Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hidupkan pembelajaran Bahasa Melayu dengan muzik

Calon Anugerah Guru Arif Budiman (Teladan) main akordion, palu rebana bagi pancing minat pelajar
Sep 29, 2025 | 5:30 AM
Guru Bahasa Melayu, Institusi Rendah St. Joseph, Siti Aidah Mohamad Amin, Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2025
Guru Bahasa Melayu di Institusi Rendah St. Joseph, Cik Siti Aidah Mohamad Amin, merupakan antara lapan finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2025. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Muzik ialah senjata rahsianya di bilik darjah.

Namun, ini bukan kerana beliau seorang guru muzik. 

Sebagai guru Bahasa Melayu di Institusi Rendah St. Joseph, Cik Siti Aidah Mohamad Amin, 50 tahun, memanfaatkan bakat muziknya untuk bermain alat muzik dan menggubah lagu ciptaan sendiri demi membantu murid-murid menguasai tatabahasa atau membina ayat dengan lebih mudah.

Sekilas pandang, konsep seperti S-K-O-P (Subjek, Kata Kerja, Objek, Perluasan) yang mungkin kelihatan teknikal nampak menarik apabila bertukar menjadi nyanyian, tepukan tangan dan rentak yang melekat dalam ingatan.

Bagi Cik Aidah, yang mempunyai kelulusan muzik Yamaha Electone Gred 6, gabungan bahasa dengan muzik adalah caranya menyuntik keceriaan dan makna dalam penguasaan mata pelajaran yang sering dianggap sukar, terutama bagi beberapa pelajar Institusi Rendah St. Joseph yang bukan penutur jati bahasa Melayu.

Berkat kegigihan memperkenalkan konsep pembelajaran yang menarik ini, guru dengan pengalaman mengajar selama 25 tahun itu merupakan antara lapan finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Agab).

Beliau dicalonkan dalam kategori ‘Teladan’ bagi pendidik dengan pengalaman 10 tahun atau lebih dalam tugas guru.

Terdapat juga calon dalam kategori ‘Perangsang’ (kurang 10 tahun dalam perkhidmatan).

Anugerah Guru Arif Budiman mengiktiraf guru Bahasa Melayu yang cemerlang di sekolah aliran utama, yang berusaha meneroka kaedah pembelajaran di luar bilik darjah untuk menyemai penghargaan lebih mendalam terhadap mata pelajaran tersebut.

Ia merupakan anjuran bersama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru-Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE) di Buona Vista baru-baru ini, Cik Aidah, ibu dua orang anak berusia 17 dan 19 tahun, berkata: “Saya memang percaya muzik boleh menjadikan Bahasa Melayu lebih hidup.

“Kalau sekadar formula di atas kertas, murid cepat lupa. Tetapi bila kita nyanyi dan kaitkan dengan irama, mereka bukan sahaja ingat, mereka seronok belajar.”

Cara beliau mengajar juga tidak pernah terikat pada buku teks semata-mata.

Ada kalanya beliau membawa murid ke bilik muzik untuk bersama-sama mengalunkan lagu dengan piano, ada kalanya beliau mengusung akordion atau rebana ke kelas bagi menyemarakkan suasana dengan irama dan nyanyian.

“Kadangkala saya bawa alat muzik tradisional, dan kami akan menyanyi beramai-ramai. Ada kalanya saya gubah lagu sendiri supaya mereka dapat menghafal formula untuk membina ayat,” jelas beliau yang merupakan pemuzik Orkestra Melayu Singapura (OMS) sejak 2010 dan boleh memainkan piano, akordion dan papan nada (’keyboard’). 

Dengan setiap petikan nada, murid bukan sekadar mempelajari kosa kata, malah turut menjiwai alunan bahasa Melayu dari segi kelembutannya, keindahannya dan jiwanya. 

Profil murid-muridnya juga menjadikan pendekatan tersebut lebih penting.

Di Institusi Rendah St. Joseph, sebahagian besar murid dalam kelas Bahasa Melayu bukan penutur jati.

Ramai tidak bertutur bahasa Melayu di rumah, menyebabkan penguasaan kosa kata mereka tidak begitu mantap.

Maka, beliau merebut peluang menerapkan inovasi.

Lagu rakyat seperti, Bangau Oh Bangau dan Semoga Bahagia, disampaikan dalam wadah seperti TikTok dan YouTube, manakala kegiatan yang diadakan juga berupaya menghidupkan bahasa dalam konteks sebenar.

Seperti contoh, beliau akan mengendalikan kegiatan memainkan peranan seperti membeli-belah di pasar raya, berbual dengan datuk nenek, atau meraikan Hari Raya.

“Bahasa Melayu bukan sekadar subjek peperiksaan, tetapi pengalaman hidup.

“Apabila murid kaitkan bahasa dengan budaya, makanan, pakaian atau perayaan, mereka lebih faham dan lebih menghargainya,” jelas beliau yang sudah enam tahun mengajar di Institusi Rendah St. Joseph.

Di sana, beliau mengajar pelajar Darjah 3 dan Darjah 6.

Antara detik paling manis baginya berlaku pada sambutan Hari Kanak-Kanak pada 2023. 

Daripada sekadar menyanyikan Semoga Bahagia beramai-ramai seperti kelazimannya, beliau mencetuskan idea persembahan muzikal mini yang melibatkan semua murid dalam kelas Bahasa Melayu daripada Darjah 1 hingga Darjah 5.

Ada yang menggesek biola, ada yang berlakon, manakala yang lain menyanyi di pentas, diiringi piano yang dimainkan sendiri.

“Ramai antara mereka bukan berbangsa Melayu, tapi mereka sangat seronok apabila dapat membuat persembahan di hadapan khalayak ramai.

“Saat itu menyedarkan saya bahawa sebenarnya murid-murid kita mampu menyerlah apabila diberi ruang dan peluang yang sewajarnya,” katanya yang juga guru bertanggungjawab menyelaras pancaragam sekolah.

Bagi Cik Aidah, mengajar Bahasa Melayu bukan hanya tentang tatabahasa atau peperiksaan, bahkan tentang jati diri dan memupuk kebanggaan.

Sejak di bangku sekolah, beliau sudah terpikat dengan keindahan bahasa Melayu, peribahasa yang sarat hikmah, lagu klasik yang merdu, dan cara bahasa tersebut mencerminkan nilai dan budaya bangsa.

“Menjadi guru ini adalah satu amanah.

“Kita bukan sahaja menyampaikan sukatan kurikulum, tetapi juga menyalurkan budaya, nilai dan jati diri bangsa.

“Bahasa Melayu adalah jiwa sebuah bangsa dan ia harus terus hidup untuk generasi akan datang,” ujar beliau yang terharu dengan pencalonannya bagi Agab (Teladan).

“Pencalonan ini mengingatkan saya bahawa usaha kecil yang konsisten dan ikhlas mampu memberi impak besar.

“Saya harap ia jadi pemangkin untuk memupuk jati diri dan menghargai warisan bangsa melalui bahasa. 

“Yang paling penting, saya mahu terus jadi suara dan inspirasi kepada guru-guru lain, supaya jangan pernah putus asa memperkasa keupayaan bahasa ibunda,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg