Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlu hormat pandangan berbeza untuk bina perpaduan sosial

Jan 20, 2025 | 2:56 PM
(Dari kiri) Saintis tingkah laku selaku pengasas badan risikan, Research for Impact, Dr Joanne Yong; pensyarah pengajian media di Universiti Hong Kong Baptist, Profesor Cherian George; ahli akademik dari Sekolah Pemerintah Blavatnik di Universiti Oxford, Dr Aaron Maniam; dan Profesor Chan Heng Chee, Duta Kelana dari Kementerian Ehwal Luar (MFA).
(Dari kiri) Saintis tingkah laku selaku pengasas badan risikan, Research for Impact, Dr Joanne Yong; pensyarah pengajian media di Universiti Hong Kong Baptist, Profesor Cherian George; ahli akademik dari Sekolah Pemerintah Blavatnik di Universiti Oxford, Dr Aaron Maniam; dan Profesor Chan Heng Chee, Duta Kelana dari Kementerian Ehwal Luar (MFA). - Foto JACKY HO

Dalam semangat untuk mengetengahkan isu-isu yang dekat di hati, rakyat Singapura harus menghormati pandangan yang berbeza agar tidak cepat memaksa orang lain untuk menerima pandangan mereka sahaja.

Jika seseorang menilai diri mereka berdasarkan niat baik yang mereka ada sahaja, tetapi tetapi terus menilai keburukan orang lain, itu akan membuahkan sesuatu “yang sangat bermasalah”, kata ahli akademik dari Sekolah Pemerintah Blavatnik di Universiti Oxford, Dr Aaron Maniam.

“Kita tidak boleh membebankan orang lain dengan beban yang tidak dikenakan ke atas kita dan kita tidak sepatutnya berasa baik sekiranya kita memiliki keistimewaan yang tidak diperoleh orang lain.

“Kita tidak boleh menilai diri kita sekadar dengan niat baik kita sahaja, hanya kerana kita tidak pernah berniat buruk, tetapi menilai orang lain berdasarkan kesan kelakuan mereka, itu tidak adil.

“Apabila bercakap tentang prinsip timbal balik, kita tidak boleh menilai diri kita berdasarkan contoh terbaik daripada apa jua kumpulan yang kita wakili, tetapi menilai orang lain daripada keburukan mereka,” kata Dr Aaron.

Ahli akademik dari Sekolah Pemerintah Blavatnik di Universiti Oxford, Dr Aaron Maniam.
Ahli akademik dari Sekolah Pemerintah Blavatnik di Universiti Oxford, Dr Aaron Maniam. - Foto JACKY HO

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan seorang peserta di sesi dialog ‘Masyarakat dan Negara’ dalam persidangan Singapore Perspectives 2025 anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) pada 20 Januari di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.

Peserta tersebut bertanya bagaimana Singapura mengimbangi perpaduan sosial sambil terus membenarkan rakyat untuk terus bersuara mengenai isu polarisasi seperti nasib rakyat Palestin dan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Panel tersebut turut menampilkan pensyarah pengajian media di Universiti Hong Kong Baptist, Profesor Cherian George dan saintis tingkah laku selaku pengasas badan risikan, Research for Impact, Dr Joanne Yong.

Perbincangan dikendali Profesor Chan Heng Chee, Duta Kelana dari Kementerian Ehwal Luar (MFA), selaku moderator.

Semasa ucapan pembukaan persidangan itu, pengarah IPS, Encik Janadas Devan, berkata perpaduan sosial adalah aspek penting dalam kemajuan dan pembangunan Singapura, lebih-lebih lagi dalam menyatukan rakyat saat negara menghadapi cabaran seperti pandemik Covid-19.

Justeru, amat penting bagi rakyat untuk menghargainya dan terus memupuknya, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran sejagat.

Pengarah Institut Pengajian Dasar (IPS), Encik Janadas Devan, berkata perpaduan sosial adalah sesuatu aspek penting dalam kemajuan dan pembangunan Singapura, lebih-lebih lagi dalam menyatukan rakyat saat negara menghadapi cabaran seperti pandemik Covid-19.
Pengarah Institut Pengajian Dasar (IPS), Encik Janadas Devan, berkata perpaduan sosial adalah sesuatu aspek penting dalam kemajuan dan pembangunan Singapura, lebih-lebih lagi dalam menyatukan rakyat saat negara menghadapi cabaran seperti pandemik Covid-19. - Foto JACKY HO

“Kita lihat semasa Covid-19, perpaduan sosial benar-benar menyelamatkan nyawa kerana kita mempunyai modal sosial yang tinggi, bukan sahaja modal sosial ikatan seperti kaum atau puak, tetapi juga hubungan rapat antara kumpulan yang berbeza.

“Orang ramai sedia membantu dan menjaga satu sama lain semasa pandemik, merentas kaum dan agama, merentas peringkat umur dan merentas kelas sosioekonomi,” kata Encik Devan.

Semasa dialog itu juga, seorang peserta iaitu Perunding Kanan di Divisyen Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Paul Tambyah, bertanya sama ada Singapura akan meminda dasar imigresennya.

Ini lebih-lebih lagi bagi membenarkan warga asing yang mempunyai pertalian keluarga dengan Singapura dan boleh menyumbang kepada Singapura, diutamakan dalam mendapatkan pekerjaan selain dihadkan kuota kaum.

Perunding Kanan di Divisyen Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Paul Tambyah, bertanya sama ada Singapura akan meminda dasar imigresennya untuk membenarkan warga asing yang mempunyai pertalian keluarga dengan Singapura dan boleh menyumbang kepada Singapura, untuk diutamakan dalam mendapatkan pekerjaan di Singapura.
Perunding Kanan di Divisyen Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Paul Tambyah, bertanya sama ada Singapura akan meminda dasar imigresennya untuk membenarkan warga asing yang mempunyai pertalian keluarga dengan Singapura dan boleh menyumbang kepada Singapura, untuk diutamakan dalam mendapatkan pekerjaan di Singapura. - Foto JACKY HO

Dalam jawapannya, Dr Aaron berkata dalam isu imigresen dan membenarkan pengambilan pekerja daripada kaum tertentu, Singapura mesti mencapai “keseimbangan yang halus dan baik” untuk mengiktiraf pelbagai bentuk bakat serta sumbangan.

Beliau berkata Singapura mesti mengimbanginya kerana saiz yang terhad dan juga jumlah penduduk yang akan mengalami perubahan sangat besar.

“Jadi ia adalah satu proses yang sangat rumit, saya fikir dan saya mengesyaki ia akan menjadi satu proses yang akan berubah mengikut peredaran masa.

Kita akan terus meneroka untuk meluaskan sempadan kerana kita mahu menjadi negara yang memberi aspirasi kepada semua.

“Saya fikir kita mahu mengiktiraf bentuk komitmen yang berbeza, bukan hanya pekerjaan yang dilakukan tetapi jenis komitmen lain yang mereka buat, mengimbangi keperluan ruang dan daya tampung yang dimiliki sesebuah negara,” kata Dr Aaron.

Menjawab soalan seorang peserta sama ada Singapura “serius dalam menggalakkan pemikiran kritis” manakala media mengelak daripada membincangkan banyak isu kontroversi, Profesor Chan berkata seseorang itu tidak seharusnya menganggap bahawa tiada pemikiran kritis dijalankan di sekolah.

Profesor Chan Heng Chee, Duta Kelana dari Kementerian Ehwal Luar (MFA), berkata setiap sekolah di Singapura menggalak para pelajar berfikiran kritis.
Profesor Chan Heng Chee, Duta Kelana dari Kementerian Ehwal Luar (MFA), berkata setiap sekolah di Singapura menggalak para pelajar berfikiran kritis. - Foto JACKY HO

“Terdapat pemikiran kritis dalam pengajian di Yale-NUS, NUS, SMU, SUTD. Saya tidak fikir kita harus menganggap bahawa pemikiran kritis tidak ada di sekolah dan universiti kita.

“Terpulang kepada tutor, sama ada tutor itu banyak membincangkan dalam kelas. Kita mempunyai pelajar dari seluruh dunia. Saya fikir kepelbagaian memang membantu untuk menggalakkan interaksi yang lebih besar,” kata Profesor Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg