Topik diikuti
Pergi ke BHkuCekal jaga ibu demensia, tak segan dapatkan bantuan
Cik Nurni Kamin manfaatkan program Club Heal sokong penjaga, akur diri sendiri perlu sihat untuk jaga orang tersayang
Cekal jaga ibu demensia, tak segan dapatkan bantuan
Selepas kakaknya pulang ke pangkuan Illahi akibat barah buah dada pada 2023, Cik Nurni Kamin mula melihat perubahan mendadak pada perwatakan ibunya, Cik Fatimah Jumaat.
Misalnya, Cik Fatimah, yang dahulunya tidak suka menonton permainan bola sepak, ingin menonton permainan di televisyen hingga siaran tamat, dan beliau lebih cepat marah.
Pada mulanya, Cik Nurni menyangka perubahan itu berpunca daripada kemurungan selepas pemergian kakaknya.
Namun, apabila keadaan ibunya berterusan, beliau membawa ibu untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut dan pada 2025, doktor mengesahkan bahawa simptom tersebut merupakan sebahagian daripada demensia vaskular tahap ringan hingga sederhana.
Kini, Cik Nurni, 46 tahun, merupakan penjaga utama bagi ibunya yang sudah berusia 79 tahun.
“Dahulu, saya akan berkongsi tanggungjawab penjagaan bersama arwah kakak termasuk dalam hal membuat keputusan tentang penjagaan ibu.
“Bila arwah dah pergi, saya perlu melakukannya seorang diri. Jadi, saya akan mendapatkan bantuan dari pihak seperti doktor sekiranya keputusan tersebut mengenai kesihatan ibu,” kongsi Cik Nurni kepada Berita Minggu (BM).
Beliau telah berhenti bekerja pada sekitar 2018 sejak ibunya memerlukan bantuan penjagaan. Cik Nurni dahulu bekerja sebagai operator pengeluaran dan pekerja pembersihan.
Sebagai seorang penjaga, Cik Nurni berkata harinya bermula seawal waktu subuh di mana beliau akan menguruskan penjagaan ibu seperti memandikan, menyiapkan ubat, serta sarapan.
Selepas itu, beliau akan membuat senaman ringan bersama ibunya melalui siaran di YouTube untuk menggalakkan pergerakan agar ibunya kekal cergas.
Seperti di hospital, beliau juga akan membantu ibunya untuk berehat, menyiapkan minuman petang, makan malam, dan bersiap untuk tidur pada waktu malam.
Namun, tugas Cik Nurni tidak berakhir di situ kerana beliau juga akan menjenguk ibunya yang tidur di bilik berasingan sekiranya terjaga pada tengah malam.
Di samping kesibukan menjaga ibu, beliau juga menguruskan kerja rumah dan menyiapkan keperluan rumah.
Beliau bersyukur kerana suaminya, Encik Mohamad Fadli Ramlee, 46 tahun, yang bertugas sebagai pekerja pembersihan, turut membantunya dengan kerja rumah atau membawa Cik Fatimah ke doktor jika diperlukan.
Pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata.
Cik Fatimah perlu berjumpa dengan doktor setiap beberapa bulan untuk rawatan psikiatri bagi demensia vaskular, mengambil ubat, serta kondisi mata yang tidak berapa jelas.
Kesedaran tentang pentingnya sokongan mulai dirasai Cik Nurni pada 2024, apabila beliau dimasukkan ke hospital selama dua minggu dan berasa bimbang tentang penjagaan ibunya.
Apabila pekerja sosial perubatan mendapat tahu tentang kebimbangannya, Cik Nurni diperkenalkan kepada agensi perkhidmatan sosial Club Heal untuk mendapatkan sokongan penjagaan.
“Program yang saya ikuti di Club Heal sangat membantu dari segi sokongan, pembangunan, dan pembelajaran untuk menjadi seorang penjaga,” kongsinya.
Menerusi Club Heal, Cik Nurni menyertai pelbagai program untuk penjaga, termasuk kegiatan berjalan-jalan di taman, lawatan ke taman haiwan dan muzium serta bengkel yang memberinya peluang berinteraksi dengan penjaga lain.
Beliau berkata peluang sedemikian penting kerana penjaga juga berhadapan dengan tekanan semasa menjaga ahli keluarga yang mereka kasihi.
“Sebagai penjaga, kita tidak perlu malu atau takut untuk mendapatkan bantuan kerana kita juga perlu sihat untuk menjaga orang tersayang.
“Meminta bantuan bukanlah satu kelemahan,” kata Cik Nurni.
Di luar sesi Club Heal, beliau memastikan dapat mengetepikan masa untuk diluangkan sendiri dan menceburi minat seperti menjaga tanaman di luar rumah.
Beliau akan membuat perkara yang digemari seperti membaca atau keluar untuk minum kopi, dan berehat buat seketika.
Ini dapat dilakukan dengan sokongan Penjagaan Peribadi Di Rumah Yang Dipertingkat (HPC+), di bawah Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), di mana profesional penjagaan terlatih akan menjaga Cik Fatimah buat seketika sementara Cik Nurni berehat.
Di sebalik cabaran menjaga ibunya, Cik Nurni berkata beliau tetap berasa puas kerana dapat menguruskan keperluan ibunya sendiri.
“Tidak semua orang berpeluang untuk menjaga dan berbakti pada ibu mereka. Saya berasa lebih puas dapat jaga ibu dengan tangan saya sendiri,” kongsi beliau.
Beliau turut berkongsi bersama BM satu detik yang menyentuh hati dan dijadikan motivasi untuk terus berbakti pada ibunya.
“Ada satu ketika, ibu saya, yang jarang meluahkan perasaannya, mengucapkan terima kasih kepada saya. Pada saat itu, saya sangat terharu kerana ibu saya masih mengenali saya.
“Jika demensia ibu saya bertambah teruk satu hari nanti, saya tidak tahu bagaimana nak menghadapinya jika dia tidak mengenali saya lagi,” katanya sambil menitiskan air mata.
