Menurut pengasas kumpulan pantun, Pantuism, Encik Shahril Samri, “pantun kaya dengan nilai dan menjadi jambatan abadi antara generasi”.
Encik Shahril, 37 tahun, telah mengetuai lebih dari 100 peserta dalam bacaan pantun beramai-ramai yang dikarang olehnya di acara Bulan Bahasa @ Keat Hong CC 2025, pada 27 September lalu.
Acara bersejarah itu mencatat rekod dalam Singapore Book of Records dan juga merealisasikan impian hampir sedekad bagi beliau.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) selepas acara tersebut, Encik Shahril berkata pencapaian tersebut bukan milik peribadi, sebaliknya kejayaan bersama masyarakat Melayu dan Singapura.
“Belum ada rekod sebegini dilakukan oleh mana-mana pihak.
“Saya mahu ia jadi milik rakyat – satu cara untuk menjadikan pantun lebih inklusif dan memastikan bahasa ibunda terus segar kerana pantun sarat dengan nilai,” jelas beliau yang bertugas sebagai guru bahasa Melayu dan Inggeris di prasekolah.
Beliau memulakan Pantunism secara rasmi pada 2018 dengan niat untuk memberi semangat kepada mereka yang mahu mengenali, mencuba dan mempelajari pantun secara santai.
Encik Shahril mendapat inspirasi itu selepas menyertai satu pertandingan Pesta Pantun 2013, anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS PBMUKS).
Bulan Bahasa @ Keat Hong, yang kini memasuki edisi ke-12 dengan tema Aku Masih Fasih, Terus Gemilang pada 2025 sekali lagi menghimpunkan keluarga, belia dan warga emas dalam acara yang meraikan bahasa Melayu.
Selain acara kemuncak bacaan pantun, festival sehari itu turut menampilkan pertandingan Petah Spontan melibatkan murid sekolah rendah dan menengah, pertandingan nyanyian belia, serta persembahan seni tradisional seperti silat, dikir barat dan penceritaan.
Gerai budaya interaktif juga menarik perhatian pengunjung dengan kegiatan seperti mewarna tanjak, membuat bunga manggar dan kaligrafi Jawi.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Keat Hong, Cik Jurainah Yusof, berkata cabaran utama yang dihadapi penganjur ialah menarik minat belia.
Namun, dengan kerjasama sekolah serta penggunaan media sosial sedikit sebanyak berjaya mendekatkan mereka kepada acara itu.
“Setiap tahun kami cuba tampilkan tema berbeza.
“Tahun ini (2025) kami ketengahkan bahasa dan budaya, sebab itu ada pertandingan Petah Spontan, pertandingan nyanyian belia, serta gerai tanjak dan bunga manggar.
“Semua ini melambangkan jati diri kita sebagai orang Melayu,” ujarnya.
Cik Jurainah turut berharap lebih ramai belia akan menghargai bahasa Melayu sebagai identiti dan budaya mereka.
“Harapan kami ialah agar belia lebih menyayangi bahasa ibunda. Jangan hanya gunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi, tetapi fahami ia sebagai warisan dan sebahagian daripada budaya kita,” tambahnya.
Tetamu terhormat, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, turut hadir menyaksikan bacaan pantun beramai-ramai itu serta menyampaikan anugerah pengiktirafan rekod berkenaan.
Dengan pencapaian itu, Bulan Bahasa @ Keat Hong sekali lagi membuktikan bahawa bahasa Melayu kekal relevan, segar dan terus diraikan sebagai warisan bersama masyarakat pelbagai generasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg