Topik diikuti
Pergi ke BHkuBangunan baru $6j perluas ruang pendidikan Madrasah Wak Tanjong
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang merealisasikan impian Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah membina sebuah bangunan tambahan di tapak yang sama di Sims Avenue.
Tapak yang dahulunya ruang terbuka dan tempat anak-anak madrasah bermain bola serta menjalankan kegiatan fizikal kini menempatkan sebuah bangunan baru yang berdiri megah melengkapi bangunan sedia ada.
Di bangunan ini terdapat ruang terbuka buat perhimpunan di tingkat dua dan tiga, tiga bilik darjah di tingkat tiga dan empat, tandas bagi golongan kurang upaya dan lif di semua tingkat. Di lantai lima, ada kawasan terbuka yang akan dikembangkan lagi fungsinya pada masa hadapan .
Usaha Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah menambah bilik darjah dirancang pada awal 2022, menyusuli cadangan beralih kepada sistem persekolahan satu sesi, yang memerlukan lebih banyak bilik darjah. Justeru, projek Nur Ala Nur Fasa 1 dimulakan dengan penambahan dua bilik darjah dan dua tandas di tingkat lima. Namun, penambahan itu belum mencukupi bagi menampung sepenuhnya keperluan operasi satu sesi.
Setelah Fasa 1 siap pada awal 2024, usaha membina bangunan tambahan dimulakan pada pertengahan tahun itu. Setelah melalui pelbagai urusan dan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa, Projek Fasa 2, iaitu pembinaan Bangunan Annex setinggi lima tingkat, dimulakan pada hujung 2024.
Sepanjang pembinaan sekitar dua tahun, operasi madrasah berjalan seperti biasa. Kerja utama, yang menghasilkan bunyi bising, seboleh-bolehnya dijalankan pada cuti sekolah, hujung minggu atau selepas waktu persekolahan bagi meminimumkan gangguan kepada warga madrasah.
Pada Julai 2026, pembinaan selesai dan bangunan baru itu dirasmikan oleh Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, pada 29 Ogos, yang juga sempena sambutan Zikr Rasul Madrasah Wak Tanjong ke-60 tahun. Insya-Allah, ia akan mula digunakan pada penggal empat persekolahan.
Kos bagi projek Fasa 1 dan Fasa 2 ini sekitar $6 juta dan dibiayai daripada sumbangan masyarakat Islam Singapura.
Terima kasih tidak terhingga kami ucapkan kepada semua penderma yang sentiasa menyokong projek-projek murni Madrasah Wak Tanjong, terutamanya projek pembangunan Nur Ala Nur ini.
Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas dengan sebaik-baik ganjaran dan pahalanya akan terus mengalir kepada tuan dan puan selagi bangunan ini dimanfaatkan untuk melahirkan insan berilmu, berakhlak mulia dan pemimpin agama pada masa hadapan.
Penulis ialah mudirah, atau pengetua, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
SOKONGI MADRASAH WAK TANJONG AL-ISLAMIAH
1. Anda boleh menderma melalui PayNow ke UEN: S55MM0002D atau hantarkan cek atas nama ‘Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah’.
2. Hubungi talian 6741-0131 atau e-mel kepada mwti@mwti.edu.sg bagi maklumat lanjut.
3. Kunjungi Facebook@MWTI Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah untuk mengikuti perkembangan terbaru madrasah.
4. Kunjungi pejabat Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di 589 Sims Avenue, Singapura 387600.

