Sektor pembuatan berada pada “titik perubahan yang ketara”, dan Belanjawan 2025 seharusnya membantu meningkatkan daya saing Singapura di arena dunia.
Presiden Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF), Encik Lennon Tan, berkata sektor itu menghadapi banyak cabaran, termasuk tekanan sejagat yang meningkat, dan perlu menyesuaikan diri.
Senarai hajat SMF untuk Belanjawan 2025 – dijadualkan pada 18 Februari – dibina di atas empat tonggak strategik: kemampanan, modal insan, bantu syarikat berkembang ke luar negara dan daya penghasilan, lapor The Straits Times.
Senarai hajat itu tertumpu pada enam keutamaan penting:
Mempercepatkan peralihan hijau, tingkatkan pembangunan tenaga kerja dalam teknologi baru muncul, sokong syarikat berkembang ke luar negara dan daya tahan perdagangan.
Keutamaan lain termasuk mudahkan peralihan kepada Perusahaan 5.0 (merujuk kepada kerjasama antara manusia dengan robot dan mesin pintar), tingkatkan akses perusahaan kecil dan sederhana (SME) kepada modal, dan menggalakkan kerjasama antara SME dengan syarikat berbilang negara (MNC).
SMF telah mewakili kepentingan perkilangan dan perusahaan berkaitan di sini sejak 1932.
Ia mempunyai kira-kira 5,000 ahli korporat, termasuk SME dan MNC.
Dalam tinjauannya yang dijalankan pada November 2024, 91 peratus pengilang berkata inisiatif kemampanan adalah penting untuk daya saing sejagat.
Kira-kira 88 peratus menekankan keperluan kritikal meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
Sekitar 85 peratus meminta lebih banyak sokongan untuk kepelbagaian pasaran dan daya tahan rantaian bekalan, dan 82 peratus percaya akses yang lebih baik kepada modal adalah kunci bagi SME untuk memacu inovasi dan pertumbuhan.
Kata Encik Tan:
“Angka-angka ini mencerminkan keperluan yang tidak dapat dinafikan untuk segera bertindak.
“Ia juga mengesahkan fokus strategik SMF, meletakkan Belanjawan 2025 sebagai sokongan penting untuk memacu pertumbuhan jangka panjang dan memastikan sektor perkilangan Singapura kekal berdaya saing di peringkat sejagat.”
Untuk membantu sektor itu dalam peralihan hijaunya, SMF mencadangkan agar pemerintah mempertimbangkan subsidi peralatan hijau untuk mengimbangi kos tinggi menggunakan jentera cekap tenaga seperti trak angkat susun (‘forklift’) elektrik dan panel suria.
Geran ekonomi kitaran boleh membantu menyokong penyelidikan dan pembangunan, manakala platform perdagangan kredit karbon mungkin memudahkan akses untuk membolehkan SME dalam usaha pengurangan karbon atau mengimbangi pelepasan.
Mewujudkan hab inovasi hijau kolaboratif untuk penyelesaian hijau dengan pertubuhan seperti A*star, yang dibiayai oleh geran pemerintah, juga boleh membantu.
Untuk menangani kekurangan bakat mahir dalam AI, robotik dan teknologi hijau, SMF mencadangkan agar pemerintah mempertimbangkan pembiayaan SkillsFuture bagi meliputi program latihan tempatan dan luar negara bagi bidang robotik, Internet Pelbagai Benda (IOT) dan pembuatan mampan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg