Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesalah berulang tipu 61 mangsa lebih $310,000 dijel 2½ tahun

Jun 4, 2025 | 4:39 PM
jenayah, mahkamah, kes tipu
Arivalagan Muthusamy tidak mengambil iktibar daripada hukuman awal dan tetap melakukan beberapa kesalahan baru. - Foto SHIN MIN

Seorang lelaki yang dibebaskan dari penjara pada Disember 2022 tidak mengambil iktibar daripada hukumannya, sebaliknya merancang skim untuk menipu beberapa kontraktor, melibatkan 61 mangsa berjumlah lebih $310,000.

Menurut dokumen mahkamah, Arivalagan Muthusamy, mempunyai rekod kesalahan lampau – pemalsuan untuk tujuan menipu pada 2013 dan kesalahan penyalahgunaan komputer dalam sindiket penipuan emas dan mata wang kripto pada 2021.

Dia berada di bawah perintah keringanan hukuman apabila melakukan beberapa kesalahan terbarunya, lapor The Straits Times.

Di bawah perintah itu, dia sepatutnya mengawal diri daripada melakukan kesalahan dari 17 Disember 2022 hingga 28 Mac 2023.

Namun, penganggur warga Singapura itu terus menipu lebih ramai mangsa, termasuk firma memasang lantai dan unit pendingin hawa sebelum dia ditangkap pada 4 Julai 2023.

Dia didakwa di mahkamah pada hari berikutnya.

Pada 4 Jun, lelaki berusia 40 tahun itu, yang tidak membuat pembayaran balik, dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun selepas dia mengaku salah atas 21 pertuduhan menipu, melibatkan hampir $154,000.

Firma-firma yang ditipunya kerugian antara $5,400 dengan $10,000.

Lebih 40 pertuduhan dikaitkan dengan baki mangsa dan keuntungan yang diperoleh secara haram diambil dalam pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan.

Muthusamy juga mesti menghabiskan tambahan 88 hari di penjara selepas melanggar perintah keringanan hukuman yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Maximilian Chew, memberitahu mahkamah bahawa pada akhir 2022, Muthusamy mengetahui tentang penipuan yang dilakukan terhadap kontraktor dan memutuskan untuk melakukan kesalahan yang sama.

Dia menghubungi kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja di premis tertentu, biasanya bangunan komersial seperti pusat beli-belah.

Dia kemudian akan mengarahkan mangsa kepada “orang yang boleh dihubungi”, kononnya seseorang yang mempunyai pengurusan bangunan hartanah tersebut.

Selepas itu, Muthusamy akan datang dan memperkenal dirinya sebagai wakil pengurusan bangunan dan meminta mangsa membayar sejumlah wang sebagai deposit keselamatan.

Dia akan memberikan butiran akaun bank untuk tujuan tersebut.

Bagi setiap pertuduhan menipu, pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg