Bangkai ikan paus baleen sepanjang 6.3 meter ditemui di perairan berhampiran Tanjong Pagar pada 6 September.
Dalam satu kenyataan mengenai penemuan itu, Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian di Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata punca kematian ikan paus tersebut masih belum dapat dipastikan, lapor The Straits Times (ST).
Bangkai itu sudah berada dalam keadaan reput yang teruk dan penyelidikan sedang dijalankan untuk mengenal pasti haiwan tersebut dengan lebih mendalam, kata Kurator Mamalia muzium itu, Dr Marcus Chua.
Spesimen yang tidak lengkap itu dikenal pasti sebagai Balaenoptera sp., dianggarkan mempunyai berat sekitar enam tan, menurut muzium tersebut.
Pegawai dari Lembaga Taman Negara (NParks) telah memaklumkan penyelidik muzium mengenai bangkai ikan paus itu.
Namun, ketika persiapan sedang dijalankan, bangkai ikan paus yang sudah sangat rapuh, itu pada 12 September dilaporkan hanyut ke arah Pusat Kapal Peleseran Marina Bay.
Bagi mengelakkan ia hilang di laut terbuka, kakitangan muzium bekerjasama dengan Singapore Salvage Engineers untuk menyelamatkan bangkai tersebut.
Kini ia disimpan dengan selamat untuk diproses dan dikaji lanjut oleh satu pasukan yang diketuai Dr Chua.
“Penemuan ikan paus di perairan Singapura adalah sesuatu yang jarang berlaku.
“Oleh itu, insiden seperti ini memberi peluang unik untuk penyelidik mengkaji mamalia marin bersaiz besar ini,” katanya.
Penemuan itu menandakan sepuluh tahun sudah berlalu, sejak muzium tersebut menemui dan mengkaji bangkai ikan paus yang ditemui di perairan Singapura.
Beberapa bulan selepas muzium itu dibuka pada 2015, bangkai ikan paus sperma ditemui terdampar berhampiran Pulau Jurong.
Spesimen itu, yang kemudian dinamakan Jubi Lee, menjadi salah satu tarikan paling ikonik dalam galeri muzium tersebut.
Ketua muzium, Profesor Darren Yeo berkata: “Sungguh menyentuh hati apabila satu lagi bangkai ikan paus muncul tepat pada ulang tahun ke-10 muzium ini, ketika kami mengenang satu dekad penyelidikan, pemuliharaan dan penglibatan awam.”
Muzium tersebut kini sedang mengkaji bangkai ikan paus baleen yang ditemui itu dan telah mengumpul sampel tisu untuk analisis genetik pada masa hadapan.
Muzium itu berkata lebih banyak maklumat mengenai proses bedah siasat dan penemuan selanjutnya akan dikongsi pada masa yang sesuai.
Penemuan ikan paus baleen pada 2025 mengingatkan tentang satu bab dalam sejarah semula jadi Singapura, menurut muzium tersebut.
Pada 1907, Muzium Raffles di Stamford Road, yang kini dikenali sebagai Muzium Negara Singapura, mempamerkan rangka ikan paus biru sepanjang 13.4 meter yang pernah terdampar berhampiran Melaka pada 1892.
Spesimen tersebut menjadi tarikan utama sehingga ia dihadiahkan kepada Muzium Negara Malaysia pada 1974.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg