Australia akan membenarkan warga asing yang merupakan penduduk tetap (PR) untuk menyertai pasukan tenteranya, sedang ia berusaha menangani kekurangan teruk dalam kakitangan tentera negara itu.
Bagaimanapun, skim tersebut pada peringkat awal akan hanya ditawarkan kepada mereka yang menetap di New Zealand, Amerika Syarikat, Britain dan Canada, iaitu sekutu risikan Australia.
Pemerintah persekutuan Australia mengumumkan pada 4 Jun bahawa warga asing yang diberi pelepasan keselamatan dan telah tinggal di Australia selama minimum 12 bulan boleh mendaftar untuk berkhidmat dalam tentera.
Pemohon mesti tidak pernah berkhidmat dalam tentera luar negara dalam masa dua tahun sebelum pendaftaran, dan mesti boleh meraih status sebagai warga Australia.
Khidmat perekrutan itu akan bermula dengan warga dari negara ‘Five Eyes’ tersebut yang berkongsi risikan secara meluas.
Sekiranya skim itu berjaya, ia boleh diperluas kepada negara lain seperti Singapura.
Perubahan tersebut dibuat sedang Australia cuba meningkatkan jumlah kakitangan tenteranya.
Bajet persekutuan Australia yang diumumkan pada 14 Mei, mendedahkan bahawa tentera negara itu dijangka bertambah sebanyak 358 orang sahaja pada 2024 kepada 58,600, iaitu sekitar 5,000 lebih rendah daripada jumlah yang disasarkan.
Pemerintah Australia ingin meningkatkan bilangan tenteranya kepada 80,000 menjelang 2040.
Menteri bagi Kakitangan Pertahanan Australia, Encik Matthew Keogh berkata bahawa kekurangan kakitangan itu menimbulkan “kebimbangan mendalam”, dan rancangan merekrut mereka yang bukan warga negara akan menambah sekitar 350 lagi kakitangan tentera setahun.
Mereka yang menyertai tentera boleh memohon kewarganegaraan Australia selepas berkhidmat selama 90 hari.
“Kami mengambil sikap berani untuk meningkatkan Angkatan Pertahanan Australia (ADF).
“Merekrut daripada kumpulan lebih luas akan membantu memastikan ADF kita mencerminkan kepelbagaian (masyarakat) Australia sepenuhnya, dan dapat menarik bakat daripada seluruh masyarakat Australia,” kata Encik Keogh dalam satu kenyataan.
Sejak beberapa tahun lalu, Australia telah memulakan satu siri projek besar-besaran untuk meningkatkan keupayaan tenteranya, termasuk memperoleh kapal selam berkuasa nuklear dan kapal frigat kelas terbaru.
Namun, terdapat kebimbangan kian meningkat mengenai keupayaan negara itu untuk menarik bilangan kakitangan mencukupi bagi mengendali pemerolehan aset tentera itu.
Ini walaupun Australia mempunyai tentera yang berpendapatan agak tinggi.
Gaji seorang rekrut yang menjalani latihan asas tentera ialah A$56,385 ($50,454) setahun, manakala gaji askar prebet, iaitu askar berpangkat paling rendah ialah dari A$73,695 hingga A$117,688 setahun.
Pegawai berpangkat kapten pula menikmati gaji A$99,001 hingga A$167,626 setahun.
Beberapa penganalisis pertahanan menyambut baik langkah merekrut warga asing, dengan menyatakan bahawa Australia tidak pernah melaksana operasi pengerahan tentera sejak Perang Vietnam pada awal 1970-an, dan sudah sekian lama bergelut untuk mengajak rakyatnya berkhidmat dalam tentera.
Pengarah eksekutif Persatuan Pertahanan Australia, Encik Neil James, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa tentera Australia mempunyai pengalaman luas dalam membenarkan warga asing berkhidmat dalam tentera, contohnya, warga negara Commonwealth dibenarkan berkhidmat sehingga 1970-an.
Skim baru ini akan bermula dengan warga New Zealand, yang boleh menyertai tentera Australia mulai 1 Julai.
Warga Canada, Britain dan Amerika boleh mendaftar mulai Januari 2025.
Seorang penganalisis, Encik Luke Townsend, yang pernah berkhidmat dalam tentera Australia dan Britain berpandangan bahawa pelan perekrutan itu adalah “satu idea baik”.
Menurutnya, tentera Australia pada masa ini terlalu kecil dan tidak mempunyai keupayaan mencukupi untuk menghalang musuh, sekiranya berlaku serangan ke atas negara itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg