Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banduan serik, ingin bangun masa depan positif

Antara 94 banduan terima Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) oleh Perkhidmatan Penjara Singapura
Nov 27, 2024 | 7:26 PM
Sambil mengikuti program Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) bagi membantu memupuk nilai seperti ketahanan, ketabahan dan tanggungjawab sosial, Kir juga belajar mengaplikasikan nilai tersebut dalam kehidupan seharian, walaupun ketika masih berada dalam penjara.
Sambil mengikuti program Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) bagi membantu memupuk nilai seperti ketahanan, ketabahan dan tanggungjawab sosial, Kir juga belajar mengaplikasikan nilai tersebut dalam kehidupan seharian, walaupun ketika masih berada dalam penjara. - Foto ST

Kir (bukan nama sebenar) pertama kali menyalahgunakan dadah semasa usianya 18 tahun, dan dua tahun kemudian, dia ditangkap polis akibat kesalahan itu.

Selama hampir sedekad, Kir masuk keluar penjara empat kali, termasuk yang terkini pada 2023 setelah dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan yang sama.

“Keluarga saya tidak begitu menyokong. Mereka terus mengingatkan saya tentang kesilapan lalu, tentang perkara-perkara salah yang telah saya lakukan.

“Saya benar-benar cuba untuk berubah, tetapi setiap kali saya cuba, saya rasa ibarat ditarik kembali ke bawah. Itulah sebabnya saya berakhir di sini, untuk kali keempat,” kata Kir.

Meskipun menghadapi pelbagai cabaran, banduan berusia 30 tahun itu telah mencatat kemajuan penting dalam transformasi peribadinya.

Pada 27 November, dia telah menerima Anugerah Emas Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) semasa majlis penyampaian anugerah NYAA di Pusat Lawatan Penjara di Tanah Merah. Ia bagi mengiktiraf kemajuan yang dicapainya.

Diperkenalkan dalam penjara pada 2000, Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) menyatakan dalam satu kenyataan media bahawa program NYAA itu bertujuan membantu banduan berusia antara 16 dengan 30 tahun dalam membangunkan sifat peribadi seperti “berdikari, ketabahan, dan rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri serta masyarakat”.

Program tersebut, yang disokong oleh SPS dan rakan kongsi masyarakat, telah disertai oleh 94 peserta banduan pada 2024.

Antara mereka, terdapat 66 penerima anugerah emas, 27 penerima anugerah perak dan satu penerima anugerah gangsa.

Bertema, ‘Sebarkan Sikap Positif dan Hidupkan Semula Kebaikan (S.P.A.R.K)’, peserta telah membangunkan dan melaksanakan empat projek dengan kerjasama pelbagai rakan masyarakat.

Ini termasuk mencipta permainan Monopoly bersaiz besar untuk penghuni Jenaris Home, sebuah rumah kebajikan di bawah naungan Institusi Kebajikan Blue Cross (BCCI).

Permainan itu diiktiraf dalam Buku Rekod Singapura sebagai saiz permainan Monopoly terbesar.

Peserta banduan turut mengambil bahagian dalam acara larian seperti Larian Penjara Reben Kuning, dengan penderma korporat menyumbang $5 kepada Dana Reben Kuning bagi setiap kilometer yang dilalui.

Mereka berjaya mengumpul $19,700 dengan berjalan dan berlari sejauh 3,940 kilometer di sekitar padang latihan.

Tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, telah menyampaikan anugerah kepada 94 peserta banduan tersebut, yang berusia antara 16 dengan 30 tahun.

Sebagai sebahagian daripada program itu, Kir telah menyumbang kepada daya usaha yang bermakna seperti membuat kad penghargaan untuk jururawat di Moral Welfare Home dan THK Home for Disabled @ Sembawang sempena Hari Jururawat.

Dia juga menyertai program NYAA pada hujung minggu seperti bermain futsal kendalian SportCaresSG, dan kemahiran kegiatan luar seperti membaca peta dan menggunakan kompas, serta bantuan kecemasan asas kendalian Kelab Pengembara Singapura (SAC) bersama banduan lain.

Menurut Kir, program tersebut telah membantunya memupuk sikap ketahanan, keteguhan, dan rasa tanggungjawab sosial yang lebih mendalam dalam dirinya.

“Apabila saya lalui sesi itu, saya sedar bahawa ia adalah satu pelajaran yang penting bagi saya terutamanya aspek tentang menyelamatkan nyawa.

“Ia sangat memberi kesan kepada saya kerana saya seorang ibu, dan saya juga pernah kehilangan seorang anak sebelum ini,” ujarnya.

Apabila dibebaskan dari penjara kelak, Kir berharap dia dapat memecahkan lingkaran kesalahan berulang dan membina masa depan yang stabil serta positif untuk dirinya dan tiga anaknya.

“Saya sudah penat dengan pintu pusingan keluar masuk penjara dan saya perlu bersama anak-anak saya.

“Jika saya benar-benar ingin berubah, ketekunan adalah kuncinya. Dan nilai yang satu lagi? Ketabahan. Meskipun saya sudah keluar, ia adalah sesuatu yang perlu saya pegang dan ingat,” kongsi Kir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg