Bahas Belanjawan: Isu AI, sokongan keluarga besar jadi tumpuan
Bahas Belanjawan: Isu AI, sokongan keluarga besar jadi tumpuan
AP saran bantuan bagi rakyat dakap AI, lahirkan keprihatinan AI mampu perluas jurang sosial
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan rakyat Singapura, sokongan bagi keluarga lebih besar dan kehematan kewangan pemerintah merupakan antara perkara yang dibahaskan 30 Anggota Parlimen (AP) pada hari pertama debat Belanjawan 2026.
Meskipun AP dari kedua-dua belah Dewan menyokong dorongan mendakap AI, mereka juga memberi amaran tentang potensi risiko yang dibawa oleh teknologi itu, termasuk meluaskan jurang sosial, meningkatkan tekanan di tempat kerja dan maklumat palsu yang dijana oleh AI.
Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang) berkata literasi AI bukanlah sesuatu yang boleh dicapai melalui bengkel sekali sahaja. Literasi AI adalah sesuatu yang mesti dilatih, dikontekstualisasikan dan dikekalkan.
Cik Mariam menyarankan agar pencapaian keupayaan AI diperkenal, termasuk ibu bapa melengkapkan modul literasi AI asas dan kanak-kanak menunjukkan penggunaan AI yang selamat dan berkesan bagi kerja sekolah.
Pendekatan ini boleh memastikan semua warga Singapura mempunyai kemahiran untuk menyelia AI, peralatan untuk menggunakannya, keyakinan untuk mempersoalkannya dan juga akses yang sama rata kepada peluang dalam AI, katanya.
Beliau menambah bahawa pemerintah mesti memastikan setiap warga Singapura mempunyai kemahiran untuk menyelia AI, peralatan untuk menggunakannya dan keyakinan untuk mempersoalkannya.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau pula menimbulkan isu pendidikan bagi kanak-kanak sedang AI terus berkembang pesat.
“Bagaimanakah kita mengajar anak-anak kita tentang AI, khususnya, batasan, kecenderungan dan masalah tidak diduga,” katanya.
“Apakah pemikiran aras tinggi yang kita ingin lengkapkan dalam anak-anak kita?”
AI akan memaksa Singapura dan warganya untuk mempertajam fokus pendidikan terhadap apa yang benar-benar penting – pertimbangan, nilai-nilai dan keupayaan untuk bekerja dengan AI, dan bukannya bersaing dengannya, tambah Cik Lau.
AP Parti Pekerja (WP) Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Eileen Chong, mengingatkan bahawa sedang Singapura mendakap AI, terdapat risiko yang datang dengan teknologi tersebut.
AI bukan sahaja boleh menghapuskan pekerjaan tetapi juga berpotensi meningkatkan intensiti kerja serta menyebabkan keletihan di tempat kerja, katanya.
Kajian antarabangsa sudah pun menunjukkan bahawa penggunaan peralatan AI bukan sahaja gagal mengurangkan beban kerja pekerja tetapi sebenarnya telah menjadikan mereka lebih sibuk.
Ini kerana ia telah mempercepatkan kadar kerja mereka, dan skop kerja mereka juga telah meluas serta waktu kerja bertambah, tambah Cik Chong.
Encik Henry Kwek (Kebun Baru) berkata media setempat, seperti The Straits Times, Lianhe Zaobao dan CNA, menjadi benteng antara rakyat Singapura dan ruang maklumat yang dimanipulasi dalam era maklumat palsu yang dihasilkan oleh AI.
Oleh itu, beliau menyeru pemerintah untuk memastikan media setempat dibiayai dengan mampan dan secukupnya “kerana media kita adalah sumber kepercayaan kita”.
Dalam perbahasan itu juga, AP parti pembangkang mempersoalkan tindakan pemerintah sentiasa membuat anggaran rendah lebihan belanjawan.
Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) berkata lebihan belanjawan yang disemak semula sebanyak $15.1 bilion adalah lebih seganda daripada anggaran asal sebanyak $6.8 bilion.
Ini bukan kali pertama pemerintah membuat anggaran lebihan belanjawan jauh lebih rendah daripada jumlah sebenar, katanya, sambil mempersoal sama ada ia “menyimpan dana secara tidak perlu”.
“Kita memerlukan ramalan yang lebih tepat yang memastikan kekayaan negara kita memberi manfaat kepada generasi semasa dan juga generasi akan datang,” tambah Encik Giam.
Namun, AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyatakan lebihan belanjawan memberi Singapura ‘peluru’ untuk menghadapi ribut di tengah-tengah dunia yang tidak menentu.
Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) berkata lebihan itu merupakan insurans dan bukan kemewahan.
Lebihan tidak bermakna pemerintah telah mengenakan cukai berlebihan, kata Encik Yam. Sebaliknya, ia bermakna dalam dunia yang tidak menentu, Singapura merancang menggunakan andaian konservatif, dan realitinya adalah lebih baik daripada yang dijangkakan.
Beberapa AP turut mengetengahkan saranan untuk menyokong keluarga lebih besar serta ‘generasi sandwic’ semasa perbahasan pada 24 Februari.
Encik David Hoe (GRC Jurong East-Bukit Batok) menyarankan agar keluarga yang merancang mempunyai ramai anak diberi keutamaan terhadap flat jumbo Bina Ikut Tempahan (BTO).
Namun flat-flat ini harus disertakan dengan syarat-syarat yang jelas, seperti kelayakan yang dikaitkan dengan pasangan yang komited untuk mempunyai dua atau lebih anak dalam tempoh lima hingga tujuh tahun pertama tempoh minimum penghunian flat, katanya.
“Jika mereka tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, maka harus ada laluan pengecilan saiz (rumah) yang jelas dan adil dengan pembayaran balik subsidi,” kata beliau.
Cik Valerie Lee (GRC Pasir Ris-Changi) pula berkata sokongan mesti merangkumi penjagaan warga emas juga.
Penjagaan bukan sahaja tertakluk pada subsidi dan penambahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), tetapi juga tentang memperuntukkan masa dan memupuk ekosistem penjagaan yang menyokong, tambahnya.

