Daripada sekadar hobi hujung minggu, mak cik dan anak saudara yang bermain badminton hampir setiap hujung minggu mengorak langkah keluar dengan menyertai acara Sukan Harmoni.

Bagi Cik Lily Ernawati, 44 tahun; dan Cik Sofia Maharani, 24 tahun, yang berasal dari Indonesia, penyertaan itu membuka ruang untuk mereka meluaskan jaringan persahabatan serta berinteraksi dengan anggota masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya.

Pasangan tersebut merupakan antara sekitar 500 peserta acara sukan silang agama Sukan Harmoni yang ke-16, anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Persekutuan Tao Singapura, di Our Tampines Hub pada 13 September.

“Sebelum ini, kami selalu bermain badminton bersama keluarga di stadium atau di kolong blok sahaja.

“Jadi, kami ingin mencabar diri untuk bertanding dengan orang lain secara seronok sambil bertemu orang lain dan membina persahabatan baharu,” kongsi Cik Lily, yang juga pemilik sebuah gerai makan di Tuas.

Cik Lily Ernawati (kiri) dan Cik Sofia Maharani (kanan) semasa pertandingan badminton.
Cik Lily Ernawati (kiri) dan Cik Sofia Maharani (kanan) semasa pertandingan badminton. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Semasa pembukaan acara tersebut, Ketua Pusat Harmoni, Encik Muhammad Nasir Johari, berkata:

“Acara ini bukan sahaja untuk menggalakkan kita bersukan malah menggalakkan kita mengamalkan sikap terbuka untuk memahami antara satu lain.”

Menurut Encik Nasir, acara sukan tersebut merupakan salah satu langkah dalam memupuk persefahaman antara masyarakat berbilang kaum.

Acara tersebut turut dihadiri Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo, serta Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen.

Menurut Cik Sofia, yang juga pelajar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di Institut Antarabangsa KLC, sebuah institusi swasta, walaupun ia merupakan satu pertandingan, mereka tidak mempunyai matlamat untuk menang.

Malah, mereka hanya ingin bertemu dengan peserta lain yang juga berkongsi minat serupa dalam badminton.

“Yang paling penting untuk kami berdua adalah untuk melakukan sesuatu yang kami suka, sambil bertemu dengan orang lain,” jelas beliau.

Peranan sukan dalam menjalinkan hubungan erat turut ditekankan Pegawai Agama Masjid (MRO) Kanan Masjid An-Nahdhah di Bishan, Ustaz Muhammad Luqman Hakim Roslan.

Ustaz Muhammad Luqman Hakim Roslan semasa pertandingan bola keranjang di acara, Sukan Harmoni.
Ustaz Muhammad Luqman Hakim Roslan semasa pertandingan bola keranjang di acara, Sukan Harmoni. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Beliau juga merupakan salah seorang anggota kumpulan bola keranjang daripada masjid tersebut yang bertanding dalam Sukan Harmoni.

Di samping memupuk persefahaman silang agama, beliau berkata sukan seperti bola keranjang dapat digunakan untuk menarik minat belia meluangkan masa di masjid.

“Pihak masjid menggalakkan anjuran kegiatan yang dapat menyatukan masyarakat serta mengeratkan tali persaudaraan, dan sukan seperti bola keranjang merupakan satu cara kami berbuat demikian,” jelas Ustaz Luqman, yang juga pegawai pembangunan belia di masjid tersebut selama hampir sembilan tahun. – DANIAL FHARICK.

Menurutnya, acara tersebut juga dapat mengeratkan hubungan silang agama kerana peserta bermain untuk berseronok, tanpa sebarang permusuhan.

“Menang atau kalah memang adat pertandingan tetapi saya mahu golongan belia dalam kumpulan saya meraih satu pengalaman baharu untuk membangunkan diri mereka dan bertemu dengan peserta daripada pelbagai latar belakang,” tambah Ustaz Luqman.