Topik diikuti
Pergi ke BHkuBalik ‘kampung’ kenang jasa ibu
Balik ‘kampung’ kenang jasa ibu
Susuli pengumuman bahawa beliau telah dipilih sebagai calon bagi Pilihan Raya Presiden 2023, Encik Ng Kok Song bergegas untuk balik ‘kampung’ ke tempat beliau dibesarkan, yang kini menempatkan Blok 475A Upper Serangoon Crescent.
Tapak tersebut, yang dahulu dikenali sebagai Kangkar, merupakan rumah kampungnya di mana beliau bersama 10 lagi adik-beradik dibesarkan oleh ibu mereka dalam keadaan yang miskin.
Dipenuhi emosi dan sebak, Encik Ng seolah-olah meletakkan kepalanya di lantai dan mencium tapak tersebut apabila tiba petang Selasa bagi mengenang nasibnya dahulu dan jasa ibunya.
“Ibu adalah wira saya kerana beliau telah membesarkan kami dalam keadaan miskin. Meskipun kami keluarga yang besar, tapi beliau tetap menyayangi kami.
“Beliau terpaksa meminjam wang daripada jiran untuk membeli buku sekolah. Apabila beliau pulang, beliau menangis kerana jiran pun tiada wang untuk dipinjamkan,” kata Encik Ng sambil menahan sebak.
Bercakap dengan media sebelum lawatannya ke Pusat Beli-Belah Kangkar di Upper Serangoon, beliau berkata detik itu telah membuatnya bimbang tentang masa depannya dan berazam untuk tidak membuat ibunya menangis lagi.
“Saya belajar, kerja keras dan kini saya dapat membawa keluarga saya keluar dari jerat kemiskinan. Kini, harapan saya hanya untuk memberitahu ibu saya bahawa saya telah berjaya untuk bertanding bagi jawatan Presiden,” kata Encik Ng.
Berkongsi pengalamannya, beliau berharap anak-anak muda yang sedang bergelut dalam jerat kemiskinan agar tidak berputus asa, dan berharap, jika dipilih sebagai Presiden, dirinya dapat memberikan inspirasi kepada golongan tersebut untuk mengharungi cabaran dan berjaya dalam kerjaya serta kehidupan mereka.
Menerusi rapat Pilihan Raya Presidennya yang akan diadakan menerusi media sosial, beliau berharap dapat mendekati golongan anak muda, yang beliau fikir, amat risau tentang masa depan mereka, baik dalam segi kerjaya mahupun dalam segi kehidupan.
“Mereka rasa masa depan tidak cerah dan tidak mempunyai peluang untuk keluar daripada jurang kemiskinan. Saya ingin memberitahu mereka agar usah berputus asa, jangan sedih. Singapura berada dalam kedudukan yang baik dan ekonomi akan terus maju.
“Namun, mereka juga harus meningkatkan kemahiran, belajar bersungguh-sungguh agar dapat meraih peluang yang ada,” kata Encik Ng.