Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, New South Wales perkukuh kerjasama dalam ekonomi hijau, inovasi

PM Wong, PM Albanese dijangka tandatangani deklarasi bersama bagi Perkongsian Strategik Menyeluruh yang dipertingkat pada 8 Okt
Oct 7, 2025 | 8:17 PM
PM Wong,  kerjasama dalam ekonomi hijau, inovasi, Australia
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), bertemu Perdana Menteri New South Wales, Encik Chris Minns, di Sydney, Australia. - Foto MDDI

Singapura dan New South Wales, Australia, memperkukuh hubungan dua hala dengan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Kerjasama Ekonomi Hijau dan Inovasi yang membuka peluang baru dalam bidang kemampanan dan teknologi masa depan.

Perjanjian tersebut dimeterai semasa lawatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong ke Sydney – sebahagian daripada lawatan pengenalannya ke Australia.

Encik Wong berkata kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan inovasi antara dua negara itu.

“Kerjasama ini akan membuka peluang baru untuk perniagaan kita, dan mengukuhkan lagi hubungan Singapura-Australia,” kata Encik Wong dalam satu kiriman di Facebook pada 7 Oktober.

Encik Wong kini berada di Australia dari 6 hingga 9 Oktober sebagai sebahagian daripada lawatan pengenalannya sebagai Perdana Menteri. Beliau kemudian akan berkunjung ke Auckland, New Zealand, dari 9 hingga 11 Oktober.

Pada 7 Oktober, hari kedua lawatannya, Encik Wong telah bertemu dengan Perdana Menteri New South Wales, Encik Chris Minns, dan pemimpin kanan perniagaan, serta menghadiri satu dialog di Institut Lowy.

“Saya menyertai dialog yang menarik dengan Michael Fullilove di Institut Lowy, di mana kami membincangkan arah trend global yang membentuk masa depan kita, dan bertukar pandangan dengan pegawai, ahli akademik dan pemimpin perniagaan.

“Saya juga mengadakan perbincangan lanjut dengan pemimpin perniagaan Australia untuk meneroka bagaimana kita boleh memperdalam kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, tenaga bersih dan ekonomi digital,” kata Encik Wong.

Semasa lawatan itu, Encik Wong diiringi isterinya, Cik Loo Tze Lui, serta Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin dan Encik Victor Lye, serta pegawai lain.

Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, juga turut serta di Australia, manakala Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, akan mengikuti rombongan Encik Wong di New Zealand.

Pada 8 Oktober, Encik Wong akan menyertai Mesyuarat Pemimpin Singapura-Australia ke-10 dengan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese.

Kededua pemimpin itu dijangka menandatangani deklarasi bersama untuk melancarkan Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP 2.0) yang dipertingkat.

Lawatan pengenalan pertama Encik Wong ke Australia dan New Zealand diadakan sempena 60 tahun hubungan diplomatik antara Singapura dengan kededua negara itu.

Ia turut mengesahkan hubungan dua hala yang baik, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataannya pada 6 Oktober.

Sempena lawatannya ke Auckland, Encik Wong akan disambut Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon, bagi jamuan makan malam.

Encik Wong akan turut mengambil bahagian dalam majlis sambutan rasmi di Bangunan Pemerintah.

Ini diikuti mesyuarat delegasi bersama Encik Luxon, dan mereka akan menandatangani Kenyataan Visi Bersama untuk melancarkan Perkongsian Strategik Menyeluruh Singapura-New Zealand dan menghadiri sidang akhbar bersama.

Semasa di Canberra dan Auckland, Encik Wong juga akan bertemu dengan warga Singapura yang berada di luar negara bagi meraikan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg