Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insiden anti-Yahudi: Pemimpin, badan Melayu/Islam gesa tolak kebencian, pelihara perpaduan

Nov 8, 2025 | 6:58 PM
Singapura, pemimpin, badan Melayu/Islam, insiden, anti-Yahudi, perpaduan
Muis berkata konflik dan perkembangan di luar negara boleh menimbulkan salah faham serta menanam bibit perpecahan dalam masyarakat. - Foto PIXABAY

Pemimpin dan badan Melayu/Islam utama di Singapura tampil bersuara menentang sebarang bentuk kebencian, termasuk anti-Yahudi dan Islamofobia, sambil menekankan kepentingan memelihara perpaduan sosial negara.

Ini berikutan laporan insiden yang menyasarkan masyarakat Yahudi di tengah-tengah ketegangan global yang memuncak, khususnya berkaitan konflik Israel-Palestin.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang berada di Madinah, berkata suasana ketegangan global berkaitan konflik tersebut serta reaksi yang menyusul telah menimbulkan keprihatinan dalam kalangan masyarakat di Singapura.

“Perasaan ini berputik daripada rasa keyakinan mendalam dan empati terhadap mereka yang menderita, tetapi ia juga mencerminkan rasa tidak senang yang dialami sesetengah dalam masyarakat kita sedang ketegangan global itu meningkat,” ujarnya.

Namun, sedang emosi seperti itu bergelora, beliau menggesa masyarakat agar terus berpegang kepada nilai keamanan, perpaduan dan saling menghormati, dengan wacana yang berhemah, sama ada di dalam atau di luar talian.

“Setiap masyarakat, tanpa mengira kaum atau agama, mesti berasa selamat di Singapura.

“Inilah asas perpaduan sosial kita, yang telah kita bina bersama dengan jerih payah selama beberapa generasi,” katanya dalam satu kiriman di media sosial pada 7 November.

Pada 6 November, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa insiden anti-Yahudi yang berlaku di Singapura, termasuk vandalisme di sekolah antarabangsa yang mempunyai pelajar Yahudi dan insiden seorang pemandu mengucapkan kata-seruan “Free Palestine” terhadap seorang lelaki Yahudi di jalan.

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu hantaran media sosial pada 7 November, menegaskan kepentingan memelihara keharmonian dan memperkukuh perpaduan sosial di negara ini.

Muis berkata hal ini semakin kritikal kerana konflik dan perkembangan di luar negara boleh menimbulkan salah faham serta menanam bibit perpecahan dalam masyarakat.

“Membawa sebarang bentuk permusuhan atau kebencian yang berkaitan dengan perkembangan luar ke dalam masyarakat kita sendiri adalah tidak dapat diterima dan tidak boleh dibiarkan.

“Khususnya, kita tidak boleh membiarkan gelombang meningkatnya Islamofobia dan anti-Yahudi di peringkat global melemahkan ikatan persahabatan, semangat kebersamaan dan perpaduan yang telah kita bina dengan susah payah antara komuniti di Singapura,” kata Muis.

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) turut menyatakan sokongan terhadap perpaduan sosial, serta nilai saling menghormati, keihsanan dan harmoni antara semua masyarakat di Singapura.

“Kami akur konflik global boleh mencetus emosi, dan menjejas hubungan di sini. Sikap empati terhadap penderitaan global sewajarnya menjadi sumber inspirasi untuk menanam kebaikan dan belas kasihan dalam masyarakat kita sendiri.

“Setiap orang, tanpa mengira kaum atau agama, berhak untuk berasa selamat, dihormati dan dihargai,” menurut kenyataan Pergas yang dikeluarkan 8 November itu.

Pergas turut memetik ajaran Nabi Muhammad (saw): “Tidak sempurna iman salah seorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya (dalam iman atau dalam kemanusiaan) sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Sahih Bukhari).

“Perasaan ini berputik daripada rasa keyakinan mendalam dan empati terhadap mereka yang menderita, tetapi ia juga mencerminkan rasa tidak senang yang dialami sesetengah dalam masyarakat kita sedang ketegangan global itu meningkat... Setiap masyarakat, tanpa mengira kaum atau agama, mesti berasa selamat di Singapura. Inilah asas perpaduan sosial kita, yang telah kita bina bersama dengan jerih payah selama beberapa generasi.”
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg