Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ayuh kayuh... karyawan wanita sertai acara berbasikal kumpul dana

Hasil daripada acara akan beri manfaat kepada kanak-kanak dan belia di bawah program The Scaffold
Jul 31, 2023 | 5:30 AM
TUBUH PASUKAN BASIKAL: Cik Dahlia Mohd (kanan) bersama rakan-rakannya menubuhkan sebuah pasukan berbasikal wanita awal tahun ini dan baru-baru ini mereka menyertai perlumbaan L’Etape Malaysia yang diadakan di Desaru, Johor.
TUBUH PASUKAN BASIKAL: Cik Dahlia Mohd (kanan) bersama rakan-rakannya menubuhkan sebuah pasukan berbasikal wanita awal tahun ini dan baru-baru ini mereka menyertai perlumbaan L’Etape Malaysia yang diadakan di Desaru, Johor. - Foto ihsan DAHLIA MOHD

Dua kali seminggu, sebelum matahari terbit, bertemankan basikalnya, Cik Dahlia Mohd, akan keluar bertemu rakan-rakannya.

Ibu tiga anak, berusia antara lima dengan 10 tahun, akan keluar berbasikal bersama-sama lima lagi rakannya, yang juga rakan sepasukan berbasikalnya.

Mereka akan berlatih sekurang-kurangnya tiga jam pada hujung minggu, sebagai sebahagian daripada latihan ketahanan (endurance) mereka.

Ini merupakan antara rutin mingguan mereka sejak awal tahun ini selepas mereka membentuk pasukan lumba basikal wanita mereka sendiri yang dikenali sebagai IBEX.

“Hasrat untuk membentuk pasukan lumba basikal ‘endurance’ ini adalah agar kita dapat mengambil bahagian dalam perlumbaan L’Etape Malaysia, yang berlangsung awal bulan ini.

“Perlumbaan ini dianjurkan Tour de France dan ia telah diadakan di Desaru, dengan lebih daripada 4,000 penyertaan.

“Hanya 10 peratus daripada peserta dalam kategori 140 kilometer merupakan wanita.

“Kami mahu meningkatkan kesedaran serta menggalakkan lebih ramai wanita untuk menyertai sukan daya tahan,” kata Cik Dahlia, 41 tahun.

Sebagai golongan ibu yang mempunyai kerjaya mereka yang tersendiri, Cik Dahlia akur bahawa mereka perlu mencari keseimbangan antara menggalas tugas sebagai seorang ibu, kerjaya masing-masing dengan mencari masa yang sesuai untuk berlatih.

Ia menjadi satu cabaran lebih-lebih lagi apabila mereka berenam baru sahaja berkecimpung dalam sukan berbasikal kompetitif jarak jauh ini.

Pasukan itu, yang terdiri daripada seorang ahli fisioterapi, perunding alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), penari, pemilik kafe, usahawan dan ejen hartanah, akan cuba mengutamakan latihan menjelang perlumbaan dan akan berehat awal bagi memastikan mereka mampu memulakan latihan pada awal pagi, menurut Cik Dahlia.

Meskipun sibuk dengan latihan, menguruskan keluarga serta kerjaya mereka, pasukan IBEX kini sedang membuat persediaan menyertai cabaran ketahanan berbasikal atau ‘cycling endurance challenge’ dalam usaha membantu mengumpul dana bagi sebuah badan amal tempatan, SHINE Children and Youth Services.

Acara itu, yang diberi nama GRIT, adalah sebahagian daripada kempen ‘Nothing is Impossible’ SHINE dan bertujuan untuk mengumpul sekitar $50,000 daripada penyertaan dan tajaan.

Semua hasil daripada acara itu akan disalurkan terus kepada SHINE dan akan memberi manfaat kepada kanak-kanak dan belia di bawah Program The Scaffold, sebuah daya usaha campur tangan awal badan amal itu.

Ia dibuka kepada orang ramai berusia 18 tahun ke atas dan mereka boleh mengambil bahagian dalam kategori 58 kilometer (km), bagi merai sambutan Hari Kebangsaan yang ke-58, dan kategori 128 km, laluan panjang yang menjelajah negara ini.

Cik Dahlia, yang turut membantu menganjurkan acara itu, menyifatkan ia sebagai satu usaha murni dan ia juga satu kesempatan untuk memberi balik kepada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau juga ingin menggalak wanita lain untuk menyertai acara itu agar mereka juga dapat nikmati keseronokan berbasikal jarak jauh.

“Sekiranya terdapat penunggang basikal wanita di luar sana yang ingin mencuba berbasikal seluruh pulau ini buat kali pertama, mereka boleh dipadankan dengan kumpulan berbasikal tempatan kami yang berpengalaman pada hari acara dan menunggang bersama-sama.

“Kami berharap ini dapat membantu meningkatkan keyakinan mereka dan mungkin selepas ini mereka lebih berani untuk mencuba berbasikal jarak yang lebih jauh.

“Mungkin juga mereka boleh menyertai pasukan perlumbaan kami,” seloroh Cik Dahlia.

Selain pasukan IBEX, satu lagi pasukan berbasikal tempatan yang akan menyertai acara GRIT itu ialah Team Garcia, yang terdiri daripada pelumba basikal berusia antara 13 dengan 23 tahun.

Pengasas bersama pasukan itu, Encik Samuel Koh berkata selain daripada melatih belia untuk menjadi atlet Singapura masa depan, tumpuan mereka juga adalah untuk pembangunan peribadi pelumba.

Justeru, Encik Koh menyifatkan acara GRIT yang bakal berlangsung pada 13 Ogos itu, selaras dengan matlamat pasukan itu dalam mewujudkan kesan positif dalam masyarakat.

“Setiap tahun kami akan menganjurkan pengagihan makanan kepada golongan memerlukan dan turut menyokong daya usaha yang dijalankan kumpulan Break the Cycle SG, yang menjadikan kegiatan berbasikal sebagai wadah membantu bekas pesalah keluar daripada cengkaman residivisme, atau kembali mengulangi kesalahan mereka.

“Kami mahu penunggang muda kami, sebahagian daripada mereka yang datang daripada keluarga bermasalah, melihat bahawa masih ada mereka di luar sana yang menghadapi kehidupan yang lebih sukar dan masih memerlukan bantuan kami,” kata Encik Koh.

ACARA GRIT 2023

Tarikh: 13 Ogos 2023 

Waktu: Pendaftaran bermula 6 pagi

Lokasi permulaan dan akhir: George’s @ Pasir Ris

[ο] Dibahagikan kepada dua kategori: 58km (tidak kompetitif) dan 128km (kompetitif)

[ο] Boleh ambil bahagian secara individu atau empat sekumpulan

[ο] Peserta perlu mempunyai akaun STRAVA

[ο] Setiap peserta yang menamatkan laluan berbasikal akan menerima sehelai kemeja-T

Bagi mereka yang berminat menyertai acara itu boleh lungsuri laman https://klikklik.cc/pages/grit untuk pendaftaran dan maklumat lanjut. 

“Perlumbaan ini dianjurkan Tour de France dan ia telah diadakan di Desaru, dengan lebih daripada 4,000 penyertaan. Hanya 10 peratus daripada peserta dalam kategori 140 kilometer merupakan wanita. Kami mahu meningkatkan kesedaran serta menggalakkan lebih ramai wanita untuk menyertai sukan daya tahan.”
Cik Dahlia Mohd.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg