Topik diikuti
Pergi ke BHkuPusat khidmat keluarga pertama di Tengah pada 2027
Hab kesihatan pencegahan turut dibuka di Ang Mo Kio
Pusat khidmat keluarga pertama di Tengah pada 2027
Penduduk Tengah boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan sokongan sosial dengan lebih mudah di masa depan dengan pusat perkhidmatan keluarga (FSC) dan pusat penuaan aktif sedang dirancang bagi bandar itu.
Menurut Pejabat Kawasan Undi Tengah pada 10 Oktober, pusat-pusat itu akan mengurangkan keperluan penduduk keluar dari bandar estet perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) baharu itu untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan yang sebelum ini sukar diperoleh.
FSC kendalian Thye Hua Kwan Moral Charities dijangka dibuka pada pertengahan 2027 di Blok 225A Tengah Garden Avenue, menyediakan kaunseling dan bantuan pengurusan kes.
Pusat penuaan aktif di Blok 121C Tengah Drive pula akan menawarkan program warga emas dan kegiatan kemasyarakatan. Tarikh pembukaannya belum diumumkan.
Menurut HDB pada Disember 2025, lebih 14,000 flat dalam 14 projek telah siap dibina di Tengah, dengan lebih 12,000 isi rumah menerima kunci masing-masing.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Dr Choo Pei Ling, yang menjaga kawasan Tengah, berharap dapat membina masyarakat yang menyokong keluarga, prihatin terhadap warga emas dan memastikan bantuan mudah diperoleh penduduk.
Sepanjang tahun lalu, Dr Choo dan Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Tengah telah meminta kementerian serta agensi berkaitan menyediakan perkhidmatan tersebut.
“Sebagai karyawan kesihatan, saya sendiri melihat betapa pentingnya orang ramai mendapat penjagaan dan sokongan yang sewajarnya dengan mudah, terutama ketika paling memerlukannya,” katanya.
Karnival kesihatan yang menawarkan pemeriksaan kesihatan, reruai pendidikan dan permainan diadakan di Kelab Masyarakat Tengah pada 10 Oktober.
Encik Edmund Lee, 62 tahun, yang menghadiri karnival itu, menantikan pembukaan pusat penuaan aktif kerana gemar menyertai acara kemasyarakatan dan bertemu warga emas lain.
“Semakin banyak kedai dan kemudahan dibuka (di Tengah), selain acara kemasyarakatan berkala seperti Pesta Pertengahan Musim Luruh (Mid-Autumn Festival),” kata jurutera perkhidmatan yang menetap di Tengah sejak setahun lalu.
Seorang lagi penduduk, Cik Tan Ee Knew, 41 tahun, berkata pusat-pusat itu akan memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu ke tempat lain.
Ibu kepada dua anak yang berusia satu dan lima tahun itu gemar tinggal di Tengah kerana kemudahan untuk kanak-kanak, termasuk pusat jagaan bersebelahan bloknya dan banyak taman permainan.
Dalam pada itu, Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional (NHG) membuka hab kesihatan pencegahan yang berasaskan masyarakat pada 10 Oktober untuk penduduk di tengah dan utara Singapura.
Pusat NHG Health yang baharu di Pusat Pakar Ang Mo Kio menyediakan pemeriksaan kesihatan pencegahan terpilih dan perkhidmatan susulan agar penduduk yang mencatat keputusan saringan tidak normal atau mempunyai risiko kesihatan mendapat rawatan tepat pada masanya. Perkhidmatan ini biasanya disediakan di hospital.
Perkhidmatannya merangkumi saringan barah kolorektal (usus besar dan rektum), pemeriksaan payudara, penilaian pendengaran, khidmat nasihat kesihatan sebelum kembara dan vaksinasi.
Pesakit barah payudara yang penyakitnya tidak lagi aktif boleh mendapatkan rawatan susulan di pusat itu tanpa perlu ke hospital, manakala penduduk yang dikesan mengalami kemerosotan pendengaran melalui saringan kesihatan bermasyarakat boleh dirujuk ke pusat tersebut untuk penilaian lanjut.
Pemangku Menteri Tenaga Manusia merangkap AP GRC Ang Mo Kio, Cik Jasmin Lau, berkata ramai penduduk menghadapi kesulitan untuk ke hospital seperti Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Tan Tock Seng (TTSH).
“Mereka memerlukan teman, kos pengangkutan pula mahal... Mereka terpaksa menunggu di hospital, dan apabila pulang, hari sudah berlalu,” katanya.
Menurut Cik Lau, 56,000 penduduk menyertai kegiatan kesihatan pencegahan NHG Health pada 2026, manakala hampir 400 warga emas menjalani saringan kerapuhan jasmani.
NHG Health turut menguji borang soal selidik dalam kalangan penduduk Ang Mo Kio bagi mengenal pasti risiko barah payudara dan kencing manis berdasarkan sejarah kesihatan keluarga.
Soal selidik itu, yang dihasilkan bersama Persatuan Barah Singapura (SCS) dan Sekolah Perubatan Lee Kong Chian, Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura, akan diperhalus sebelum diperluas penggunaannya.