Sejak berusia 10 tahun, pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Umar Hafizi, sering mengalami keresahan, yang kadangkala mengakibatkan dia sukar mengawal perasaan.
Ini berlaku lebih-lebih lagi ketika ayahnya, Encik Hafiz Senen, 51 tahun, tidak ada bersamanya kerana perlu ke luar negara, khususnya ke Kemboja, kerana bertugas sebagai tenaga pengajar.
Dek keresahan yang mendalam, Umar, yang kini berusia 12 tahun, memerlukan bimbingan daripada kaunselor sekolah untuk membantunya mengawal keadaan tersebut.
Namun, Umar tidak membiarkan keadaan itu menjejas tumpuannya pada pelajaran. Dia berusaha sedaya upaya kekal fokus dan tekun mengulangkaji semua mata pelajaran di madrasah.
Menurut Naib Pengetua Akademik di Madrasah Wak Tanjong, Cik Aini Safuan, walaupun Umar mengalami keresahan yang mendalam, dia tekun belajar.
Umar juga tidak pernah berputus asa dan telah meraih keputusan yang cemerlang pada Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2024.
“Sikap Umar yang komited membuahkan hasil apabila dia meraih keputusan yang baik, skor 9 dalam PSLE,” jelas Cik Aini.
Umar tidak menduga mendapat markah dan keputusan yang baik.
“Secara jujurnya, saya tidak pasti sama ada saya boleh mendapat markah yang tinggi tetapi saya belajar dengan bersungguh-sungguh dan alhamdulillah, dapat menunjukkan prestasi yang baik.
“Markah PSLE ini lebih tinggi daripada markah peperiksaan percubaan saya. Dan saya berjaya mendapat skor keseluruhan yang lebih baik,” jelas Umar dengan senyuman.
Umar juga tidak menafikan, sebagai seorang pelajar madrasah, cabaran utama yang dihadapinya ialah mengikuti kurikulum madrasah yang mencabar.
Ibunya, Cik Hulwana Mohd Labib, 50 tahun, merupakan penyokong kuat Umar dan sering memberikan kata-kata semangat tanpa jemu kepada dirinya.
“Salah satu cabaran terbesar pastinya ialah saya mempunyai lebih banyak mata pelajaran untuk dipelajari berbanding di sekolah nasional, dan hampir keseluruhan subjek ukhrawi tersebut dalam Bahasa Arab.
“Alhamdulillah, keluarga saya, seperti ibu, bapa dan adik, memberikan sokongan padu kepada saya.
“Ibu saya terutamanya, menyokong saya sepanjang masa saya membuat persiapan bagi menghadapi PSLE. Saya amat bersyukur mempunyai ibu yang amat penyayang. Ibu saya juga sentiasa mengambil berat kesejahteraan dan kesihatan mental saya,” ujar Umar penuh kesyukuran.
Berkat sokongan keluarga dan sekolah, Umar bukan hanya meraih keputusan PSLE yang baik, malah mendapat markah cemerlang untuk semua mata pelajaran ukhrawinya.
Selain memberi tumpuan pada pelajaran, Umar turut melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum (CCA).
“Saya menyertai sukan tenis dan telah berlatih sejak berumur empat tahun,” tambah Umar.
Dia turut menyertai pertandingan anjuran Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, iaitu Cabaran STEM Antara Sekolah-Sekolah bagi Murid Darjah 6, pada 2024.
Mengenai masa depannya, dengan penuh bersemangat Umar, berkata: “Cita-cita saya mahu menjadi jurutera atau mekanik F1 (sukan lumba kereta Formula Satu). Saya juga berminat menjadi ahli biologi marin.”
Sementara itu, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah akan beroperasi dalam satu sesi pada 2025.
Sehubungan itu, ia mengharapkan sokongan berterusan daripada masyarakat Islam setempat agar semuanya berjalan lancar.
Orang ramai boleh menderma dengan menggunakan PayNow: UEN S55MM0002D atau sertakan cek atas nama Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
Maklumat lanjut boleh didapatkan dengan menghubungi talian 6741-0131 atau e-mel kepada mwti@mwti.edu.sg.
Perkembangan terbaru mengenai Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah boleh diikuti dengan mengunjungi Facebook@MWTI.
Orang ramai juga boleh datang terus ke pejabat Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di alamat 589 Sims Avenue, Singapura 387600.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg