Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Azam luar biasa belia kurang upaya raih Anugerah Ketabahan

Nov 12, 2025 | 5:53 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam menyampaikan Anugerah Ketabahan kepada Muhammad Ridhwan Mohammad Fadli pada majlis Anugerah AWWA-CIS 2025 di Safra Choa Chu Kang.
Presiden Tharman Shanmugaratnam menyampaikan Anugerah Ketabahan kepada Muhammad Ridhwan Mohammad Fadli pada majlis Anugerah AWWA-CIS 2025 di Safra Choa Chu Kang. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ketika Muhammad Ridhwan Mohammad Fadli baru berusia 10 tahun, hidupnya berubah dalam sekelip mata.

Sawan yang dialami selepas demam mengakibatkan beliau bergantung kepada alat sokongan hayat selama 14 hari dan menjalani rawatan di hospital selama tiga bulan.

Insiden itu meninggalkan kesan mendalam apabila beliau lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah serta mengalami pengurangan fungsi pada lengan kiri.

Namun, semangatnya tidak pernah luntur. Berkerusi roda dan berdepan cabaran pertuturan serta kognitif, Ridhwan tetap tekun meneruskan pelajaran.

Usaha gigih itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah arus perdana berdasarkan keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 2024.

Pada 8 November lalu, Ridhwan pelajar Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim,13 tahun, menerima Anugerah Ketabahan daripada Perkhidmatan Bersepadu Masyarakat (CIS) AWWA, sebagai pengiktirafan terhadap keberaniannya mengatasi cabaran luar biasa.

Anugerah itu disampaikan dalam Majlis Anugerah CIS 2025 yang diadakan di Junior Ballroom, Safra Choa Chu Kang, yang meraikan pencapaian golongan belia berkeperluan khas serta rangkaian sokongan mereka.

Encik Mohammad Fadli Ramlan, 43 tahun, bapa kepada Muhammad Ridhwan berkata CIS telah meneliti persekitaran seperti sekolah, bilik darjah dan rumahnya bagi memberikan cadangan untuk meningkatkan tahap kebolehcapaian beliau.

“Integrasi masyarakat amat penting bagi Ridhwan untuk menggalakkan penyertaan dan membina keupayaan berdikari,” kata Encik Mohammad Fadli, yang bangga dengan pencapaian anaknya.

Majlis yang diadakan sekali dalam dua tahun, yang juga menandakan ulang tahun acara anugerah CIS yang ke-25 itu turut dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam selaku Tetamu Kehormat.

Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua turut hadir dan memberikan ucapan pembukaan.

“Dari menyokong kira-kira 70 pelajar di 40 sekolah pada tahun 1990-an, CIS kini membantu lebih 300 pelajar setiap tahun di sekolah rendah, menengah, maktab rendah dan institusi pengajian tinggi di seluruh Singapura,” kata Encik Chua.

“Pertumbuhan ini bukan sekadar tentang angka. Ia mencerminkan komitmen dan kepercayaan AWWA terhadap konsep inklusif.”

Encik Chua turut menghargai usaha CIS yang telah memperkasa ramai pelajar untuk mengatasi halangan dan mencapai potensi mereka sepenuhnya.

Beliau menambah MSF menyasarkan kadar pekerjaan 40 peratus bagi golongan orang kurang upaya, menerusi usaha memperkukuh sokongan pekerjaan dan membangunkan keupayaan majikan inklusif.

Antara contoh kejayaan itu termasuk bekas pelajar CIS yang kini menjadi atlet Paralimpik, profesional berjaya, serta pendukung masyarakat yang terus memberi inspirasi kepada orang lain.

Hadir sama pada majlis itu ialah Cik Nur Syahidah Alim, 40 tahun - atlet pemanah wanita pertama Singapura di Sukan Paralimpik yang turut dijemput sebagai penceramah undangan.

Dilahirkan dengan penyakit diplegia, sejenis cerebral palsy yang menjejaskan anggota bawahnya, Cik Syahidah berkata:

“Bagi saya, AWWA CIS bukan sekadar organisasi kebajikan. Ia adalah ruang di mana kanak-kanak dan belia kurang upaya dapat membesar dan belajar menjadi berdikari sambil menjadi sebahagian daripada masyarakat.”

Beliau turut menekankan kepentingan usaha integrasi komuniti yang diterajui AWWA.

“Inisiatif seperti ini mengingatkan kita bahawa sikap inklusif amat penting dalam memperkukuh masyarakat,” kata Cik Syahidah.

“Ia mewujudkan peluang bagi semua; sama ada berkeupayaan atau kurang upaya, untuk belajar daripada kekuatan masing-masing dan membina ketahanan bersama.”

Menjawab soalan wartawan, Cik Syahidah memuji semangat penerima anugerah muda seperti Ridhwan yang menunjukkan keazaman luar biasa dan menjadi inspirasi kepada ramai.

Selain Ridhwan, acara tersebut turut menyampaikan anugerah kepada 30 penerima dalam 10 kategori.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg