Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bahaya terselindung di sebalik janji manis haji ‘VIP’

Modus operandi janjikan laluan ‘mudah’ ke Makkah bersama jemaah tempatan Arab Saudi bagi elak laluan pengawasan ketat
Nov 24, 2024 | 5:30 AM
Pakej haji ‘VIP’ dengan bayaran $37,000 menjanjikan penginapan hotel mewah selama 20 hari di Makkah dan Madinah telah mula diiklankan dan tersebar di WhatsApp.
Pakej haji ‘VIP’ dengan bayaran $37,000 menjanjikan penginapan hotel mewah selama 20 hari di Makkah dan Madinah telah mula diiklankan dan tersebar di WhatsApp. - Foto PEMBACA BM
Jadual perjalanan dengan tarikh dan susunan atau perancangan perjalanan, yang merangkumi masa, tempat yang akan dilawati di Makkah dan Madinah serta aktiviti yang akan dijalankan sepanjang perjalanan musim haji 2025 telah disiapkan oleh salah satu ejen haji ‘VIP’.
Jadual perjalanan dengan tarikh dan susunan atau perancangan perjalanan, yang merangkumi masa, tempat yang akan dilawati di Makkah dan Madinah serta aktiviti yang akan dijalankan sepanjang perjalanan musim haji 2025 telah disiapkan oleh salah satu ejen haji ‘VIP’. - Foto PEMBACA BM
Iklan dari sebuah agensi yang berpangkalan di Arab Saudi yang menyasarkan jemaah dari Singapura, Malaysia, dan Indonesia dengan pakej haji ‘VIP’ AS$38,000 ($51,130) bagi menunaikan haji selama 20 hari.
Iklan dari sebuah agensi yang berpangkalan di Arab Saudi yang menyasarkan jemaah dari Singapura, Malaysia, dan Indonesia dengan pakej haji ‘VIP’ AS$38,000 ($51,130) bagi menunaikan haji selama 20 hari. - Foto PEMBACA BM
Tawaran menunaikan haji ‘VIP’ musim 2025 disebarkan menerusi WhatsApp dalam kalangan kumpulan dan rakan terdekat ejen haji.
Tawaran menunaikan haji ‘VIP’ musim 2025 disebarkan menerusi WhatsApp dalam kalangan kumpulan dan rakan terdekat ejen haji. - Foto PEMBACA BM

Ejen-ejen yang menawarkan pakej haji ‘VIP’ menjanjikan laluan ‘eksklusif’ ke Makkah, dengan taktik licik yang sengaja dirancang untuk mengaburi pihak berkuasa Arab Saudi.

Modus Operandi Ejen Haji ‘VIP’

Antara modus operandi, jemaah akan menaiki penerbangan dari Singapura sekitar dua minggu sebelum Hari Arafah dengan transit di Doha sebelum menuju ke Riyadh.

Setibanya di Riyadh, mereka dijanjikan laluan ‘mudah’ ke Makkah bersama jemaah tempatan Saudi, bagi mengelak laluan pengawasan ketat yang biasanya dibuat dalam kalangan jemaah haji antarabangsa yang mendarat di Jeddah.

Seorang anggota jemaah yang pernah melalui pakej ‘VIP’ ini, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik ‘S’ berkongsi:

“Kami diberitahu untuk turun di Riyadh kerana katanya lebih mudah bersama jemaah tempatan Arab. Kami juga diarah tidak memakai pakaian ihram sewaktu mendarat. Keselamatan dikatakan terjamin, tapi rasa cemas tetap ada.”

Mereka meyakinkan bakal jemaah dengan menyatakan mereka akan diiringi oleh wakil ejen yang akan membantu mereka ‘menyusup’ bersama jemaah tempatan.

Ini adalah cara bagi mereka mengelak laluan ketat pemeriksaan di Jeddah, pintu masuk utama bagi jemaah antarabangsa.

Mendarat menerusi Riyadh yang digunakan semasa musim haji 2024 juga dipercayai akan digunakan bagi musim haji 2025 oleh beberapa agensi yang menggunakan visa pelancong dan visa perniagaan.

Ketika Berita Minggu (BM) menghubungi seorang ejen haji ‘VIP’, beliau berkata: “Kita akan ke Riyadh dahulu sebelum ke Makkah.”

Ejen yang sama menyatakan masih banyak visa yang tersedia untuk menunaikan haji dan perlu membayar wang pendahuluan berjumlah AS$7,000 ($9,370) sebelum lewat Oktober untuk pengesahan tempat.

“Kami sudah ada 10 anggota jemaah yang mendaftar dengan kami untuk musim haji 2025,” kata ejen tersebut.

Agensinya menyediakan pakej ‘VVIP’ berharga $33,000 dan pakej Mujamalah $29,000 menerusi visa perniagaan selama 30 hari.

“Ejen kami di Saudi mendapat visa menerusi saluran diraja di Arab Saudi,’’ dakwanya yang mengakui mempunyai dua tahun pengalaman mengendalikan haji ‘VIP’.

Visa perniagaan tersebut katanya dijual kepadanya dengan harga AS$11,000 oleh ejen di Saudi.

Setelah itu, visa perniagaan akan ditukar kepada visa haji yang sah dan hanya dikeluarkan sekitar Ramadan nanti.

Seorang lagi ejen menawarkan pakej haji $37,000 selama 20 hari dengan menginap di Hotel Pullman di Makkah dan Hotel Intercontinental di Madinah.

Mengikut penjelasannya, visa tersebut diperolehi melalui Saudi yang “dihubungkan dengan kenalan istimewa”.

Ejen-ejen tersebut adalah dalam kalangan lima ejen yang berpangkalan di Singapura yang dikesan oleh BM manakala sebuah lagi agensi di Singapura belum mengesahkan untuk menawarkan pakej haji ‘VIP’ kerana masih menunggu ‘lampu hijau’ dari ejennya di Saudi.

Dalam sesetengah kes, bakal jemaah dipujuk oleh individu berstatus ustaz atau guru agama untuk meningkatkan keyakinan terhadap pakej yang ditawarkan seperti yang berlaku pada musim haji 2024.

Melalui anak muridnya, lelaki berstatus ustaz itu mampu mengumpulkan 50 anggota jemaah untuk menunaikan haji ‘VIP’.

Jemaah yang berdaftar dengan haji ‘VIP’ turut menjalani pemeriksaan kesihatan, menerima set telekung atau kain ihram dan beg bagasi untuk dibawa menunaikan haji.

Malah, mereka turut menjemput tokoh agama untuk memberikan ceramah sepanjang kursus haji yang dijalankan.

Satu lagi agensi yang ditinjau BM merupakan agensi yang berpangkalan di Saudi dan menyasarkan jemaah dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Pakej haji ‘VIP’ dari Saudi tersebut mengenakan bayaran pakej AS$38,000 bagi kemudahan mewah dan eksklusif, termasuk pengangkutan ke Mina, Arafah, dan Makkah serta di Madinah selama 20 hari.

“Musim haji 2024 kami membawa lapan warga Singapura. Tahun 2025 masih belum ada yang mendaftar kerana kami hanya membuka pakej pada Januari,” ujar Shaik M. dari Saudi yang fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

Bagi musim haji 2025, hasil pengiraan BM dengan lima ejen itu mendapati sekitar 100 anggota jemaah telah mendaftarkan diri bagi pakej haji ‘VIP’ dengan kebanyakan beralasan tidak mahu menunggu lama bagi kuota haji daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Pada musim haji 2024, pemeriksaan BM juga mendapati hampir kesemua 200 anggota jemaah dari lima ejen tersebut yang sama dapat berlepas ke Makkah menggunakan pakej haji ‘VIP’ dan hanya sekitar 15 anggota jemaah dari salah satu agensi pelancongan setempat yang dikatakan gagal mendapatkan visa Furada untuk berlepas ke Tanah Suci pada saat-saat akhir.

Pengalaman Buruk bagi Jemaah

Namun apabila tiba di Makkah, pengalaman menunaikan rukun Islam kelima itu berbeza bergantung kepada visa yang mereka perolehi dan kecekapan pengurusan mutawif dan ejen semasa di Saudi.

Bagi sekitar 30 anggota jemaah termasuk lima dari Indonesia yang menggunakan visa pelancong, mereka melalui pengalaman buruk kerana tidak mempunyai visa haji yang sah dan hidup seperti pendatang tanpa izin diburu pihak berkuasa dan menunaikan haji tanpa rasa tenang.

“Risiko menggunakan visa ini besar. Tanpa visa haji yang sah, jemaah mungkin terpaksa berjalan kaki atau menggunakan kereta api tempatan untuk ke Mina dan Arafah – sangat berisiko dan jauh berbeza dengan kemudahan yang disediakan bagi visa haji sebenar,” kata seorang pengurus agensi ejen penjualan (GSA) pakej haji yang menegaskan pentingnya menggunakan visa haji sah.

Bagi ejen yang menggunakan visa Furada bagi musim haji 2025 pula memberitahu warga Singapura perlu menggunakan pakej haji ‘VIP’ menerusi Indonesia.

Menurut sumber, ejen tersebut gagal memberikan khidmat yang sempurna pada musim haji 2024 dan mengalihkan khidmat mereka ke Indonesia.

“Kami diberitahu jemaah menerusi visa Furada perlu membayar pakej $36,000 selama 20 hari termasuk dua hari di Madinah. Terdapat 18 anggota jemaah Singapura telah mendaftar dan membayar deposit $15,000 untuk musim haji 2025,” ujar sumber.

“Pada hakikatnya, jemaah yang menggunakan visa haji ‘VIP’ ini sebenarnya melanggar peraturan pihak berkuasa Saudi yang mewajibkan visa rasmi. Tanpa permit sah, jemaah tidak akan mendapat hak dan layanan sama seperti jemaah rasmi, malah risiko ditahan di lapangan terbang atau sekatan jalan sangat tinggi,” ujar seorang anggota jemaah yang menggunakan visa pelancong pada musim haji 2024.

Semakin hampir musim haji 2025, ejen haji ‘VIP’ dijangka akan terus mengiklankan pakej haji ‘VIP’ dan memasarkannya secara agresif.

“Kami sediakan pakej selama 25 hari dengan harga $31,500, tak perlu kuota. Saya hanya perlukan pasport dan deposit $10,000 untuk mohon visa haji dan selepas hari raya puasa perlu bayar jumlah penuh.

“Saya ambil 40 anggota jemaah musim haji 2025. Sekarang ada 10 anggota jemaah Singapura yang telah mendaftar, dan saya akan ambil hanya 25 orang dari Singapura dan bakinya dari Indonesia. Seperti tahun-tahun sebelum ini, tempat cepat habis. Siapa yang tempah dahulu didahulukan,” ujar ejen membawa jemaah haji yang menggunakan visa pelancong pada musim haji 2024.

Keselamatan Jemaah Terancam di Musim Haji 2024

Namun pakej ini bukanlah sesuatu yang baru dan dipercayai telah dijalankan sejak sedekad yang lalu.

Kesnya mula tersingkap pada 2018 yang melibatkan seorang ‘ustaz’ terkenal, Fahrorazi Sohoi, yang dikatakan ‘menipu’ lebih 80 anggota jemaah dengan janji manis visa haji ‘VIP’.

Para jemaah terpaksa menanggung kerugian besar, hilang wang simpanan serta hasrat menunaikan ibadah, malah terperangkap di tengah jalan tanpa sebarang jaminan.

Insiden yang sama juga berlaku pada musim haji 2024, terdapat sekitar 40 anggota jemaah dijanjikan dengan visa Furada tetapi hanya 11 anggota jemaah yang berlepas ke Makkah kerana ejen gagal mendapatkan visa pada saat akhir.

Namun ejen dilaporkan mengembalikan semula wang deposit kepada jemaah.

Hanya pada musim haji 2024, pihak berkuasa Saudi mula meningkatkan aturan keselamatan haji dan mengeluarkan arahan rasmi dengan ketat, seperti yang dilaporkan oleh Saudi Press Agency (SPA).

Pihak Saudi mengambil tindakan tegas terhadap jemaah yang tidak menggunakan visa rasmi.

Ternyata musim haji 2024 menyaksikan jemaah luar negara seperti dari Mesir, Tunisia dan Pakistan menyatakan ramai jemaah haji yang meninggal dunia akibat cuaca panas melampau memasuki Makkah menggunakan visa pelancong, visa lawatan atau visa umrah.

Jemaah yang tidak mempunyai visa haji terdedah kepada bahaya panas terik dan risiko strok haba kerana mereka tidak mempunyai tempat penginapan khas ketika berada di Arafah dan Mina serta terpaksa berjalan jauh.

“Kami berasa tidak selesa dan takut nak bersolat di Masjidil Haram kerana takut diperiksa polis. Kebanyakan masa kami bersolat di musala hotel.

“Visa pelancong atau visa perniagaan bukanlah cara untuk menunaikan haji. Ini adalah tindakan yang melanggar undang-undang dan boleh membawa risiko besar bagi mereka yang terjebak,” jelas seorang lagi jemaah yang menggunakan visa perniagaan pada musim haji 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg