Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ilhan Fandi wajah snek bola sepak perisa coklat ‘Goal Crunch’

Jun 20, 2025 | 3:52 PM
SGFR, Ilhan Fandi’s Goal Crunch
Jenama snek tempatan SGFR, melancarkan snek ‘marshmallow’ yang dikeringkan melalui proses pembekuan (freeze-dried) dan disaluti coklat ‘fondue’ bersama pemain bola sepak tempatan, Ilhan Fandi. - Foto SGFR

Snek bola sepak pertama yang menampilkan wajah bintang muda bola sepak tempatan, Ilhan Fandi, kini boleh didapati di pasaran menerusi pelancaran rasmi produk baru, Goal Crunch.

Snek inovatif tersebut dihasilkan oleh pasukan di sebalik SGFR, yang sebelum ini dikenali kerana terkenal membawa masuk makanan atau snek dari luar negara yang unik.

Goal Crunch menampilkan gula-gula marshmallow yang dikeringkan melalui proses pembekuan dan disaluti coklat fondue, menyerupai bentuk bola sepak mini.

Pemilik SGFR, Encik Haikkel Firdhaus, 23 tahun, berkata:

“Inspirasi menghasilkan produk ini timbul selepas menyedari persaingan harga yang sengit daripada pasar raya besar yang mula menjual produk yang serupa dengan barangan import yang dijual mereka.

“Kami tahu untuk kekal relevan dan berdaya saing, kami perlu hasilkan produk kami sendiri, tapi bukan sesuatu yang biasa. Kami nak cipta sesuatu yang belum pernah dilihat di Singapura,” tambahnya.

Sebelum Goal Crunch, SGFR berjaya melancarkan produk asal mereka seperti minuman aiskrim, Quench dan snek coklat, Cwumble Cwunch.

Semasa menjalankan kajian untuk produk seterusnya, mereka mendapati trend snek kering-beku semakin meningkat di luar negara.

“Kami nampak ramai buat gummy (gula-gula) dan buah-buahan kering-beku, tapi tiada siapa pernah cuba marshmallow.

“Jadi kami bekerjasama dengan kilang khas untuk menghasilkan gula-gula ini dan kemudian salutkannya dengan coklat,” tambah Encik Haikkel.

Gabungan tekstur rangup dan rasa manis menjadikan Goal Crunch snek yang unik. Namun apa yang menjadikannya lebih istimewa adalah kerjasama dengan pemain bola sepak tempatan, Ilhan Fandi, yang dipilih sebagai wajah produk tersebut.

“Saya, Syahmi dan Luqmaan memang peminat bola sepak dan Ilhan adalah pemain kegemaran kami. Bila kami dapat idea snek bertema bola sepak, kami rasa mengapa tidak libatkan pemain tempatan?” jelas beliau.

Encik Syahmi Sidek, 25 tahun, merupakan Pengurus Pemasaran SGFR, dan Encik Luqmaan Hakiim, 22 tahun, merupakan Pengasas Bersama, SGFR.

Menurutnya lagi, Goal Crunch merupakan produk pertama di Singapura yang menggunakan pemain bola sepak tempatan sebagai wajah jenama, satu langkah strategik untuk menarik minat golongan muda dan peminat sukan.

Proses penyelidikan dan pengembangan (R&D) produk itu mengambil masa antara tujuh dengan sembilan bulan. Ia melalui pelbagai ujian untuk mendapatkan tekstur dan rasa yang sempurna.

Goal Crunch kini dijual pada harga $8.50, dengan promosi dua pek pada harga $15.

Ia boleh didapati di kesemua tujuh cawangan SGFR dan rakan niaga terpilih seperti Meat Aliyah Rizq di Woodlands.

“Tidak pernah terfikir saya akan mempunyai Ilhan Fandi Goal Crunch saya sendiri. Saya berasa sangat berbesar hati dan gembira,” luah Ilhan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg