Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami isteri derma ‘duit salam’ majlis kahwin, bantu usaha kemanusiaan Palestin

Sep 24, 2024 | 11:22 AM
Sebahagiaan daripada ‘duit salam’ Encik Muhammad Syabil Sarwani dan Cik Nur Maisarah Omar, yang baru mengikat tali perkahwinan pada 21 September di The Grassroots’ Club di Ang Mo Kio, diderma kepada badan bantuan kebajikan, Love Aid Singapore, sebagai usaha untuk membantu mereka yang terjejas oleh krisis di Palestin.
Sebahagiaan daripada ‘duit salam’ Encik Muhammad Syabil Sarwani dan Cik Nur Maisarah Omar, yang baru mengikat tali perkahwinan pada 21 September di The Grassroots’ Club di Ang Mo Kio, diderma kepada badan bantuan kebajikan, Love Aid Singapore, sebagai usaha untuk membantu mereka yang terjejas oleh krisis di Palestin. - Foto ihsan NUR MAISARAH OMAR

Bagi ramai orang, majlis perkahwinan merupakan acara intim dan peribadi, dengan perhatian tertumpu kepada raja dan permaisuri sehari.

Namun, bagi Encik Muhammad Syabil Sarwani dan Cik Nur Maisarah Omar, mereka mengambil kesempatan untuk meningkatkan kesedaran tentang krisis di Palestin dan menyumbang kepada bantuan kemanusiaan di sana.

Pasangan suami isteri itu, kedua-duanya berusia 26 tahun dan baru mengikat tali perkahwinan pada 21 September di The Grassroots’ Club di Ang Mo Kio, telah menggunakan majlis perkahwinan mereka sendiri sebagai wadah untuk meringankan sedikit penderitaan mangsa perang di Palestin.

Menurut Cik Nur Maisarah, setiap meja tetamu mempunyai foto berbingkai pasangan itu dengan kod QR bagi mereka menderma kepada badan bantuan kebajikan, Love Aid Singapore, khusus untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurutnya, sejumlah duit salamnya diderma kepada Love Aid Singapore sebagai usaha untuk membantu mereka di Palestin.

Di dalam satu video tular dimuat naik pengasas Love Aid Singapore, Encik Gilbert Goh, Cik Nur Maisarah dilihat memberi ucapan mengenai krisis di Palestin dengan nada sebak.

“Hati kami bersama rakyat Palestin, yang walaupun setelah menanggung kesakitan, kehilangan dan kesusahan yang begitu banyak, terus berpegang pada impian kebebasan dan keamanan...

“Sebagai penghormatan kepada mereka, mari kita luangkan sedikit masa untuk merenungkan nikmat yang kita miliki, kasih sayang yang menyatukan kita, dan tanggungjawab kita untuk memastikan satu dunia di mana semua orang boleh hidup dengan aman dan bermaruah,” kata Cik Nur Maisarah dalam video itu.

Setakat 23 September, video itu kini mempunyai lebih 2,800 tanda suka atau ‘like’ dan 50 komen daripada netizen yang menyambut usaha baik pasangan itu.

View post on Instagram
 

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Cik Nur Maisarah, yang kini sedang berbulan madu di Tanzania bersama suaminya, berkata:

“Kami menderma sebanyak $2,109.24, serupa dengan tarikh perkahwinan kami. Ia mungkin sedikit sahaja, tetapi ia sangat bermakna buat kami.

“Sebenarnya, idea untuk jemput Encik Gilbert dan menyediakan kod QR supaya orang ramai boleh derma adalah saranan ibu saya.

“Saya setuju dengan idea itu kerana kami mahu memainkan peranan untuk membantu saudara Islam kita.”

Menurut Cik Nur Maisarah, yang mempunyai seorang kakak kembar dan adik lelaki, mereka dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan bantuan dan usaha kemanusiaan.

Justeru, keputusannya untuk meningkatkan kesedaran tentang Palestin muncul secara semula jadi.

Mereka sekeluarga pernah ke Palestin pada 2017 untuk mengunjungi Masjid Al-Aqsa, Ramallah dan Tebing Barat.

“Kami pergi ke sana untuk menyampaikan derma kepada sebuah rumah anak yatim perempuan selepas ibu saya berjaya mengutip derma daripada rakan-rakannya di Singapura. Penduduk di sana sangat peramah dan mesra,” kongsi Cik Nur Maisarah.

Encik Muhammad Syabil, yang bertugas sebagai penolong jurutera, dan Cik Nur Maisarah, seorang pakar teknologi perubatan, akan berada di Tanzania hingga 4 Oktober.

Menurut Cik Nur Maisarah, ini kali pertama pasangan itu mengunjungi negara itu dan memilihnya sebagai destinasi bulan madu kerana mahu mengalami suasana safari dan menaiki belon udara panas.

Encik Goh, yang dijemput ke majlis perkahwinan pasangan itu, berkongsi dengan BH bahawa sebanyak $5,000 sudah diderma oleh tetamu majlis kepada Love Aid Singapore menerusi kod QR tersebut.

Menurut beliau, dua lagi pasangan – satu Melayu dan satu Cina – telah melahirkan hasrat untuk menyediakan kaedah bagi tetamu menderma kepada usaha kemanusiaan, Love Aid Singapore, di majlis perkahwinan mereka pada masa depan.

“Derma dikumpul akan digunakan untuk memberi makanan dan barang keperluan seperti baju musim sejuk kepada penduduk dan pelarian.

“Saya berhubung dengan badan bukan pemerintah (NGO) setempat, International Relief Organisation, untuk memastikan dana digunakan dengan betul,” jelas Encik Goh.

Menurut, Encik Goh, beliau telah berada di Mesir selama lapan bulan sejak Januari.

Beliau akan berangkat ke Kahirah sekali lagi pada 1 Oktober bagi menyampaikan sumbangan derma orang ramai.

Encik Goh juga berkata Love Aid Singapore telah membuat permohonan untuk mendaftar dengan Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra) dan masih lagi menanti pengesahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg