Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badan bantu diri perlu cari cara kekal relevan libat diri dengan masyarakat

Jan 20, 2025 | 7:50 PM
(Dari kanan) Moderator sesi dialog bertajuk ‘Masyarakat dan Tatanegara’, Pengerusi Yayasan Lien, Encik Laurence Lien; bersama anggota panel Penolong Provos bagi pendidikan sarjana muda Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Daniel Goh; Setiausaha Tetap Maklumat dan Pembangunan, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Encik Chng Kai Fong; dan Pengasas Lepak Conversations, Cik Yulianna Frederika.
(Dari kanan) Moderator sesi dialog bertajuk ‘Masyarakat dan Tatanegara’, Pengerusi Yayasan Lien, Encik Laurence Lien; bersama anggota panel Penolong Provos bagi pendidikan sarjana muda Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Daniel Goh; Setiausaha Tetap Maklumat dan Pembangunan, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Encik Chng Kai Fong; dan Pengasas Lepak Conversations, Cik Yulianna Frederika. - Foto IPS

Badan-badan bantu diri seperti Yayasan Mendaki, Sinda dan Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC) mampu kekal relevan di Singapura dengan berkembang dan meneroka cara baru untuk melibatkan diri dengan masyarakat.

Dengan menjadi fleksibel, masyarakat ‘superdiversity’ tidak menggantikan kepelbagaian budaya, malah ia menambah satu lagi lapisan, kata Profesor Madya Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Daniel Goh.

Masyarakat ‘superdiversity’, menurut Profesor Goh, merujuk kepada masyarakat zaman moden yang mempunyai identiti dan amalan budaya baru, dikaitkan dengan kemunculan pendatang asing serta globalisasi ekonomi.

“Yang menarik tentang masyarakat ini ialah jenis kategori identiti yang ada, seperti Cina, Melayu, India dan Lain-lain (CMIO) menjadi lebih fleksibel dan formatif.

“Dalam erti kata lain, mengkategorikan etnik menjadi lebih formatif dan boleh diubah mengikut keadaan, persekitaran, perbualan dan situasi,” tambah Profesor Goh.

Beliau berkongsi demikian semasa menjawab soalan peserta mengenai masa hadapan badan bantuan diri di Singapura, di sesi dialog bertajuk ‘Masyarakat dan Tatanegara’ di Persidangan Perspektif Singapura 2025, anjuran badan pemikir Institut Pengajian Dasar (IPS) pada 20 Januari.

Sesi tersebut dikendalikan Pengerusi Yayasan Lien, Encik Laurence Lien, di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.

Pengasas Lepak Conversations, satu wadah di alam maya untuk masyarakat Melayu/Islam meluahkan dan berkongsi pandangan, Cik Yulianna Frederika, yang juga merupakan anggota panel tersebut, menambah bahawa masih lagi terdapat isu struktur ekonomi sosial yang masih memerlukan bantuan daripada badan bantu diri seperti Mendaki.

“Mendaki mempunyai warisan yang menghubungkan negara dan rakyat.

“Sokongan seperti itu masih diperlukan kerana banyak isu struktur adalah isu yang berkaitan sejarah dan ia mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

“Oleh itu, badan bantu diri harus terus berkembang dan melihat semula cara ia boleh menangani isu-isu tersebut,” kata Cik Yulianna.

Sebagai pengasas Lepak Conversations, beliau menekankan kepentingan melibatkan dan memberi ruang kepada mereka yang terpinggir dan dikecualikan.

“Kita tidak dapat ambil mudah dengan tanggapan bahawa rakyat Singapura tahu cara untuk menjadi inklusif hanya kerana mereka berada dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama,” tambahnya lagi.

Beliau juga berkata sesi perbincangan dan kerjasama dengan pihak pemerintah adalah penting untuk memastikan badan bantuan kekal relevan.

Dalam pada itu, anggota panel ketiga, Setiausaha Tetap Maklumat dan Pembangunan, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Encik Chng Kai Fong, sependapat dan berkata badan-badan sedemikian memberi ruang yang selamat untuk bertemu dengan orang yang mempunyai minat serta kebimbangan yang sama.

Namun beliau berkata ujian yang sebenar datang apabila badan sedemikian menjadi eksklusif.

Menggambarkan tentang kepentingan menjadi sebahagian daripada masyarakat dan membina modal sosial, Encik Chng menegaskan perlunya penglibatan sivik kejiranan.

Beliau berkata dengan mengadakan inisiatif yang berlatarbelakangkan masyarakat, ia boleh mengumpulkan bersama orang daripada latar belakang yang berbeza untuk mengadakan perbualan dan belajar antara satu sama lain.

Profesor Goh pula menambah apabila membahaskan isu-isu di Singapura, rakyat perlu berusaha “sebaik mungkin untuk tidak menggunakan kadar CMIO sebagai rangka utama bagi gambaran perwakilan kerana ia bukan satu-satunya cara”.

“Kita perlu mendengar, memahami, menerima perbezaan sambil mencari titik persamaan.

“Jika titik persamaan tidak dapat dicari, kita masih perlu berpegang pada kepelbagaian budaya dan mendapat inspirasi daripadanya,” kata Profesor Goh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg