Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Namun walau betapa berat pun cabaran dan dugaan yang menimpa dirinya, Encik Mohammed Nazir Bujang sentiasa mengutamakan keperluan anak-anaknya.
Beliau pernah menjadi bapa tunggal dan perlu menguruskan sendiri empat anaknya termasuk anak keduanya, Mohammed Haziq, yang berkeperluan khas dan disahkan mengalami kelewatan pembangunan global (GDD).
Ketika Haziq berumur tiga tahun dan mula mengikuti program campur tangan di Sekolah Persatuan Kebajikan Wanita Asia (Awwa), Encik Nazir berjalan kaki sambil menolak kereta roda selama dua jam dari flat sewa satu biliknya di Toa Payoh ke sekolah itu di Lorong Napiri.
Beliau menemani anaknya yang pada waktu itu tidak boleh bercakap dan sukar berjalan di dalam kelas selama beberapa jam sebelum pulang bersama-sama.
Rutin itu dilakukannya tiga kali seminggu selama hampir tiga tahun.
“Haziq tidak suka berada dalam ruang yang terkepung dan dia akan memukul kepalanya jika kami menaiki kenderaan seperti bas atau teksi.
“Jadi saya berjalan kaki untuk menghantarnya ke sekolah, dalam hujan atau panas, agar dia mendapat sokongan yang diperlukan,” kata Encik Nazir.
Disebabkan itu, beliau terpaksa berhenti kerja buat sementara waktu dan bergantung kepada bantuan kewangan yang dihulurkan badan-badan tertentu.
Ia satu keputusan yang tidak mudah diambilnya kerana pada waktu itu, beliau menjaga empat anak hasil perkahwinan pertamanya.
Anak-anaknya itu kini berumur 19, 17 dan sepasang kembar berumur 13 tahun.
Setelah beberapa tahun menduda, Encik Nazir berumah tangga dengan seorang ibu tunggal yang mempunyai anak perempuan yang mengalami autisme dan kini berumur 16 tahun.
Pasangan itu mempunyai seorang lagi anak berumur lapan tahun.
Hari ini, Encik Nazir, 47 tahun, melakukan pelbagai kerja rencam yang memberinya fleksibiliti masa untuk menguruskan sebarang urusan berkaitan anak-anaknya apabila perlu.
Ini termasuk apabila anak-anaknya jatuh sakit dan perlu diambil dari sekolah.
Isterinya, Cik Zamiah Kasim, 50 tahun, melakukan tugas tatabuku, atau book keeping, dari rumah.
“Sebagai bapa kepada enam anak, cabaran terbesar yang saya hadapi adalah berkaitan masa. Adakala saya melakukan tiga atau empat kerja berbeza dalam satu hari, dari pagi sampai malam, dan saya tak dapat nak luangkan masa dengan anak-anak.
“Saya mahu berikan mereka semuanya – bimbingan pendidikan akademik dan agama serta mengajar mereka tentang nilai, budaya dan adat.
“Kalau saya tidak dapat selalu bersama mereka, saya takut mereka tidak dapat merasakan kesan atau kehadiran seorang bapa,” kata Encik Nazir, yang melakukan apa sahaja kerja, daripada mencuci kolam renang ke memotong rumput .
“Saya juga perlu mengajar anak-anak saya bahawa keluarga kami tidak seperti banyak keluarga lain. Mereka perlu faham dan menerima keadaan bahawa mereka selalu perlu mengalah kepada adik-beradik yang berkeperluan khas,” tambahnya.
Satu lagi cabaran yang turut beliau hadapi adalah berkaitan kewangan.
Encik Nazir berkata beliau, seperti kebanyakan bapa lain, mahu memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya namun beliau tahu had dan kemampuannya.
“Jadi apa yang saya amalkan adalah untuk tidak berhutang. Kalau tak mampu, jangan beli.
“Saya pun tak mahu membuat pembelian dengan pembayaran ansuran. Saya perlu pastikan saya ada simpanan yang mencukupi untuk perbelanjaan harian dan mengejut seperti bagi perubatan anak-anak dan sebagainya,” katanya.
Encik Nazir juga berkata beliau tidak lagi mahu menerima bantuan kewangan walaupun masih layak.
“Saya mahu menunjukkan kepada anak-anak saya bahawa kami tidak bergantung kepada bantuan.
“Dulu kami susah dan perlukan bantuan. Selepas sudah stabil, kami berhenti menerimanya. Pada saya, menerima bantuan ini membuat saya rasa yang saya mengalah.
“Saya perlu tunjukkan kepada anak-anak yang saya ini orang yang kuat. Saya ada anak lelaki, dan saya mahu tunjukkan yang saya seseorang yang gigih berusaha, selagi masih sihat dan masih boleh.
“Saya mahu tunjukkan yang apa yang keluarga kami kecapi dan nikmati kini adalah atas kerja keras,” katanya.
Cik Zamiah berkata walaupun dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab, Encik Nazir pastikan perhatian diberi kepada setiap ahli keluarga melalui pelbagai kegiatan dan cara.
“Pada hujung minggu, kami sekeluarga keluar bersama dan pergi makan, ke pantai atau ke pusat beli-belah. Sejak setahun lalu, selepas keadaan keluarga menjadi lebih stabil, beliau bawa saya keluar tiga hingga empat kali seminggu, selepas anak-anak tidur. Beliau bawa saya keluar makan malam atau menonton wayang,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg