuhnya kepada orang lain sejak mengalami strok pada 2018.
Setiap hari, Encik Muhammad Iqbal Rashid memandikan dan menukar lampin bapanya, Encik Rashid Samad, yang perlu bergantung sepenuhnya kepada orang lain sejak mengalami strok pada 2018. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Selain melepaskan kerja yang memberi pendapatan tetap, Encik Iqbal berkata beliau perlu mengorbankan banyak masa untuk dirinya dan selalu terpaksa menolak ajakan untuk bercuti atau ‘lepak’ bersama kawan-kawan.

“Mereka pun ada tanya jugalah mengapa saya tidak meminta adik-beradik saya tolong jaga jadi saya boleh pergi bercuti atau jalan-jalan.

“Adik-beradik pun ada tawar untuk menjaga bapa saya tapi saya jarang meminta bantuan mereka. Ini adalah pilihan saya. Kalau saya keluar pun nanti saya terfikir-fikir juga. Bukan pasal bapa saya sahaja tapi juga pasal orang yang menjaga bapa saya,” kata Encik Iqbal.

“Tapi saya telah melatih seorang anak saudara lelaki saya untuk menjadi pengganti saya. Dia tahu bagaimana untuk memindahkan datuknya ke kerusi roda, ke kereta.

“Jadi saya dapat jugalah beberapa kali berehat dengan bercuti ke luar negara,” tambahnya yang telah ke Jepun dan Korea serta Arab Saudi untuk menunaikan ibadah Haji.

Daripada segi sokongan kewangan, Encik Iqbal menerima elaun penjaga sebanyak $600 sebulan, yang telah naik beransur-ansur daripada $200 ke $400 sepanjang beberapa tahun lalu.

Geran Penjagaan di Rumah itu diberikan oleh Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) untuk membantu keluarga yang menjaga individu dengan kekurangan upaya sederhana hingga teruk.

“Saya bersyukur dapat menjaga bapa saya. Memandangkan saya selalu ada di rumah, saya dapat menjaga pemakanan bapa saya dan sejauh ini saya sudah melihat kemajuan daripada segi kesihatannya,” kata Encik Iqbal.

“Buat masa ini juga, saya tidak memerlukan sokongan lebih kerana saya ada ibu saya, dan adik-beradik saya pun rapat dan sangat menyokong,” tambahnya.

“

“Kadang-kadang kami ada salah faham. Tapi saya ada cara untuk menenangkan fikiran seperti berjumpa kawan, berlari-lari anak atau bersenam. Saya juga mengadu kepada ibu saya. Jadi rasa marah itu sekejap sahaja. Saya pun tak simpan dalam hati... Buat masa ini juga, saya tidak memerlukan sokongan lebih kerana saya ada ibu saya, dan adik-beradik saya pun rapat dan sangat menyokong.”
Encik Muhammad Iqbal Rashid, penjaga utama kepada bapanya yang alami serangan angin ahmar.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan