Topik diikuti
Pergi ke BHkuBangunan baru Jabatan Kecemasan SGH, Institut Neurosains Kebangsaan percepat rawatan angin ahmar
Bangunan baru Jabatan Kecemasan SGH, Institut Neurosains Kebangsaan percepat rawatan angin ahmar
Bangunan baru Jabatan Kecemasan SGH, Institut Neurosains Kebangsaan percepat rawatan angin ahmar
Pesakit yang mengalami serangan angin ahmar kini boleh menjalani penilaian, imbasan dan rawatan secepat 82 minit, berbanding 130 minit sebelum ini, di bangunan baharu Jabatan Kecemasan (ED) Hospital Besar Singapura (SGH) dan Institut Sains Neuro Nasional (NNI).
Kemudahan 12 tingkat itu dibangunkan untuk mengendalikan jumlah pesakit yang tinggi dan kes kecemasan rumit, selain mengurangkan kelewatan akibat pemindahan pesakit antara bangunan hospital.
Dengan pelbagai perkhidmatan perubatan ditempatkan di bawah satu bumbung, pesakit angin ahmar boleh menerima rawatan lebih cepat tanpa perlu dipindahkan ke blok utama SGH.
Dirasmikan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 30 Oktober, kemudahan seluas 14,000 meter persegi itu enam kali lebih besar daripada ruang sebelumnya di Blok 1, menandakan perkembangan terkini kampus SGH di Outram.
Encik Ong berkata penempatan NNI bersama ED SGH bertujuan mempercepat rawatan pesakit angin ahmar kerana salur darah tersumbat perlu dibuka semula dalam tempoh genting yang dikenali sebagai “masa keemasan”.
Suite angiografi pertama Singapura membolehkan pesakit menjalani prosedur menyelamatkan nyawa, iaitu trombektomi endovaskular untuk membuka semula salur darah otak yang tersumbat dalam beberapa minit selepas pengesahan tanpa dipindahkan ke blok utama SGH.
Setiap minit kelewatan boleh menyebabkan kematian berjuta-juta sel otak, meningkatkan risiko kerosakan kekal, kecacatan parah dan mengurangkan peluang kelangsungan hidup.
Encik Ong menyifatkan ED sebagai penghubung antara hospital dengan masyarakat serta petunjuk tekanan terhadap perkhidmatan hospital.
Apabila wad penuh dan kemasukan pesakit menjadi perlahan, kesesakan segera dirasai di ED.
ED SGH baharu mempunyai 10 bilik penilaian awal pesakit, berbanding empat sebelumnya, selain 53 ruang rawatan kritikal, 12 bilik pemulihan kecemasan dan lebih 150 katil untuk rawatan singkat.
Kemudahan lain termasuk klinik neurosains, imbasan resonans magnetik (MRI) dan rawatan radiologi.
Menurut Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan SGH, Dr Ivan Chua, satu daripada dua kawasan rawatan kritikal yang mempunyai 29 ruang rawatan boleh dijadikan tempat pengasingan pesakit berjangkit ketika pandemik.
Encik Ong berkata tidak lama selepas menyertai Kementerian Kesihatan (MOH), beliau mengetahui bahawa tahap kesibukan ED diukur berdasarkan bilik rawatan kecemasan yang penuh, bukan ruang ketibaan ambulans.
Encik Ong berkata ED SGH menerima lebih 300 pesakit sehari, dengan kira-kira 15 peratus memerlukan rawatan segera.
Beliau meminta masyarakat memahami bahawa tempoh menunggu lebih lama biasanya menunjukkan keadaan pesakit kurang serius.
Encik Ong berkata usaha mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan kecemasan memerlukan kesedaran bahawa bukan semua pesakit yang datang ke ED memerlukan rawatan kecemasan.
Menurutnya, pilihan rawatan melalui platform telekesihatan dan doktor perubatan am membantu mengurangkan tempoh menunggu daripada 217 minit pada 2023 kepada 141 minit pada 2025 bagi 95 peratus kes serius tetapi tidak mengancam nyawa.
Subsidi rawatan jerebu turut mengurangkan kunjungan kecemasan.
Klinik neurosains NNI yang lebih besar membolehkan pesakit menemui pelbagai ahli terapi dalam satu lawatan, kata Timbalan Ketua Perkhidmatan Ambulatori (Klinik Neurosains\@SGH) dan Perunding Kanan NNI, Dr Tushar Gosavi Divakar.
Klinik itu turut menyediakan rawatan pemberian ubat melalui salur darah dalam tempoh singkat bagi penyakit Alzheimer dan migrain serta prosedur mengambil sampel cecair saraf tunjang (pungsi lumbar).
Sebelum ini, pesakit perlu dimasukkan ke wad untuk tempoh singkat atau bermalam di hospital, kata Dr Tushar.