Sebelum 2024 melabuhkan tirai, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah juga terus berusaha gigih menjalankan kerja peningkatan dan pengubahsuaian.
Program naik taraf yang berterusan itu perlu dilaksanakan sempena cuti sekolah pada November dan Disember 2024 dan dijangka siap sebelum pembukaan sekolah pada Januari 2025.
Madrasah Al-Ma’arif bakal berusia 90 tahun pada 2026, dan hingga kini terus melahirkan pelajar perempuan intelektual di rantau ini.
Menurut Pegawai Pengumpulan Dana Madrasah Al-Ma’arif, Cik Siti Radhiyah Rahmat, bangunan di Lorong 39 Geylang ini, telah berusia hampir 20 tahun.
Dengan ini, banyak kerja pembaikan dan peningkatan perlu dilakukan dengan segera.
Antaranya, pengubahsuaian di aras dua, tempat terletaknya bilik dan pejabat pentadbiran, bilik kakitangan, serta bilik ketua jabatan, dengan hampir 70 kakitangan di madrasah tersebut.
Beliau berkata sebelum peningkatan, bangunan dan ruang yang tersedia agak sempit dan kurang bilik untuk penyimpanan barangan persekolahan.
Kos pengubahsuaian dan peningkatan itu dijangka mencecah lebih $800,000.
“Sebelum ini, tempat kami agak terhad, dan juga tidak banyak ruang penyimpanan, atau ‘storage’. Selain itu, keutamaan kami adalah kepada pelajar agar mereka boleh menuntut ilmu dengan lebih kondusif.
“Kami juga turut menitikberatkan kemaslahatan kakitangan, agar mereka lebih selesa dengan menyediakan persekitaran lebih baik lagi.
“Selain itu, kerja peningkatan ini juga dapat membantu membaiki segala kerosakan dan kerja penyelenggaraan untuk lif, pendingin udara dan sebagainya,” jelas Cik Siti Radhiyah.
Pengerusi Madrasah Al-Ma’arif, Cikgu Mohd Ma’mun HMF Suheimi, memberitahu Berita Harian (BH), pihaknya perlu melakukan projek perluasan bilik pejabat dan bilik guru kerana penambahan bilangan guru yang mengajar di madrasah.
“Bangunan sedia ada ini sudah hampir berusia 20 tahun. Oleh itu, timbul beberapa kerosakan dan perlu pembaikan sewajarnya.
“Selain itu, ada beberapa ruang pejabat dan bilik-bilik yang perlu diluaskan kerana bertambahnya bilangan guru kami di Madrasah Al-Ma’arif ini.
“Kami amat mengalu-alukan sokongan dan sumbangan ikhlas daripada semua pihak, untuk meringankan usaha kami dalam mencapai matlamat yang kami inginkan ini,” kata Cikgu Mohd Ma’mun dengan positif.
Di samping itu, pihak madrasah juga menjual kalendar 2025, berharga $12 setiap satu dan ditawarkan dalam dua bentuk; untuk digantung atau diletakkan di atas meja.
Kalendar itu mengandungi pelbagai maklumat penting seperti waktu solat, tarikh kebesaran Islam dan tarikh Hijrah.
Sumbangan boleh disalurkan dalam beberapa cara:
1. Berikan sumbangan anda melalui PayNow UEN: S36MM0001G.
2. Perbankan Internet: OCBC 507018232001.
3. Pungutan dari rumah (minimum $100) atau untuk pembelian kalendar, sila WhatsApp ke talian 9182-4766 (nyatakan nama, alamat dan jumlah sumbangan yang ingin diberikan).
4. Datang terus di pejabat madrasah, Isnin hingga Jumaat (dari 9 pagi hingga 3 petang).
5. Hantarkan cek atas nama ‘Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah’ dan pos ke alamat No 3, Lorong 39 Geylang, Singapura 387865.
6. Sila ke laman web, www.infaqmadrasahalmaarif.com


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg