Meski hampir berusia 90 tahun pada 2026, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, terus teguh melahirkan intelektual Muslim wanita hingga kini.
Dibina pada 1936, dan kini bangunannya yang terletak di No. 3, Lorong 39 Geylang sudah menjangkau hampir 18 tahun.
Bangunan lapan tingkat itu perlu menjalani pelbagai pengubahsuaian yang berterusan demi keselesaan pelajar dan kakitangan.
Menurut Pegawai Pengumpulan Dana Madrasah Al-Ma’arif, Cik Siti Radhiyah Rahmat, pihaknya memerlukan dana hampir $2 juta bagi 2024-2025, demi menampung segala keperluan dan prasarana madrasah.
“Dana $2 juta ini adalah untuk menampung kos operasi seperti membayar bil api air, membaiki kerosakan dan baik pulih, membeli peralatan sekolah dan sebagainya.
“Madrasah juga perlu melakukan kerja baik pulih secara berterusan, dan kami menjangkakan ia akan selesai sebelum pembukaan sekolah pada Januari 2025,” jelas Cik Siti Radhiyah.
Cik Siti Radhiyah menjelaskan, antara kerja naik taraf yang perlu diberikan perhatian adalah pengubahsuaian dan ubah elok di aras dua di bilik pejabat guru dan kakitangan madrasah, serta memperbaiki segala kerosakan yang terdapat di dalam dan sekitar bilik darjah pelajar.
“Waktu yang boleh kami lakukan segala kerja pembaikan dan ubah suai ini hanya pada cuti sekolah, terutama bulan Jun dan Disember.
“Bangunan madrasah ini perlu dipertingkat dan kerja pembaikan harus dijalankan dengan segera. Bangunan kami mempunyai lapan tingkat, dan setiap aras memerlukan keperluan tersendiri dan disebabkan kekurangan ruang dan tempat, kami hanya mempunyai dua kelas sahaja bagi setiap peringkat,” ujar Cik Siti Radhiyah.
Selain menerima sumbangan derma dan wang daripada orang ramai, Madrasah Al-Ma’arif tetap mengalu-alukan pemberian zakat harta bagi tiga asnaf sahaja iaitu fisabilillah, ibnu sabil dan miskin.
“Dana-dana yang terkumpul ini tidak hanya tertakluk kepada bangunan sahaja, malah ia juga disalurkan kepada keperluan dan pendidikan di madrasah seperti menyokong program pendidikan untuk pelajar dan kakitangan madrasah.
“Kami sangat mengharapkan sokongan ramai agar misi menyokong keperluan madrasah ini segera tercapai,” tambah Cik Siti Radhiyah.
HULUR SUMBANGAN
Sumbangan boleh disalurkan dalam beberapa cara:
1. Pemberian sumbangan melalui PayNow UEN: S36MM0001G.
2. Perbankan Internet: OCBC 507018232001.
3. Pungutan dari rumah (minimum $100): WhatsApp ke talian 9182-4766 (nyatakan nama, alamat dan jumlah sumbangan yang ingin diberikan).
4. Hadir di pejabat Madrasah Al-Ma’arif, Isnin hingga Jumaat (8 pagi hingga 4 petang).
5. Hantar cek atas nama ‘Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah’ dan poskan ke alamat No. 3, Lorong 39 Geylang, Singapura 387865.
6. Lungsuri laman web, www.infaqmadrasahalmaarif.com
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg