Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badan Islam S’pura: Hayati nilai Islam dalam hubungan antara kaum

Penting utamakan belas kasihan, rasa hormat di tengah-tengah ketegangan global
Nov 8, 2025 | 8:50 PM
anti-yahudi, religious harmony
Badan-badan Islam Singapura menyeru masyarakat menekankan belas kasihan, keadilan dan rasa hormat sebagai asas memelihara keharmonian sosial di Singapura di tengah-tengah ketegangan global. - Foto fail

Badan-badan Islam Singapura menyeru masyarakat untuk kembali kepada teras ajaran Islam – iaitu belas kasihan, keadilan dan rasa hormat – sebagai asas dalam menjaga keharmonian sosial negara.

Ini menyusuli laporan kejadian yang menyasarkan masyarakat Yahudi di tengah-tengah ketegangan global yang memuncak, khususnya berkaitan konflik Israel-Palestin.

Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menegaskan kejadian anti-Yahudi yang dilaporkan mengingatkan semua pihak tentang keperluan melindungi keamanan.

Dalam satu kiriman di media sosial pada 8 November, RRG menekankan kewajipan agama:

“Sebagai anggota masyarakat Muslim yang dipandu oleh akidah, kita seharusnya mencontohi prinsip Islam tentang belas kasihan, keadilan dan rasa hormat untuk semua.”

RRG menambah nilai itu menuntut kita untuk “bertindak dengan kebijaksanaan dan kebaikan, serta melindungi maruah dan kedamaian setiap individu yang berkongsi tanah ini”.

Pada 6 November, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa kejadian anti-Yahudi yang berlaku di Singapura.

Ini termasuk vandalisme di sekolah antarabangsa yang mempunyai pelajar Yahudi dan kejadian seorang pemandu mengucapkan kata seruan “Free Palestine” terhadap seorang lelaki Yahudi di jalan.

Pandangan itu selaras dengan Persatuan Perkhidmatan Sosial India (IMSSA), yang menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kejadian anti-Yahudi, dan menyeru:

“Sebagai anggota masyarakat Islam, dibimbing oleh nilai belas kasihan, keadilan dan rasa hormat yang diajar oleh akidah, kita mesti bertindak balas dengan persefahaman, bukan permusuhan.”

Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) dalam hantaran media sosialnya turut menekankan:

“Permusuhan atau kebencian yang dibawa ke dalam masyarakat kita – tanpa mengira sumbernya adalah tidak boleh diterima.”

MTFA menggesa masyarakat “dibimbing rasa hormat bersama, kebaikan dan belas kasihan dalam cara kita melayan satu sama lain”.

AMP Singapura menyatakan di tengah-tengah pergolakan dan konflik, nilai masyarakat paling diuji, terutamanya “keupayaan kita untuk kekal berbelas kasihan dan berpaksikan kemanusiaan”.

“Marilah kita mempraktikkan empati dengan menunjukkan kebaikan dalam kata-kata, keadilan dalam pilihan dan rasa hormat dalam cara kita melayan satu sama lain,” kata AMP.

Jamiyah Singapura pula menekankan prinsip “tiada individu atau kumpulan harus dicerca atau disasarkan atas sebab kepercayaan”, dan menggesa semua rakyat Singapura untuk memelihara “nilai bersama kita iaitu keamanan, perpaduan dan rasa hormat bersama”.

Tamil Muslim Jama’at mengingatkan bahawa “setiap agama menekankan keamanan, toleransi, kebijaksanaan, kasih sayang dan pengampunan. Nilai ini mesti ditegakkan untuk memupuk ikatan yang kukuh dalam masyarakat kita”.

Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML) pula berkata: “Setiap rakyat Singapura tanpa mengira kaum atau agama berhak untuk kebebasan mengamalkan kepercayaan mereka, berasa selamat, dan dilayan secara adil dan dihormati.”

Persatuan India Muslim Bersatu (Uima) Singapura berkata: “Kehidupan harmoni dan kewujudan bersama yang aman telah menjadi asas kepada negara kita.”

Persatuan itu turut menggesa rakyat Singapura untuk “tidak membiarkan emosi menguasai diri dan sentiasa berhati-hati dengan kata-kata dan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian”.

Sebagai anggota masyarakat Muslim yang dipandu oleh akidah, kita seharusnya mencontohi prinsip Islam tentang belas kasihan, keadilan dan rasa hormat untuk semua.
Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Permusuhan atau kebencian yang dibawa ke dalam masyarakat kita – tanpa mengira sumbernya adalah tidak boleh diterima.
Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA).

Marilah kita mempraktikkan empati dengan menunjukkan kebaikan dalam kata-kata, keadilan dalam pilihan dan rasa hormat dalam cara kita melayan satu sama lain.
AMP Singapura.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg