Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 24 Julai menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau mengambil produk kopi yang dikatakan dapat menurunkan berat badan, selepas produk itu didapati mengandungi bahan terlarang.
Produk kopi itu, V-SHOU Premium Coffee, yang dijual di pelbagai wadah e-dagang tempatan, antara lain mendakwa dapat membantu menurunkan berat badan dengan lebih cepat, mempercepat pembakaran lemak, melegakan sistem penghadaman, dan mengawal selera makan, menurut SFA.
Tidak jelas produk tersebut berasal dari negara mana.
Menurut SFA, ia bekerjasama dengan beberapa wadah e-dagang untuk menghentikan pengiklanan produk tersebut.
Ia turut memberi amaran kepada penjual supaya berhenti menjual produk kopi itu “dengan serta-merta”, lapor The Straits Times (ST).
Arahan tersebut diberikan selepas sejenis bahan terlarang, sibutramine, ditemui dalam produk kopi itu, kata SFA.
Sibutramine, sejenis ubat menurunkan berat badan yang hanya boleh diperoleh melalui preskripsi, diharamkan di Singapura sejak 2010 kerana terdapat risiko meningkat serangan jantung dan angin ahmar apabila mengambilnya.
Kesan kesihatan serius lain yang dikaitkan dengan penggunaan sibutramine, termasuk masalah jantung dan gangguan sistem saraf pusat, seperti psikosis dan halusinasi.
SFA menasihatkan mereka yang telah membeli produk kopi itu agar tidak mengambilnya.
“Mereka yang telah mengambil produk tersebut dan bimbang tentang kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan,” tambahnya.
SFA mengingatkan orang ramai agar menyedari risiko mengambil makanan yang dibeli daripada sumber tidak diketahui atau tidak boleh disahkan.
Ia akan mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa yang menjual dan membekalkan produk makanan tidak selamat yang dicemari bahan terlarang atau berbahaya.
Adalah satu kesalahan untuk menjual makanan tidak selamat di Singapura.
Pesalah boleh didenda hingga $5,000, manakala pesalah berulang boleh didenda hingga $10,000, dipenjara hingga tiga bulan, atau kededua hukuman.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai penjualan dan pembekalan V-SHOU Premium Coffee boleh menulis kepada SFA di www.sfa.gov.sg/feedback
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg