USTAZAH MASNIA NASSIM
Diam tak diam, hampir setahun telah berlalu sejak pembinaan bangunan tambahan, atau annex building, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dimulakan pada hujung Disember 2024. Kini, struktur lima tingkat bangunan tersebut sudah mula menampakkan bentuknya.
Ruang terbuka di tingkat satu dan dua serta bilik darjah di tingkat tiga dan empat sedang giat disiapkan. Apa yang lebih mengagumkan, projek pembinaan ini dijalankan tanpa menjejaskan operasi harian madrasah. Ini kerana kerja utama yang melibatkan penggalian besar bagi kerja struktur utama, atau major hacking, dan tahap kebisingan tinggi hanya dijalankan pada waktu cuti sekolah atau cuti hujung minggu yang panjang.
Kerja pembinaan biasa pula dijalankan dengan penuh berhati-hati agar tidak menjejaskan kegiatan pengajaran dan pembelajaran. Pelajar dan guru turut sentiasa diingatkan supaya bersabar dan memahami ketidakselesaan sementara yang terpaksa dihadapi sepanjang tempoh pembinaan ini.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, madrasah juga telah menjalankan kerja pengubahsuaian dalaman di bangunan sedia ada bagi memenuhi keperluan keselamatan yang ditetapkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Alhamdulillah, proses tersebut kini telah selesai sepenuhnya, walaupun sedikit sebanyak memberi kesan kepada rutin harian madrasah.
Kini, madrasah telah melangkah ke Fasa 3 projek Nur Ala Nur, iaitu usaha mengumpul dana bagi melengkapkan bangunan tambahan ini dengan kemudahan dan peralatan yang diperlukan termasuk kerusi dan meja pelajar bagi enam bilik darjah baru, kipas angin dan penyaman udara, serta pelbagai alat bantu mengajar.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua penderma yang terus menyalurkan sokongan dan sumbangan bagi menjadikan impian kami satu kenyataan – bangunan tambahan lengkap dengan enam bilik darjah baru, sebuah lif ke tingkat lima, serta ruang terbuka serbaguna untuk perhimpunan, demi menampung keperluan pelajar yang semakin meningkat.
Penulis merupakan mudirah di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
1. Anda boleh menderma dengan menggunakan PayNow ke UEN: S55MM0002D atau hantarkan cek atas nama Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
2. Hubungi talian 6741-0131 atau e-mel kepada mwti@mwti.edu.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut.
3. Kunjungi Facebook@MWTI Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah untuk mengikuti perkembangan terbaru madrasah.
4. Langsung ke pejabat Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di alamat 589 Sims Avenue Singapura 387600.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg