Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang mengumpul sampel DNA daripada waris terdekat sembilan warga Singapura yang masih hilang dalam banjir Nepal-Tibet.

Profil DNA mereka akan dihantar ke Nepal, di mana pihak berkuasa sedang menjalankan ujian DNA ke atas mayat yang ditemui.

Sembilan rakyat Singapura yang hilang itu dikenal pasti sebagai Encik Rengarajan Prabu, Cik Shalinny Deavy Elan Sozan, Encik Subramaniam Diraviam, Encik Rajesvaran Ayyavoo, Cik Estee Loeh, Cik Ghosh Aditi, Cik Ng Kit Kuen, Cik Shubakshi Rawla dan Encik Sumit Rawla.

Mereka tidak dapat dihubungi sejak 26 Ogos, ketika banjir kilat melanda sebahagian Tibet dan Nepal.

Setakat 2 September, jumlah kematian melebihi 1,100 orang, dengan 3,900 lagi masih hilang. Hampir 12,000 orang telah diselamatkan.

Seorang jurucakap polis mengesahkan mereka telah menghubungi waris terdekat warga Singapura yang hilang untuk mengumpul sampel DNA.

Katanya: “Sampel ini mungkin membantu proses mengenal pasti mangsa, dan merupakan sebahagian daripada usaha Singapura menyokong pihak berkuasa Nepal dalam operasi bantuan bencana dan pengenalpastian mangsa yang sedang dijalankan.”

Ahli keluarga warga Singapura yang hilang memberitahu The Straits Times (ST) bahawa polis dijangka mengumpul sampel DNA daripada anak-anak mereka pada 2 September.

Bagi kes Cik Shalinny, 40 tahun, sampel akan diambil daripada anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.

Jurucakap Mahkamah Singapura mengesahkan Cik Shalinny adalah kakitangan Mahkamah Negara, dan mereka sedang berhubung dengan keluarganya untuk menawarkan sokongan dan bantuan.

Suami kepada Cik Shalinny, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Selvaganesh, 43 tahun, berkata beliau dan anak mereka telah menerima keadaan ini, dan anaknya sanggup memberikan sampel.

Katanya: “Dia (Anak) okay dengan perkara ini. Dia tabah dan terus menjalani rutin harian. Ada perkara yang berlaku di luar kawalan kita, dan kami sudah terima hakikat ini.”

Pada 31 Ogos, polis Nepal berkata ujian DNA sedang dijalankan untuk mengenal pasti mayat yang ditemui dalam bencana itu.

Mereka meminta agar waris terdekat kepada mangsa yang hilang, seperti ibu bapa atau anak, menjalani pemprofilan DNA di makmal yang diiktiraf.

Salinan profil DNA itu kemudian perlu dihantar melalui e-mel kepada polis Nepal untuk tujuan perbandingan.

E-mel itu juga perlu menyertakan butiran penderma DNA, seperti nama penuh, kewarganegaraan dan hubungan dengan orang yang hilang. Butiran orang yang hilang seperti pasport, butiran pengenalan diri dan lokasi terakhir yang diketahui, turut perlu disertakan.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata SPF akan menghantar satu pasukan pegawai yang pakar dalam pengenalpastian mangsa bencana, seperti yang diminta oleh Nepal.

Pemerintah Singapura juga akan menghantar bekalan sivil dan bekalan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), selain sumbangan AS$100,000 ($127,000) daripada pemerintah kepada kempen pengumpulan dana awam Palang Merah Singapura (SRC).

Lebih $1 juta telah dikumpul melalui kempen SRC untuk membantu mereka yang terjejas akibat tragedi itu.