Kesemua 900 tempat bagi musim haji 2026 telah berjaya diperuntukkan kepada pemohon layak yang telah mendapatkan sijil kesihatan yang diperlukan, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 29 Disember.
Daripada 900 tempat itu, 12 peratus diperuntukkan bagi pemohon warga senja berusia 70 tahun dan ke atas yang layak di bawah kuota bagi musim haji akan datang itu – kenaikan 5 peratus daripada 2025.
Ini susulan pendekatan Muis untuk memberi keutamaan kepada pemohon warga senja yang telah menerima Surat Hasrat dan disahkan sihat dari segi perubatan semasa pemilihan akhir bagi tempat haji.
Mulai musim haji bagi 2026, individu yang ingin menunaikan haji perlu mendapatkan sijil kesihatan dari doktor yang mengesahkan bahawa mereka bebas daripada penyakit kronik – langkah baru yang dilaksanakan menyusuli penetapan kriteria terkini yang diumumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MOHU).
Muis berkata semua bakal jemaah bagi musim haji 2026 telah mendapatkan sijil kesihatan perubatan sah yang mengesahkan mereka sihat dari segi perubatan dan bebas daripada keadaan perubatan kronik yang menyebabkan mereka tidak layak.
Ini selain mampu secara fizikal untuk menunaikan ibadah haji dengan selamat, sejajar dengan syarat kesihatan baru MOHU.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata peruntukan kesemua 900 tempat bagi musim haji 2026 itu menunjukkan komitmen kolektif mereka dalam memastikan proses yang adil, telus dan penuh belas ihsan untuk jemaah Singapura.
“Kesemua 900 anggota jemaah yang terpilih adalah sihat dari segi perubatan, setelah memperolehi sijil kesihatan yang diperlukan daripada pengamal perubatan berdaftar di Singapura seperti yang dikehendaki MOHU Arab Saudi.
“Langkah ini bertujuan melindungi keselamatan dan kesejahteraan jemaah kita.
“Muis akan terus bekerja rapat dengan rakan kongsi kami dan pihak berkuasa Saudi untuk memastikan jemaah kita bersedia dari segi kewangan, jasmani, mental dan rohani untuk perjalanan suci ini, sedang kami berusaha untuk memenuhi aspirasi masyarakat kita,” kata beliau.
Kesemua bakal jemaah yang telah mendapat tempat itu telah membeli pakej haji mereka daripada ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) yang dilulus Muis.
Bagi musim haji akan datang, Muis telah meluluskan 25 pakej haji daripada sembilan GSA, dengan harga purata pakej haji bagi dua individu sebilik adalah $19,154 – peningkatan $2,976 berbanding 2025.
Muis berkata bakal jemaah digalak memulakan persiapan bagi rukun Islam kelima itu dan mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai program persediaan yang dianjurkan Muis dan rakan kongsinya.
Tambah Muis, mereka akan terus menyemak dan menyesuaikan pendekatan memberi keutamaan kepada pemohon warga senja berusia 70 tahun dan ke atas yang layak mengikut keperluan bagi peruntukan tempat pada masa depan.
Pemohon yang tidak menerima Surat Tawaran bagi peruntukan tempat kali ini akan kekal dalam senarai menunggu sehingga 20 Mac 2026, iaitu tarikh tutup bagi pemprosesan visa haji yang ditetapkan MOHU.
Sekiranya terdapat tempat yang sedia ada sebelum tarikh tutup, pemohon layak yang seterusnya dalam senarai itu akan dihubungi, kata Muis.
Mereka yang tidak menerima sebarang mesej daripada Muis melalui laman web MyHajSG selepas 20 Mac 2026 bermakna tiada tempat kosong untuk musim haji 2026, dan perlu menunggu giliran bagi peruntukan tempat pada masa depan.
“Muis memahami aspirasi pemohon yang masih menanti untuk menunaikan ibadah haji.
“Muis akan terus meneroka huraian lebih baik untuk menangani perkara ini dan berdoa agar Allah swt membalas kesabaran dan ketabahan umat Islam kita serta memberi mereka peluang menunaikan kewajipan suci ini pada musim haji akan datang, InsyaAllah,” kata Muis.
Singapura telah diperuntukkan kuota rasmi 900 anggota jemaah bagi musim haji 2026, sama seperti tahun-tahun sebelum ini.
Pada masa ini, terdapat sekitar 65,000 pemohon yang sedang menanti giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg