Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banduan bangkit, lulus GCE ‘N’ selepas kali ke-11 dipenjara

Antara 46 yang duduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’ 2024
Dec 17, 2024 | 6:30 PM
Menurut Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), 75 peratus daripada 24 calon GCE N(A) dan 68.2 peratus daripada 22 calon GCE N(T) di Sekolah Penjara lulus dalam Bahasa Inggeris, Matematik, serta satu mata pelajaran lain bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’ 2024.
Menurut Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), 75 peratus daripada 24 calon GCE N(A) dan 68.2 peratus daripada 22 calon GCE N(T) di Sekolah Penjara lulus dalam Bahasa Inggeris, Matematik, serta satu mata pelajaran lain bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’ 2024. - Foto SPS

Akibat ‘tersilap’ pergaulan, dia terjerumus ke dalam kancah dadah dan dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun empat bulan.

Hukuman penjara itu adalah yang ke-11 bagi Daniel (bukan nama sebenar), 39 tahun.

Namun, kali ini berbeza.

Daniel akhirnya menyedari kesilapan masa lalunya dan memilih pendidikan sebagai laluan untuk memperbaiki diri dan kembali ke pangkuan masyarakat.

Lantas, dia menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’ 2024 dan merupakan salah seorang daripada 46 banduan yang menduduki peperiksaan itu.

Daripada jumlah itu, 24 mengambil peperiksaan Normal (Akademik) N(A) manakala 22 yang lain menduduki peperiksaan Normal (Teknikal) N(T).

Seramai 75 peratus calon banduan N(A) dan 68.2 peratus calon banduan N(T) memenuhi syarat kemasukan untuk mengikuti kursus Institut Pendidikan Teknikal (ITE), kata Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pada 17 Disember. 

Gembira dengan keputusan yang diterimanya pada 16 Disember, Daniel kini berhasrat melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan dan Pendidikan Persatuan Hotel Singapura (Shatec) dengan harapan dapat membina kerjaya dalam industri hospitaliti dan pengurusan pelancongan.

Baginya, keputusan menyambung pendidikan bukan sekadar menimba ilmu, malah ia adalah peluang untuk mengenali bakat dan potensi dirinya.

Tambahan, Daniel sedar akan pentingnya pendidikan dalam memastikan masa hadapan yang lebih cerah dan menjamin peluang pekerjaan untuk dirinya.

Daniel memperoleh gred B (Bahasa Inggeris), A (Matematik) dan A (Aplikasi Komputer).

“Tidak pernah terlambat untuk membuka lembaran baru. Kalau saya boleh buat, orang lain pasti boleh juga,” ujarnya, yang merupakan calon N(T) itu.

SPS dalam kenyataannya berkata: “Berdasarkan keputusan, 75 peratus daripada pelajar GCE N(A) mendapat kelulusan dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan satu mata pelajaran lain.

“68.2 peratus daripada pelajar GCE N(T) memperoleh kelulusan dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan satu mata pelajaran lain dan layak untuk memohon kursus di ITE.”

Pelajar terbaik dalam aliran N(A) mencapai lima kepujian manakala pelajar terbaik daripada aliran N(T) mencapai tiga kepujian, tambah SPS.

Pada 2022, seramai 63 banduan menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘N’, dengan 43 calon N(A) dan 20 calon N(T).

Pada 2023 pula, 14 calon N(A) dan 33 calon N(T) menduduki peperiksaan itu.

Di samping GCE Peringkat ‘N’, Sekolah Penjara menyediakan pendidikan lain termasuk GCE Peringkat ‘O’ dan ‘A’.

Sekolah Penjara turut bekerjasama dengan Politeknik Ngee Ann (NP) untuk menawarkan Diploma dalam Amalan Perniagaan (Pengurusan Rantaian Bekalan Antarabangsa) dan Diploma dalam Amalan Perniagaan (Pentadbiran dan Pengurusan), yang kededuanya kini digantikan dengan Diploma dalam Amalan Perniagaan (Pentadbiran dan Pengurusan), dengan pengkhususan dalam Pendigitalan dan Kemampanan atau Pengurusan Rantaian Bekalan Antarabangsa pada 2024.

Banduan yang menamatkan kursus diploma dalam penjara turut berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

Setakat ini, kata SPS, seramai 31 pelajar telah mendaftar di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) untuk program ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang logistik dan pengurusan rantaian bekalan, pemasaran, kewangan dan ‘Faktor Manusia dalam Keselamatan’.

Menurut SPS, lebih 270 banduan melanjutkan pendidikan mereka di Sekolah Penjara setiap tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg