Usia senja bukan penghambat bagi Cik Siti Azizah Othman untuk menjalani gaya hidup sihat.
Pada usia 70 tahun, Cik Siti Azizah tidak mempunyai masalah untuk berjalan jarak jauh.
Malah, beliau berkongsi bahawa kecergasannya itu didorong oleh kehidupan sihat yang beliau jalani sebagai seorang pekerja pembersihan.
“Kerja saya memang perlukan saya untuk berdiri lama, berjalan, di samping mencuci dan mop lantai.
“Oleh itu boleh dikatakan setiap hari saya akan bersenam dan saya pun jaga kesihatan dengan mengurangkan makanan seperti daging,” kongsi Cik Siti Azizah ketika ditemui Berita Minggu (BM).
Ternyata keadaannya yang masih sihat melayakkan Cik Siti Azizah terpilih menjadi salah seorang daripada 900 bakal jemaah yang akan menunaikan ibadah haji pada 2026.
Daripada 900 tempat itu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah memperuntukkan 12 peratus bagi pemohon warga senja berusia 70 tahun dan ke atas yang layak di bawah kuota bagi musim haji akan datang – kenaikan 5 peratus daripada 2025.
Cik Siti Azizah bakal menunaikan haji buat kali pertama pada 2026 bersama Halijah Travels, 12 tahun setelah beliau mendaftar pada 2014.
Beliau telah menghadiri sesi pengenalan haji 2026 pertama pada pagi 17 Januari di auditorium Masjid Sultan yang dianjurkan Muis dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dengan sokongan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) serta Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).
Sekitar 900 bakal jemaah hadir di acara yang berlangsung dalam dua sesi itu di mana mereka diberi taklimat tentang kepentingan kesihatan termasuk persiapan fizikal dan mental sebelum ke Tanah Suci.
Turut hadir semasa sesi pertama ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, manakala Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, hadir bagi sesi kedua.
Dalam ucapannya, Dr Faishal menggalak jemaah supaya mendukung Program Sihat Untuk Haji atau Get Fit for Haj (GFH) secara serius serta menyertainya secara aktif sebagai persiapan menunaikan ibadah haji dengan selamat dan penuh keyakinan.
“Persiapan awal adalah penting kerana ibadah haji menuntut kesiapsiagaan dari pelbagai aspek – fizikal, mental dan rohani.
“Haji merupakan ibadah yang mencabar dari segi fizikal. Para jemaah akan berjalan jauh di Mina, Arafah dan Muzdalifah.
“Dengan cuaca yang tidak menentu di sana, anda memerlukan kekuatan, stamina dan kesihatan yang baik,” kata Dr Faishal.
Di samping itu, beliau juga menggesa jemaah agar mematuhi peraturan kesihatan wajib yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi.
Langkah seperti mengambil vaksinasi dan mendapatkan sijil-sijil kesihatan dapat memastikan kesejahteraan jemaah, tambah beliau.
Dr Wan Rizal juga mengalu-alukan kerjasama bakal jemaah yang menurutnya mencerminkan semangat kebersamaan, saling menjaga dan menyokong masyarakat.
Menurut laporan awal, individu yang ingin menunaikan haji bagi musim haji 2026 perlu mendapatkan sijil kesihatan dari doktor yang mengesahkan bahawa mereka bebas daripada penyakit kronik.
Ia merupakan langkah baru yang dilaksanakan menyusuli penetapan kriteria terkini yang diumumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MOHU).
Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Amtas, Cik Noor Faizah Mustaffa, berkata beberapa langkah telah diambil untuk mengurangkan beban fizikal dan kadar stres yang mungkin dialami jemaah.
Antara lain, Amtas dan Muis telah bekerjasama dengan penyedia khidmat di Arab Saudi untuk mendapatkan tempat penginapan yang lebih sesuai, pengangkutan yang selesa dan jadual yang tersusun agar dapat mengelakkan waktu terlalu sesak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg