Sempena ulang tahunnya yang ke-60 pada 2024 ini, pertubuhan amal bagi membantu mereka yang kurang upaya, SPD akan melancarkan empat pusat baru bagi memenuhi lebih banyak keperluan.
Badan amal itu, yang membantu orang kurang upaya dari semua peringkat umur, melancarkan pusat jagaan warga emas di Canberra pada April, dan akan membuka satu lagi di Melody Springs di Yishun.
Kesemua itu adalah untuk menyediakan penjagaan harian dan pemulihan untuk warga emas, serta orang dewasa yang kurang upaya atau mereka dalam keadaan kurang upaya.
Pada Julai ini, dua pusat intervensi awal di Kembangan dan Jurong West akan memulakan operasi dan menyediakan perkhidmatan intervensi awal bagi kanak-kanak dengan keperluan perkembangan.
Ia adalah tahun yang sibuk, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPD, Encik Abhimanyau Pal, dalam temu bual dengan The Straits Times pada 3 Jun, di Pusat Keupayaan SPD di Tiong Bahru.
Ditubuhkan pada November 1964 oleh kumpulan dari Kelab Rotary, SPD asalnya dikenali sebagai Persatuan Bantuan Kepada Orang Lumpuh dan menyediakan peluang pekerjaan di bengkel kendaliannya kepada orang kurang upaya yang menghadapi kesukaran mencari pekerjaan di pasaran terbuka.
Ia telah dinamakan semula sebagai Persatuan untuk Orang Kurang Upaya Fizikal pada Mei 1998 dan kemudiannya kepada hanya SPD pada Julai 2014 untuk mencerminkan perkhidmatannya dengan lebih baik kepada orang yang melangkaui kecacatan fizikal.
Hari ini, ia memberi perkhidmatan kepada golongan yang mempunyai keperluan fizikal, deria dan pembelajaran melalui lebih daripada 20 program yang merangkumi intervensi awal, terapi, latihan vokasional, teknologi bantuan, penjagaan harian, serta sokongan pendidikan, pekerjaan dan perkhidmatan sosial.
Ia mempunyai lapan pusat termasuk di Jurong East, Tampines dan Toa Payoh.
Sumber tenaga kerja SPD telah meningkat – daripada 54 pada awal tahun 2000-an kepada kira-kira 130 pada 2009, dan dijangka berkembang kepada 500 pekerja menjelang akhir tahun 2024 ini.
Secara bersenda Encik Pal berkata: “Walaupun saya biasa melihat mereka yang beruban atau tidak berambut di bilik persidangan saya, kini saya melihat lebih banyak mereka yang rambut gelap dan lebat apabila kakitangan yang lebih muda, termasuk graduan baru menyertai kami.”
Beliau, 58 tahun, yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial, telah menerajui SPD sejak 2010.
SPD mempunyai tiga tonggak pertumbuhan – campur tangan awal untuk kanak-kanak kecil, bantuan untuk pasca 18 hingga 55 tahun dengan pendidikan melalui biasiswa dan dermasiswa, dan latihan vokasional dan pekerjaan. Ia juga telah mengendalikan hab terapi sejak 2005, bekerjasama dengan rakan kongsi sosial dan komuniti lain untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan bersekutu dalam komuniti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg