Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AVS minta maklum balas bagi tempat perlindungan haiwan di S’pura

Langkah sebahagian usaha pertingkat piawaian industri berkaitan haiwan peliharaan
Dec 3, 2024 | 5:03 PM
Tinjauan bagi tempat perlindungan awam akan menilai piawaian bagi operasi tempat perlindungan serta penginapan, pengurusan, dan penjagaan kesihatan haiwan.
Tinjauan bagi tempat perlindungan awam akan menilai piawaian bagi operasi tempat perlindungan serta penginapan, pengurusan, dan penjagaan kesihatan haiwan. - Foto ST

Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) sedang meminta maklum balas awam mengenai garis panduan yang dicadangkan untuk tempat perlindungan haiwan di Singapura, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan piawaian industri berkaitan haiwan peliharaan.

AVS melancarkan tinjauan dalam talian pada 3 Disember di laman webnya untuk orang awam memberi pandangan mengenai bahagian dan kandungan yang dicadangkan untuk dimasukkan dalam garis panduan tersebut, lapor The Straits Times.

Tinjauan itu, yang akan berlangsung sehingga 2 Februari 2025, akan menilai piawaian bagi operasi tempat perlindungan serta penginapan, pengurusan, dan penjagaan kesihatan haiwan.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 3 Disember, Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, berkata AVS telah bekerjasama dengan kumpulan kesejahteraan haiwan untuk menetapkan piawaian bersama bagi kesejahteraan haiwan di seluruh tempat perlindungan. 

Beliau menambah bahawa tempat perlindungan memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan haiwan.

Tempat perlindungan haiwan di sini dikendali atas piawaian mereka sendiri untuk perumahan, penjagaan dan penempatan semula haiwan.

Terdapat sekitar 15 kumpulan kebajikan haiwan yang beroperasi di Singapura, yang dibiayai sendiri atau dibiayai derma awam.

Encik Tan berkata pihak berkepentingan lain, seperti tempat perlindungan, doktor haiwan, dan pelatih haiwan, turut memberi pandangan mengenai perkara itu pada September lalu. 

Setelah menerima maklum balas pelbagai pihak, AVS telah merangka beberapa bahagian yang dicadangkan untuk dimasukkan dalam garis panduan tersebut, termasuk:

Piawaian minimum dan amalan terbaik berkaitan kebertanggungjawaban pengendali tempat perlindungan haiwan.

Keperluan penyimpanan rekod tempat perlindungan, kawalan perosak, keselamatan, kakitangan dan latihan, serta protokol kecemasan.

Piawaian minimum dan amalan terbaik berkaitan keadaan, reka bentuk dan kelengkapan kandang dan persekitaran tempat tinggal haiwan.

Piawaian pengemasan, seperti pembersihan dan pengurusan sisa.

Standard minimum dan amalan terbaik berkaitan diet dan pemakanan, penyediaan dan penyimpanan makanan, serta kegiatan untuk menggalak kesejahteraan umum seperti senaman, sosialisasi, pengayaan dan latihan.

Keperluan untuk pengendalian dan pengangkutan haiwan. 

Standard minimum dan amalan terbaik berkaitan pemeriksaan kesihatan dan penyimpanan rekod, dan pemantauan kesihatan dan kesejahteraan, serta pencegahan penyakit dan mendapatkan perhatian dan rawatan veterinar.

Input awam mengenai bahagian utama itu akan digunakan untuk memperbaiki garis panduan yang dicadangkan sebelum versi muktamad dikongsi, kata AVS.

AVS, yang merupakan salah satu kluster di bawah Lembaga Taman Negara (NParks), juga sedang menjalankan semakan terhadap Akta Haiwan dan Burung 1965 serta Kod Kesejahteraan Haiwan.

Bahagian yang sedang disemak termasuk hukuman dan penguatkuasaan, pencegahan dan kawalan penyakit haiwan, serta pengawalan produk kesihatan veterinar dan alat latihan haiwan.

Menurutnya, ia akan mengambil pendekatan kolaboratif dalam semakan itu dan melibatkan pihak awam serta pemegang kepentingan masyarakat bagi memastikan pandangan mereka diambil kira.

AVS menambah bahawa ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk meningkatkan piawaian dan kesedaran mengenai kesejahteraan haiwan, serta mempromosikan pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg