Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akta, kod akan disemak bagi perkukuh perlindungan haiwan, kesihatan awam

Oct 27, 2024 | 6:46 PM
Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) akan semak semula Akta Haiwan dan Burung dan Kod Kebajikan Haiwan mereka selepas berdepan dengan beberapa kes penderaan dan kekejaman haiwan baru-baru ini.
Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) akan semak semula Akta Haiwan dan Burung dan Kod Kebajikan Haiwan mereka selepas berdepan dengan beberapa kes penderaan dan kekejaman haiwan baru-baru ini. - Foto ST

Demi memperkukuhkan perlindungan bagi kesihatan dan kebajikan haiwan, serta kesihatan dan keselamatan awam, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) sedang menyemak Akta Haiwan dan Burung.

AVS, sebuah kluster dalam Lembaga Taman Negara (NParks), juga sedang mengkaji Kod Kebajikan Haiwan bagi industri haiwan peliharaan untuk menangani kecuaian dalam bidang seperti dandanan dan penginapan.

Ketua pengarah AVS, Dr Chang Siow Foong, berkata: “Semakan ini termasuk denda yang dikenakan di bawah Akta Haiwan dan Burung, demi memastikan ia kekal berkesan dalam mencegah tindakan kekejaman dan penderaan haiwan.”

Semakan itu dilakukan ekoran beberapa kes penderaan yang dikeluarkan di berita beberapa tahun ini, lapor The Straits Times.

Baru-baru ini, dalam apa yang disifatkan oleh pendakwa sebagai “salah satu kekejaman ke atas haiwan yang paling teruk”, Barrie Lin Pengli, 32 tahun, didakwa di mahkamah selepas dia melepaskan perasaan marahnya dengan mendera kucing di kawasan Ang Mo Kio.

Menurut Persatuan Cegah Kekejaman Ke Atas Binatang (SPCA), mereka menyiasat 862 kes kekejaman dan kebimbangan kesejahteraan haiwan antara Julai 2022 dan Jun 2023 – jumlah tertinggi sejak tempoh yang sama antara 2011 dan 2012.

Pada 2023, ada beberapa kes mengejutkan yang mengundang kemarahan pencinta haiwan – antaranya ialah penangkapan seorang remaja lelaki yang dirakam dalam video cuba melakukan aksi lucah ke atas seekor kucing di luar sebuah flat HDB, dan dua kucing kurus kering ditemui terkurung dalam sangkar lebih sebulan dengan rangka tiga lagi kucing di sebuah flat sewa di Jalan Minyak.

Di bawah Akta Haiwan dan Burung sekarang, sesiapa yang didapati bersalah melakukan kesalahan seperti itu, termasuk pengabaian sembarang haiwan, boleh dipenjara hingga 18 bulan, didenda hingga $15,000, atau dikenakan kedua-dua hukuman itu.

Pesalah berulang boleh dipenjara hingga tiga tahun, didenda hingga $30,000 atau dikenakan kedua-dua hukuman itu.

“AVS mengamalkan pendekatan menyeluruh apabila mempertimbangkan tindakan paling sesuai untuk diambil terhadap pesalah dengan mempertimbangkan profil pesalah, keadaan kes, dan sama ada terdapat sebarang faktor pengurangan,” kata Dr Chang.

Dalam semakan Kod Kebajikan Haiwan bagi industri haiwan peliharaan, Dr Chang berkata AVS juga melihat kegagalan dalam tugas penjagaan oleh juru rias dan penyedia kemudahan penginapan haiwan peliharaan.

Di bawah kod sekarang, perniagaan sedemikian bertanggungjawab apabila haiwan peliharaan ditinggalkan dalam jagaan mereka. Haiwan itu tidak boleh dikendalikan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan, dan tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan.

Dr Chang berkata semua kemudahan penginapan haiwan peliharaan komersial perlu mempunyai lesen.

Pelanggaran kod itu tidak diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah dan, dalam tujuh bulan pertama 2024, Persatuan Pengguna Singapura (Case) menerima dua aduan berkaitan penjagaan haiwan peliharaan.

Memandangkan pendekatan menyeluruh itu berkesan dalam menjaga kesejahteraan haiwan sepanjang lima tahun lalu, AVS akan meneruskan pendekatan itu, yang merangkumi acara meningkatkan kesedaran seperti Pets’ Day Out, di mana mereka mendekati masyarakat melalui webinar, ceramah dan pameran bergerak.

“Tidak ada jalan mudah yang dapat mengatasi masalah ini. Ia memerlukan lebih seorang untuk berusaha demi mengatasinya. Dalam sektor ini, industri, doktor haiwan, pihak berkuasa dan pemilik haiwan peliharaan perlu memainkan peranan,” kata Dr Chang.

“Pemilik memainkan peranan penting, dan itulah sebabnya kami cuba mengaktifkan mereka melalui jangkauan dan pendidikan ini,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg