Di rumah, ayah Encik Luqman Nur Hakim Mohamed Erwan-lah orang yang membaiki apa sahaja perkakas elektrik.
Sama ada menukar mentol lampu, baiki barangan elektronik rumah, ataupun selesaikan masalah bekalan elektrik terputus, ayahnya, Encik Mohamed Erwan Jumahat, 56 tahun, melakukannya dengan mudah dan cekap.
Melihat ayahnya mengendalikan tugas-tugas ini dengan kemahiran dan keyakinan yang sedemikian mencetuskan minat yang mendalam terhadap dirinya.
Minat itu dibakar lagi apabila ayahnya, seorang penyambung kabel kanan yang berpengalaman lebih 20 tahun bersama SP Group, sering membawa pulang kerjanya dan akan menerangkan tugasnya, memperincikan kerja pengkabelan yang rumit dan cabaran harian beliau dihadapi.
Kini Encik Luqman, 21 tahun, bakal mengikut jejak ayahnya.
Pada 31 Julai, beliau adalah antara 204 penerima Biasiswa Industri-Singapura (SgIS).
Beliau, yang kini menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), ditawarkan kemasukan terus ke tahun kedua pengajian jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 2025 dan kemudiannya menjalani bon selama empat tahun bersama SP Group.
Berkongsi laluan kerjayanya bersama Berita Harian, Encik Luqman berkata selepas menamatkan pendidikan di Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim, beliau memilih mengikuti pengajian diploma di Politeknik Singapura (SP) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Keputusan tersebut dipengaruhi oleh minatnya dalam kerja praktikal dan dorongan ayahnya, yang melihat potensi besar dalam dirinya.
“Lagipun, ayah punyai latar belakang bekerja di sektor ini, jadi beliau amat menggalakkan dan mempengaruhi saya untuk turut ceburi bidang kerjaya ini,” jelas beliau, yang pada awalnya mempunyai keraguan semasa pembelajaran di rumah sewaktu di SP akibat pandemik Covid-19.
Namun, Encik Luqman kekalkan tekadnya dan mula didedahkan kepada pengalaman secara langsung hasil tunjuk ajar ayahnya.
Memandang ke hadapan, beliau akan menceburi bidang itu untuk beberapa tahun akan datang kerana baginya, “bidang ini adalah hala kerjaya”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg