Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Awas penipu menyamar sebagai pegawai MOH

Pemanggil dakwa dari Kementerian Kesihatan, telefon mengenai subsidi atau tuntutan tertunggak
Jun 17, 2025 | 8:02 PM
Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu hantaran di Facebook pada 17 Jun memberi amaran agar orang ramai berhati-hati dengan panggilan telefon mengenai subsidi tertunggak atau tuntutan daripada individu yang mendakwa daripada pihak Kementerian Kesihatan (MOH), kerana mereka barangkali merupakan penipu.
Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu hantaran di Facebook pada 17 Jun memberi amaran agar orang ramai berhati-hati dengan panggilan telefon mengenai subsidi tertunggak atau tuntutan daripada individu yang mendakwa daripada pihak Kementerian Kesihatan (MOH), kerana mereka barangkali merupakan penipu. - Foto fail

Berhati-hati jika anda mendapat panggilan telefon mengenai subsidi atau tuntutan tertunggak, daripada individu yang mendakwa daripada pihak Kementerian Kesihatan (MOH), kerana mereka barangkali merupakan penipu.

Demikian amaran MOH menerusi hantaran di Facebook pada 16 Jun.

Dalam hantaran tersebut, ia berkata pihaknya sedia maklum berkenaan panggilan sedemikian.

Penipu akan meminta mangsa membawa dokumen ke bangunan utama MOH yang terletak di Outram untuk pengesahan.

Bagi menghilangkan sebarang keraguan, penipu akan menawarkan untuk memindahkan panggilan telefon itu kepada “polis” agar mangsa boleh mengesahkan kesahihan panggilan tersebut.

MOH berkata ia tidak memerlukan orang ramai mengemukakan dokumen secara peribadi untuk urusan subsidi atau tuntutan.

Ia juga tidak meminta pemindahan bank, wang tunai atau butiran bank peribadi daripada individu.

“Kami menggalakkan orang ramai yang menerima panggilan sedemikian supaya membuat laporan polis,” kata MOH.

Tiga lelaki dihadapkan ke mahkamah pada 6 Jun, selepas didapati terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram hasil menyamar sebagai pegawai pemerintah.

Salah seorang mangsa penipuan itu telah menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Polis berkata pada 6 Jun lebih 200 individu turut disiasat atas peranan mereka dalam penipuan – termasuk penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah – yang telah menyebabkan kerugian lebih $5.84 juta.

Sementara itu, sekurang-kurangnya $379,000 lesap sejak Mei akibat penipuan oleh individu yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Polis pada 3 Jun berkata jumlah kerugian itu dikaitkan dengan sekurang-kurangnya enam kes.

Dalam penipuan itu, mangsa akan menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai MOM.

Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa mereka telah menggajikan pekerja yang terbabit dalam kegiatan jenayah atau isu berkaitan imigresen, termasuk pengubahan wang haram, permit kerja atau visa yang telah tamat tempoh, serta kesalahan tinggal di Singapura melebihi tempoh yang dibenarkan.

Apabila mangsa menafikan mereka pernah menggajikan pekerja sebegitu, panggilan itu akan dipindahkan kepada seorang lagi individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai pemerintah, seperti polis atau pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Penipu kedua itu akan mengatakan bahawa mangsa telah terlibat dalam kegiatan jenayah.

Mangsa kemudian diminta menyerahkan wang kepada penipu bagi tujuan “siasatan” dan “demi keselamatan”, lapor The Straits Times.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg