Kemudahan di bawah satu bumbung untuk menyokong aspirasi dan kecemerlangan sukan atlet negara bakal dibina di Hab Sukan Singapura di Kallang.
Dinamakan ‘Home of Team Singapore’, atau rumah kepada atlet Team Singapura, bangunan itu akan menampilkan kemudahan sains dan perubatan baru, dan menyepadukan pusat latihan nasional untuk beberapa sukan penting.
Ia turut akan menempatkan atlet-pelajar daripada Sekolah Sukan Singapura (SSP) supaya mereka dapat belajar dan berlatih bersama atlet senior.
Ini bermakna SSP, yang kini terletak Woodlands, akan berpindah ke Kallang.
Bangunan itu dijangka dibina dekat dengan Stadium Negara, di tapak yang kini terletak Pusat Tenis ActiveSG, Pusat Skuasy ActiveSG dan Pusat Bola Jaring ActiveSG Kallang.
Namun butiran mengenai bila ia bakal siap dibina belum lagi diumumkan.
Daya usaha itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Kallang Alive yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa ucapannya dalam Bahasa Inggeris di Rapat Hari Kebangsaan 2024 pada 18 Ogos.
Encik Wong berkata pemikiran orang ramai terhadap prospek dalam sukan semakin berubah, dengan lebih ramai atlet muda Singapura menceburi sukan secara serius dan mencapai kecemerlangan pada tahap tertinggi.
“Pemikiran sedang berubah. Pada masa lalu, ibu bapa tidak begitu pasti tentang anak mereka mengejar sukan sebagai kerjaya.
“Sekarang kita melihat lebih banyak contoh teladan yang berjaya. Lebih ramai atlet muda memandang sukan secara serius, dan berlatih sepenuh masa, dengan sokongan daripada pemerintah,” jelas beliau.
Buat masa ini, atlet Singapura disokong melalui Biasiswa Kecemerlangan Sukan (Spex), yang diberikan kepada atlet negara dengan potensi mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.
Mereka menerima gaji bulanan, elaun latihan, dan pembiayaan untuk pertandingan.
Program Potensi Kecemerlangan Sukan (spexPotensi) turut diperkenalkan pada 2024, yang bertujuan menyokong atlet muda berpotensi tinggi meskipun belum berhasil dalam pertandingan tahap senior.
Kumpulan pertama menerima anugerah mereka pada Mac.
Encik Wong menambah bahawa pemerintah juga akan meningkatkan usaha untuk mengukuhkan budaya sukan di Singapura.
Di bawah pelan induk baru itu, pemerintah merancang membina arena tertutup baru yang canggih bagi menganjurkan acara bertaraf tinggi di sini.
Arena itu akan dapat menampung 18,000 penonton dan dapat disesuaikan untuk pelbagai acara termasuk hiburan, sukan dan gaya hidup.
Idea pembinaan arena baru kali pertama diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, ketika berucap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementerian itu di Parlimen pada 7 Mac.
Ia dilaporkan bakal dibina bersebelahan tapak semasa Stadium Tertutup Singapura (SIS), yang telah beroperasi selama 35 tahun. SIS boleh menampung 12,000 penonton.
Encik Wong berkata: “Ini supaya kita dapat menjadi tuan rumah kepada lebih banyak acara bertaraf tinggi. Atlet kita boleh bertanding di padang sendiri dan warga Singapura akan mempunyai lebih banyak peluang untuk memberi sorakan kepada mereka.”
Kallang akan turut menjadi tempat untuk semua warga Singapura menikmati sukan.
Satu jalan utama yang melalui Hab Sukan Singapura akan diubah menjadi kawasan pejalan kaki, kata Encik Wong.
Lebuh hias (boulevard) masyarakat itu akan disuntik dengan kemudahan dan program sukan untuk penggunaan dan penyertaan orang ramai.
“Anda tidak perlu menjadi atlet elit untuk menikmati kemudahan di Kallang.
“Anda mungkin pemain pada hujung minggu, atau mereka yang baru mula belajar atau cuba menceburi sukan baru. Walau apa pun tahap anda, selagi anda mempunyai minat dalam sukan, akan ada sesuatu untuk anda di sini,” ujarnya lagi.
Encik Wong menambah bahawa Kallang akan dijadikan sebagai “destinasi gaya hidup baru” untuk orang ramai menonton lebih banyak acara sukan dan hiburan, mengambil bahagian dalam sukan, dan menikmati waktu bersama keluarga yang bermutu.
Pada Disember 2022, pemerintah mengambil alih Hab Sukan Singapura, yang sebelumnya dikendalikan entiti swasta, SportsHub Pte Ltd.
Hab Sukan Singapura, yang dibuka pada 2014, merangkumi kemudahan baru seperti Hab Tenis Kallang dan Hab Bola Sepak Kallang, selain Stadium Negara, Pusat Akuatik OCBC dan Arena OCBC.
“
“Saya bekerjasama dengan jabatan sains sukan Institut Sukan Singapura setiap hari, dan saya mendapat sokongan fisioterapi dan psikologi selama bertahun-tahun. Mereka bantu memastikan bahawa saya berada pada tahap terbaik secara fizikal dan mental untuk bersaing dan telah memainkan peranan penting dalam kerjaya saya. Saya sangat teruja mengenai pengumuman kemudahan sains dan perubatan baru kerana ini bermakna lebih ramai atlet boleh mendapat bantuan yang mereka perlukan dalam setiap aspek, bagi pastikan mereka dapat mencapai matlamat sukan mereka.”“
“Masa depan sukan kelihatan mengujakan dengan rancangan membawa komuniti sukan, termasuk Sekolah Sukan Singapura, bersama di satu lokasi. Sebagai atlet nasional yang meraih manfaat daripada latihan berpusat, perkongsian pengetahuan, kemahiran dan pengalaman oleh atlet senior bermanfaat untuk pembangunan sukan atlet junior.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg