Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baki pembeli flat BTO tertangguh akibat Covid-19 terima kunci jelang akhir Mac 

Mar 8, 2025 | 8:08 PM
Kempas Residences, projek terakhir yang tertangguh akibat Covid-19, telah siap pada Januari 2025.
Kempas Residences, projek terakhir yang tertangguh akibat Covid-19, telah siap pada Januari 2025. - Foto ST

Pemilik rumah flat Bina Ikut Tempahan (BTO) terakhir yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 akan menerima kunci mereka menjelang akhir Mac, menandakan pengakhiran usaha bertahun Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk menyiapkan dan menyerahkan unit-unit ini kepada pembelinya.

Dalam satu kenyataan pada 8 Mac, HDB berkata semua 1,651 pembeli flat bagi dua projek BTO terakhir yang tertangguh – Punggol Point Cove (Fasa 2) dan Kempas Residences – telah dijadualkan untuk mengambil kunci mereka setelah projek tersebut selesai pada Januari.

Ini menandakan berakhirnya tempoh lima tahun di mana projek HDB itu tertangguh.

Secara keseluruhan, 72,101 isi rumah dari 92 projek perumahan terjejas akibat gangguan Covid-19 seperti perintah kawalan pergerakan, langkah jarak selamat dan gangguan rantaian bekalan.

Daripada projek yang terjejas, 27 projek mengalami penangguhan antara satu dengan enam bulan dari tarikh siap asal, manakala 62 projek lagi tertangguh antara tujuh dengan 12 bulan.

Projek Keat Hong Verge, berjaya disiapkan mengikut jadual pada Mac 2023, manakala projek Waterway Sunrise II dan Anchorvale Village, disiapkan selepas tarikh penyerahan pemilikan asalnya – iaitu tarikh kontrak sah, di mana HDB dikehendaki menyerahkan kunci kepada pembeli.

Ia juga menandakan kali pertama HDB gagal menyerahkan projek mengikut tarikh kontrak sah mereka. 

Pada 8 Mac, HDB mengumumkan sebanyak $5.5 juta telah dibayar sebagai pampasan kepada lebih 1,000 pembeli flat daripada dua projek di bawah Akta (Langkah Sementara) Covid-19. Pembeli diberi pampasan jumlah maksimum yang mereka layak terima, tanpa perlu mengemukakan tuntutan atau bukti perbelanjaan.

Pembeli di Anchorvale Village menerima antara $2,270 hingga $6,360, manakala pembeli di Waterway Sunrise II menerima pampasan antara $1,000 hingga $10,500, dengan purata $5,750. 

Sejak 2020, sekitar 900 pembeli telah menyewa flat subsidi daripada HDB, dan sekitar 450 pembeli membatalkan tempahan flat disebabkan keperluan perumahan mendesak telah diberikan pengecualian daripada membayar denda.

HDB turut memberi sokongan kepada kontraktor untuk mengurangkan penangguhan, dengan mengagihkan lebih $430 juta bantuan kewangan untuk membantu mereka dengan kos tambahan bagi tenaga kerja, pembelian bahan dan pematuhan semasa pandemik.

HDB turut menanggung sebahagian kos seperti penyewaan peralatan dan penyelenggaraan tapak, serta membantu kontraktor mendapatkan tenaga kerja.

Dalam satu kenyataan, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata dengan penyelesaian semua 92 projek BTO yang terjejas akibat pandemik, HDB kini telah kembali kepada kebiasaan dalam kemajuan pembinaan BTO yang diselenggarakan.

HDB kini sedang membina 113 projek dan dijangka menyiapkan sekitar 17,000 flat merentasi 27 projek pada 2025.

Menteri itu berkata semua 113 projek dijangka siap mengikut jadual, dengan beberapa projek, seperti BTO Toa Payoh Ridge, dijangka siap sekitar tiga hingga enam bulan lebih awal.

“Ini projek pertama sejak pandemik 2020 yang disiapkan lebih awal daripada tarikh jangkaan asal yang dimaklumkan kepada pembeli,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg