Pengasas syarikat gula-gula dan konfeksioneri yang tular dalam talian, SGFR, Encik Mohamed Haikkel Firdaus, telah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan sejak syarikatnya mula beroperasi pada 2021.
Antara lain, syarikat itu pernah kehilangan $100,000 dalam pelaburan dek termakan janji pelabur yang sebenarnya satu skim penipuan Ponzi berpangkalan di Denmark.
Untuk cuba bersaing dengan pasar raya yang menjual produk tawaran mereka seperti air minuman Prime Hydration, SGFR telah mengambil risiko besar dengan melaburkan wang yang banyak.
“Satu pembekal menjanjikan harga yang lebih murah kepada kami jika kami komited dengan pesanan yang besar, jadi kami melabur hampir $100,000.
“Tetapi dia hilang dengan wang itu... Kami sampai terbang ke Denmark untuk mencarinya, hanya untuk mendapat tahu kami telah terjerumus ke dalam penipuan Ponzi,” kongsi Encik Haikkel ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Namun, daripada membiarkan dugaan itu melemahkan semangatnya, Encik Haikkel, 23 tahun, tekad untuk membina sebuah syarikat yang bukan sekadar menjual snek, malah mewujudkan satu masyarakat yang dekat di hati golongan muda.
Atas usaha mereka, SGFR diiktiraf sebagai salah satu antara 14 penerima Anugerah Permulaan Spirit of Enterprise (SOE), yang mencerminkan ekosistem keusahawanan Singapura yang semakin berkembang.
Mengiktiraf kepimpinan keusahawanan, anugerah itu memberi penghormatan kepada 53 usahawan cemerlang atas daya tahan, kepimpinan dan kepintaran perniagaan mereka.
Daripada jumlah ini, 30 usahawan menerima Anugerah SOE untuk syarikat mapan, 8 usahawan menerima Anugerah SOE untuk usahawan mikro, manakala 14 pengasas syarikat pemula diberikan Anugerah Pemula SOE, dengan seorang usahawan diiktiraf dengan Anugerah SOE-CLA Global TS.
Majlis penyampaian Anugerah SOE 2025 berlangsung pada 27 Oktober di The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.
“Melihat begitu banyak jenama terkenal seperti PropNex dan Bengawan Solo yang pernah menerima anugerah ini menjadikannya (pengiktirafan ini) terasa begitu luar biasa.
“Saya tidak pernah terbayang bahawa pasukan kecil kami akan diiktiraf sebaris dengan nama-nama besar yang menjadi inspirasi kami sejak awal lagi,” kata Encik Haikkel.
Kini, dengan rangkaian pelanggan muda yang setia, syarikat yang berusia empat tahun itu giat berkembang ke pusat membeli-belah utama di seluruh Singapura.
Ini di samping rencana meluaskan sayap ke peringkat global dengan mengeksport produk seperti minuman Quench Ice Cream dan coklat Cwumble Cwunch hasil ciptaan mereka sendiri, ke luar negara.
Akan tetapi, proses untuk mengembangkan sayap bukanlah sesuatu yang mudah, luah Encik Haikkel.
Sebagai pengasas muda tanpa sokongan daripada syarikat atau pelabur besar, pembentangan idea SGFR telah ditolak oleh lebih daripada 10 pelabur.
“Ada yang berkata pasaran sudah dipenuhi syarikat besar seperti Milo, Yeo’s dan F&N, dan idea ini tidak akan berjaya.
“Namun, kami enggan berputus asa. Akhirnya, seorang pelabur mempercayai kami dan memberikan peluang untuk membuktikan keupayaan kami,” tambahnya.
Justeru, beliau dan pasukannya telah menghabiskan masa selama berbulan-bulan untuk memperhalusi formula, menguji prototaip, dan menambah baik setiap butiran sehingga mencapai kesempurnaan.
Apabila minuman Quench akhirnya dilancarkan pada 2024, sebanyak 72,000 tin habis terjual dalam bulan pertama, ujar Encik Haikkel dengan bangga.
Kejayaan itu menjadi detik besar buatnya, dan dianggap sebagai bukti bahawa meskipun mengalami kehilangan besar, beliau mampu bangkit semula dengan lebih kuat, kreatif, dan berdikari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg