Badan agama Buddha sumbang 30 tan beras kepada Masjid Ba’alwie
Badan agama Buddha sumbang 30 tan beras kepada Masjid Ba’alwie
Walaupun sibuk dengan persiapan Tahun Baru Cina, badan agama Buddha setempat, Singapore Buddhist Lodge (SBL), sekali lagi menyumbang sebanyak 30,000 kilogram (30 tan) beras kepada Masjid Ba’alwie sempena Ramadan yang bakal menjelang.
Ini merupakan kali ke-16 SBL menyalurkan sumbangan ini kepada Masjid Ba’alwie sejak kali pertama melakukan demikian pada 2011.
Sumbangan itu telah disempurnakan Presiden SBL, Encik Tan Lee Huak, di Masjid Ba’alwie pada 12 Februari.
Acara penyerahan beras itu turut dihadiri beberapa wakil pertubuhan serta Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, dan mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Encik Hawazi Daipi.
Imam Masjid Ba’alwie, Habib Syed Hassan Al-Attas, yang mewakili masjid setempat dalam menerima sumbangan berkata kerjasama yang telah digiatkan saban tahun itu mencerminkan hubungan ‘kesatuan’ antara masyarakat Islam dengan bukan Islam.
“Sumbangan yang dihulurkan secara konsisten ini menunjukkan mereka (SBL) menghormati ibadah puasa orang Islam.
“Mereka menderma beras dengan niat untuk memberi makan atau iftar kepada orang yang berpuasa.
“Walaupun mereka (SBL) bukan pertubuhan Islam, mereka membuat kebaikan kepada sekalian manusia tidak kira latar belakang.
“Ini atas semangat ingin menjaga maslahat buat masyarakat dengan memberi makan, kepada orang yang memerlukan khususnya,” tambah Habib Hassan.
Beliau turut menyifatkan daya usaha itu, yang telah dimulakan mantan Presiden SBL, mendiang Lee Bock Guan, sebagai usaha yang mulia dan penting, demi memastikan kebajikan masyarakat sejagat kekal terjaga.
Justeru, beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak SBL atas usaha baik yang dilaksanakan.
Bagi Habib Hassan, usaha murni itu patut dibalas balik dengan menjalinkan hubungan yang baik sesama masyarakat Islam dan bukan Islam.
Menurut Encik Tan, bantuan sesama insan itu sangat mustahak dalam memastikan penyepaduan masyarakat yang harmoni dan tidak saling membenci.
Bagi beliau, tarikh Tahun Baru Cina dan Ramadan yang berhampiran pada 2026 menandakan lagi kepentingan untuk dua masyarakat ini saling mengerti akan keperluan masyarakat lain.
Encik Tan turut menambah: “Kami berharap tatkala masyarakat melihat usaha ini, mereka dapat mengamati dan menghargai kepentingan kerjasama dan bantuan yang dihulurkan tidak kira bangsa dan agama.”
Beras yang telah disalurkan itu bakal diagihkan kepada beberapa masjid, pertubuhan akar umbi, pertubuhan Melayu/Islam (MMO) seperti Muhammadiyah, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Pertapis, bagi membantu keperluan juadah majlis iftar mereka.
Ia juga akan dimanfaatkan bagi persiapan iftar dan bubur di beberapa masjid sewaktu Ramadan nanti.
Namun, yang paling penting, beras itu akan turut diagihkan kepada golongan fakir miskin, tidak kira agama di sekitar Singapura.
“
“Sumbangan yang dihulurkan secara konsisten ini menunjukkan mereka (Singapore Buddhist Lodge) menghormati ibadah puasa orang Islam. Mereka menderma beras dengan niat untuk memberi makan atau iftar kepada orang yang berpuasa.”
