Badan bantuan kebajikan, Love Aid Singapore, telah menerima derma $3.65 juta untuk bantuan kemanusiaan di Jaluran Gaza setakat 8 September.
Dalam satu catatan Instagram pada 8 September, pengasas Love Aid Singapore, Encik Gilbert Goh, memberi maklumat terkini bahawa $3.65 juta telah dikumpul.
Menurut beliau, sebahagian besar daripada wang itu disalurkan ke dapur yang menyediakan makanan harian kepada 5,000 rakyat Palestin dengan program tajaan anak yatim akan datang dalam masa terdekat.
Seeramai 700 anak yatim di Gaza Utara dan Selatan dengan biaya AS$42,000 ($54,440) ditaja setiap bulan untuk menyediakan bantuan makanan dan tempat tinggal untuk kumpulan rentan ini.
Sebelum ini, Encik Goh dilaporkan telah menerima derma sebanyak $2.2 juta antara Januari dengan April 2024 untuk bantuan kemanusiaan di Jaluran Gaza.
Kata beliau, purata derma yang disumbangkan adalah $50 walaupun jumlah rakyat yang menderma beberapa ribu dolar juga agak ramai.
Derma terbesar yang pernah diterima adalah $100,000.
Selain itu, syarikat SignaturesofImran Group telah menderma $16,000 kepada Love Aid Singapore pada 25 Ogos.
Ia bekerjasama dengan anak syarikatnya IM Volunteers Network SG, sebuah kumpulan remaja sukarela, yang diterajui pengarah Encik Imran Mean.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg