Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ayah bawa konsert Coldplay ‘ke rumah’ bagi mangsa trauma otak, Nuruljannah

Jan 31, 2024 | 6:29 PM
Cik Nuruljannah Mohammad Razib, 27 tahun, seorang mangsa kecederaan trauma di otak selepas satu kemalangan pada 2019, menonton kosert Coldplay menerusi satu siaran langsung di YouTube yang dimainkan di televisyen rumah.
Cik Nuruljannah Mohammad Razib, 27 tahun, seorang mangsa kecederaan trauma di otak selepas satu kemalangan pada 2019, menonton kosert Coldplay menerusi satu siaran langsung di YouTube yang dimainkan di televisyen rumah. - Foto Tiktok/ZibSg

Sedang ramai penonton menari mengikut irama lagu dendangan kumpulan dari England, Coldplay di konsert enam malam yang habis dijual di OCBC Arena, satu keluarga di sini tidak sanggup membuat anak mereka, seorang mangsa kecederaan trauma di otak rasa ketinggalan.

Mereka membawa konsert tersebut secara langsung ke rumah khusus bagi tontonan Cik Nuruljannah Mohammad Razib, seorang mangsa kemalangan pada 2019 yang kini tidak mampu bergerak.

Cik Nuruljannah, 27 tahun, menonton konsert tersebut yang ditayangkan secara langsung di YouTube.

Video yang memaparkan Cik Nuruljannah menonton konsert tersebut di televisyen rumah keluarganya, dimuat naik ayahnya Encik Razib Mohammad Razib Samsudin, 55 tahun, di TikTok pada 28 Januari.

Tanpa diduga, video tersebut telah menarik lebih 272,000 tontonan sehingga artikel ini ditulis.

“Abangnya dan adik perempuannya telah membeli tiket untuk menonton konsert Coldplay di Singapura pada Sabtu, 27 Januari,” kata Encik Razib, seorang pereka kraf tangan kulit.

“Kami tidak mahu membuatnya rasa ketinggalan... jadi kami mahu beliau rasakan suasana konsert Coldplay secara ‘live’ di rumah,” tambahnya.

View post on TikTok

Pada 11 Februari 2019, Cik Nuruljannah, seorang bekas pelatih paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) merupakan mangsa kemalangan jalan raya di Bartley Road East, apabila motosikal diboncengnya yang ditunggang seorang rakan kerja bertembung dengan sebuah lagi motosikal.

Kemalangan itu menyebabkan beliau yang merupakan pembonceng, dan ketika itu berusia 22 tahun, cedera parah, termasuk patah tulang di tengkorak, trauma di otak serta cedera di tangan, wajah dan tulang belakangnya.

Susulan itu pada Ogos 2022, satu kes tuntutan kecuaian di mahkamah menjadi tajuk berita apabila mahkamah meluluskan pembayaran penyelesaian setinggi $3.8 juta kepada ibu bapa Cik Nuruljannah yang membuat tuntutan dalam kes itu.

Ia diluluskan sebagai pampasan penuh atas perbuatan cuai yang diterima penunggang motosikal yang diboncengnya dan seorang lagi penunggang yang terbabit dalam kemalangan berkenaan. Bayaran itu ditanggung pengendali insurans kedua-dua penunggang tersebut.

Cik Nuruljannah Mohammad Razib, kelihatan diangkat menggunakan alat pengangkat atau ‘hoist’, dikendali ayahnya Encik Mohammad Razib Samsudin (paling kiri) dan ibunya Cik Anisah Salim di rumah mereka pada November 2020.
Cik Nuruljannah Mohammad Razib, kelihatan diangkat menggunakan alat pengangkat atau ‘hoist’, dikendali ayahnya Encik Mohammad Razib Samsudin (paling kiri) dan ibunya Cik Anisah Salim di rumah mereka pada November 2020. - Foto fail.

Sejak kemalangan itu, rumah lima bilik di Pasir Ris Encik Razib, dan isterinya, Cik Anisah Salim, seorang guru sekolah rendah, 55 tahun, diubah suai agar mudah dilengkapi beberapa peralatan untuk membantu Cik Nuruljannah dalam urusan sehariannya.

Menyambung perkongsiannya kepada wartawan, Encik Razib berkata Cik Nuruljannah sebelum ini merupakan seorang anak yang ceria dan sangat gemar pada muzik.

Beliau juga berbakat dalam permainan alat muzik seperti gitar, selain menyanyi dan pernah membuat persembahan di tempat umum.

Bahkan, beliau juga memiliki kelayakan gred lapan bermain piano.

Cik Nuruljannah kelihatan membuat persembahan di Campers’ Corner di Bukit Timah (kiri) dan bermain gitar di rumahnya (kanan) dalam video-video dirakam pada 2017, dua tahun sebelum ditimpa kemalangan.
Cik Nuruljannah kelihatan membuat persembahan di Campers’ Corner di Bukit Timah (kiri) dan bermain gitar di rumahnya (kanan) dalam video-video dirakam pada 2017, dua tahun sebelum ditimpa kemalangan. - Foto TikTok/ZibSg

“Beliau memang gemarkan muzik dan telah belajar sendiri untuk bermain gitar... beliau suka dengan (gitar) Gibson-nya,” kata Cik Razib lagi merujuk kepada jenama gitar dari Amerika Syarikat itu.

Menurut Encik Razib, Coldplay juga tersenarai sebagai kumpulan kegemaran Cik Nuruljannah selain artis pop barat lain seperti Avril Lavinge, Imagine Dragons dan One Republic.

Lagu berjudul Fix You oleh Coldplay, yang liriknya menceritakan tentang bagaimana cinta yang tulus dapat mengubati seseorang yang memerlukan, adalah lagu kegemaran Cik Nuruljannah, kata Encik Razib.

Dalam video yang dimuat naik Encik Razib di TikTok, beberapa pengguna telah membalas di ruang komen dengan niat untuk menawarkan tiket percuma konsert Coldplay itu kepada Cik Nuruljannah.

Namun Encik Razib menolak tawaran itu, sambil mengucapkan terima kasih dan agar mereka meneruskan rancangan menonton konsert tersebut dengan orang tersayang.

“Kami sangat senang diberi peluang untuk membawanya ke sana (konsert itu). Tetapi kami harus menolaknya kerana Nuruljannah sensitif kepada bunyi kuat dan cahaya lampu yang terang,” kata Encik Razib di ruang komen.

Cik Nuruljannah (kiri) bersama neneknya, Allahyarhamha Hajjah Hamidah Abdul Razak, dan adik bongsu, Cik Nur Laila Mohammad Razib, sebelum kemalangannya pada 2019. Beliau seorang pelatih paramedik bersama SCDF ketika gambar diambil pada 2018.
Cik Nuruljannah (kiri) bersama neneknya, Allahyarhamha Hajjah Hamidah Abdul Razak, dan adik bongsu, Cik Nur Laila Mohammad Razib, sebelum kemalangannya pada 2019. Beliau seorang pelatih paramedik bersama SCDF ketika gambar diambil pada 2018. - Foto ihsan keluarga NURULJANNAH MOHAMMAD RAZIB

Mengulas tentang keadaan Cik Nuruljannah pada masa ini, Encik Razib berkata, mujur, ketrampilan anaknya lebih baik dan keadaannya lebih stabil sejak Cik Nuruljannah dibawa ke Perth, Australia Barat pada Ogos 2023, untuk menjalani terapi otak.

Pada hujung 2022, Cik Nuruljannah mengalami komplikasi teruk apabila saluran cecair otak yang dipasang di dalam otaknya, susulan kemalangan itu, mengalami jangkitan dan menyebabkan beliau demam panas dan mengalami sawan.

Sejak itu, saluran itu telah dikeluarkan dan keadaannya kekal stabil hingga kini.

Encik Razib berkata semua perbuatan, pergerakan dan urusan seharian anaknya memerlukan bantuan daripada ahli keluarganya di rumah dan mereka bakal ke Perth lagi bagi rawatan lanjut.

“Doktor di Perth beritahu, keadaan Nuruljannah sekarang stabil cuma beliau kadang-kala ada kesedaran dan kadang-kala sebaliknya,” ujarnya lagi.

“Masih ada pergerakan dalam otaknya dan beliau sedar terhadap persekitarannya cuma tidak boleh meluahkan perasaan, bertutur atau bergerak sendiri.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg