Syarikat di Singapura lebih positif mengenai prospek ekonomi 2025, walaupun kos tenaga kerja yang meningkat dan ketidaktentuan permintaan kekal sebagai kebimbangan utama, menurut tinjauan tahunan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).
Menurut dapatan tinjauan itu yang dikeluarkan pada 2 Januari, sebanyak 51 peratus perniagaan – berbanding 47 peratus pada 2024 – menjangka ekonomi kekal stabil dalam 12 bulan akan datang.
Majoriti keddua-duanya, syarikat kecil dan sederhana (SME) serta syarikat besar, mengekalkan pandangan berkecuali, lapor The Business Times.
Secara keseluruhan, lebih banyak perniagaan kini menjangka ekonomi meningkat, iaitu 26 peratus, naik sedikit daripada 25 peratus dalam tinjauan suku keempat 2023.
Sebaliknya, peratusan syarikat yang menjangka ekonomi merudum pada suku keempat 2024 turun kepada 22 peratus, daripada 28 peratus pada tempoh sama pada 2023.
Pada suku keempat 2024, sentimen perniagaan juga lebih positif, dengan 40 peratus syarikat berpuas hati mengenai iklim perniagaan semasa, meningkat daripada 37 peratus pada 2024.
Tinjauan terkini dijalankan dari 11 Oktober hingga 11 November 2024, melibatkan 519 syarikat daripada semua industri utama.
Daripada jumlah itu, 83 peratus adalah SME dan 17 peratus syarikat besar.
Prospek lebih optimistik bagi 2025 – mencerminkan “daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri dan kesiapsiagaan bagi masa depan melalui pelaburan dalam pembinaan keupayaan” – adalah sesuatu yang menggalakkan, kata Ketua Eksekutif SBF, Encik Kok Ping Soon.
Namun, cabaran masih wujud, dengan kos tenaga kerja kekal sebagai kebimbangan utama (66 peratus).
Kebimbangan kedua terbesar yang ditonjolkan oleh perniagaan dalam tinjauan 2024 ialah ketidaktentuan permintaan pelanggan (45 peratus); kos sewa (43 peratus); dasar pekerja migran (40 peratus); dan ketersediaan tenaga kerja (37 peratus).
Walaupun kos perniagaan meningkat, lebih 50 peratus syarikat berupaya mengekalkan atau meningkatkan keuntungan mereka sepanjang 2024.
Menurut tinjauan itu, 54 peratus syarikat tidak menghadapi isu kecairan, namun 40 peratus daripada 25 peratus syarikat yang mengalami kesukaran kredit tidak mempunyai cukup dana untuk meneruskan operasi sepanjang tiga hingga enam bulan akan datang.
Peratusan syarikat yang menganggap Singapura sebagai hab bakat sejagat yang menarik berkurangan kepada 41 peratus dalam 12 bulan akan datang, berbanding 43 peratus pada 2024.
Penurunan itu paling ketara bagi syarikat besar – daripada 55 peratus sepanjang 12 bulan lalu kepada 47 peratus sepanjang 12 bulan akan datang.
Mengenai pekerja migran, majoriti (59 peratus) pekerja tempatan menunjukkan sikap positif secara keseluruhan.
Hanya 7 peratus menganggap mereka sebagai persaingan.
Bagi Belanjawan 2025, syarikat berharap mendapat sokongan pemerintah dalam menguruskan keperluan pembiayaan mereka (35 peratus); pembangunan modal insan (34 peratus); dan pendigitalan untuk transformasi perniagaan (33 peratus).
Skim bagi pengurusan kos (64 peratus), menarik dan mengekalkan tenaga kerja tempatan (43 peratus); serta menangani isu tenaga kerja migran (41 peratus) mendahului senarai keinginan mereka bagi Belanjawan 2025.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 18 Februari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg