Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Australia, S’pura meterai MOU perdalam kerjasama pertahanan

Oct 8, 2025 | 6:40 PM
Chan Chun Sing, Richard Males, Mindef, Singapore, Australia
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing (kiri), dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Encik Richard Males, menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pertahanan Dipertingkat (eDC MOU) di Bangunan Parlimen Australia pada 7 Oktober. - Foto MINDEF

Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Encik Richard Males, telah menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pertahanan Dipertingkat (eDC MOU) pada 7 Oktober.

Majlis menandatangani MOU itu berlangsung di Bangunan Parlimen Australia, Canberra, dengan Singapura dan Australia memperdalam kerjasama pertahanan antara kededua negara.

Di bawah MOU yang dipertingkat itu, Singapura dan Australia akan mempunyai akses bersifat timbal balas kepada kemudahan pertahanan, memajukan kerjasama dalam sains pertahanan, teknologi, logistik dan rantaian bekalan.

Ini di samping pertukaran profesional ketenteraan yang diperluaskan antara kededua negara, dengan MOU eDC itu menggantikan MOU Kerjasama Pertahanan 2008 sedia ada, kata kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 8 Oktober.

Upacara menandatangani MOU eDC itu bertepatan dengan peristiwa penting dalam hubungan pertahanan dua hala kededua negara, termasuk 50 tahun latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Australia dan ulang tahun ke-35 Latihan Wallaby.

Encik Chan berkata: “2025 adalah tahun istimewa untuk hubungan pertahanan Australia-Singapura.

“Ia menandakan 50 tahun sejak SAF memulakan latihan di Australia, dan ulang tahun ke-35 Latihan Wallaby, iaitu latihan terbesar SAF di luar negara.

“Pengalaman kerjasama yang erat… selama beberapa dekad telah menyemai kepercayaan yang mendalam antara kededua pertubuhan pertahanan.”

Misalnya, Australia akan meningkatkan peruntukan bagi SAF untuk mengadakan latihan tahunan di Kawasan Latihan Shoalwater Bay dan Kawasan Latihan Greenvale sebagai sebahagian akses kepada kemudahan pertahanan, di bawah eDC MOU ini.

Upacara menandatangani MOU itu dilakukan sempena Mesyuarat Pemimpin Singapura-Australia ke-10 antara Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dengan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese.

Kededua pemimpin itu menandatangani pengisytiharan bersama bagi melancarkan Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP 2.0) yang dipertingkat pada 8 Oktober.

Encik Chan merupakan sebahagian delegasi Encik Wong, yang mengadakan lawatan rasmi ke negara itu buat kali pertama sejak menggalas jawatan Perdana Menteri, dari 6 hingga 8 Oktober.

Mindef berkata kededua negara juga terlibat dalam kerjasama pertahanan berbilang hala melalui platform seperti Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean Plus (ADMM-Plus) dan Persetujuan Lima Kuasa Pertahanan merangkumi Australia, Singapura, Malaysia, New Zealand, dan United Kingdom.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg