Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa pertuturan bagi Cik Anis Qurratu’aini Azman, malah ia membentuk jati diri dan menjadi asas kepada perjalanan seninya sejak kecil.

Membesar dalam keluarga yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa harian, penyampai radio sambilan berusia 36 tahun itu berkata kecintaannya terhadap bahasa ibunda dipupuk secara semula jadi melalui persekitaran di rumah.

“Kami sering berkomunikasi dalam Bahasa Melayu di rumah. Saya percaya segalanya bermula di rumah – daripada bahasa yang digunakan ketika berbual, rancangan televisyen yang ditonton hinggalah siaran radio yang menjadi teman seharian keluarga,” katanya yang bertugas bersama stesen radio Warna 942FM.

Cik Anis berkata pendedahan sejak kecil itu menyedarkannya bahawa bahasa boleh dipelajari melalui proses mendengar terlebih dahulu sebelum seseorang membina keyakinan untuk menggunakannya.

Pada masa yang sama, ibu bapanya turut memperkenalkan beliau kepada dunia seni apabila sering membawanya mengikuti latihan teater.

Pengalaman itu membuka ruang untuk beliau mengenali dunia di sebalik tabir pentas sebelum membina kerjaya sebagai penggiat seni bebas dalam bidang teater, radio dan televisyen.

Kini, Cik Anis aktif sebagai pengacara, pendendang syair, fasilitator bengkel syair, artis suara latar serta penggiat seni dan budaya Melayu.

Menurut beliau, setiap pengalaman itu mengajarnya bahawa Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, malah menjadi jambatan yang menghubungkan seni, budaya dan masyarakat.

Kongsinya, beliau tidak pernah merancang untuk membina kerjaya berteraskan Bahasa Melayu, namun peluang yang diterima sebagai pengacara, penyiar dan penggiat seni menyedarkannya bahawa bahasa merupakan nadi kepada setiap penyampaian.

Atas sumbangannya dalam memperkasakan Bahasa Melayu menerusi bidang seni, Cik Anis dilantik sebagai salah seorang daripada dua Duta Bahasa 2026 yang diumumkan dalam sidang media Bulan Bahasa di Perpustakaan Negara pada 17 Julai.

Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan dan amanah untuk mendekati masyarakat, khususnya golongan muda.

“Saya percaya ramai anak muda sebenarnya memahami Bahasa Melayu apabila mendengar atau membacanya, tetapi mereka memerlukan lebih banyak ruang, keyakinan dan galakan untuk menggunakannya.

“Apabila Bahasa Melayu disampaikan melalui seni, muzik dan pengalaman yang menyeronokkan, mereka akan melihat bahasa ini sebagai sesuatu yang hidup, relevan dan suatu yang membanggakan,” katanya.

Sebagai Duta Bahasa, Cik Anis berharap dapat terus memartabatkan Bahasa Melayu menerusi bengkel pantun dan syair, persembahan seni, pengacaraan serta penyiaran agar bahasa itu terus hidup dan berkembang merentas generasi.